![]() |
| PERJALANAN konvoi pada hari kedua tiba di Surathani, Thailand. |
PENGEMBARAAN Ekspedisi Kembara Ke Bumi Suci kini tiba di Mengla, sempadan Loas dan China selepas enam hari (sehingga Khamis lalu) meninggalkan tanah air bagi menyahut seruan mengerjakan umrah.
Selepas meninggalkan Kuala Lumpur konvoi singgah di Hotel Putra Palace, Kangar untuk mengikuti pertemuan dengan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.
Turut hadir memberi sokongan kepada anggota konvoi ialah ahli keluarga Senator Datuk Khalid Ahmad yang turut mengambil bahagian dalam ekspedisi sejauh 15,000 kilometer itu.
Dari Kangar, perjalanan menuju ke sempadan Malaysia-Thailand diiringi kira-kira 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Perlis.
Cuaca panas menyebabkan penunggang keletihan dan memaksa konvoi singgah di tiga lokasi sebelum sampai di Surathani pada petang hari kedua. Perjalanan ketika itu sejauh 377km dari Kangar.
Perjalanan pada hari ketiga adalah dari Surathani ke Nakhon Sawan melibatkan jarak sejauh 884 km - jarak paling jauh yang pernah dilalui penunggang.
Ketua Ekspedisi, Mohamed Assir Mohamed Ariff Assir melalui kiriman emel kepada WOW! berkata, perjalanan tergendala apabila tiga penunggang sakit perut selepas menikmati makanan pedas ketika singgah di Surathani. Selain daripada itu, tidak ada halangan yang dihadapi.
Dari Nakhon Sawan, pengembaraan menuju je Chiang Rai melibatkan jarak sejauh 566 km dari Surathani. Cabaran perjalanan jarak jauh bermula pada hari keempat apabila jentera milik Dr. Fahmi mengalami masalah teknikal.
Gangguan pada sistem elektrik motosikalnya itu berjaya diselesaikan oleh mekanik konvoi iaitu Arshad selepas satu jam berhempas-pulas.
Di Phayao, konvoi singgah di Masjid Pitsanulok untuk bertemu dengan penduduk Islam di situ.
Perjalanan hari kelima bermula agak lewat ekoran tempoh rehat yang dipanjangkan untuk merawat keletihan yang dialami.
Dari Chiang Rai, perjalanan seterusnya menuju ke Chiang Khong. Di sepanjang perjalanan, konvoi sempat singgah di Masjid An Nur di Mae Sai untuk menunaikan solat Asar sebelum meneruskan baki perjalanan sejauh 76 km.
Pengembaraan konvoi anjuran Israq Adventure itu tiba di Mengla, sempadan antara Loas dan China pada hari keenam selepas merentasi perjalanan dalam cuaca panas terik dan melepasi pos imigresen China. Ikuti perkembangan semasa pengembaraan ke tanah suci menaiki motosikal yang julung kali dilakukan rakyat negara ini pada minggu seterusnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: