Saturday, May 15, 2010

Jual RM500j SSP sebulan

BANK Simpanan Nasional (BSN) menyasar mencapai jualan Sijil Simpanan Premium (SSP) mencecah RM500 juta dalam tempoh sebulan iaitu sepanjang Mega Karnival SSP yang berlangsung di seluruh negara bermula akhir bulan ini.

Akhsan Zaini
Akhsan Zaini
Naib Presiden Kanan dan ketua Jabatan Perbankan Konsumernya, Akhsan Zaini (gambar), berkata pihaknya positif dengan unjuran jualan berkenaan kerana ia sebahagian daripada sasaran keseluruhan RM2 bilion pembelian SSP hingga akhir tahun ini.

Beliau berkata, sejak sijil itu diperkenalkan pada 1978 hingga Mac 2010, SSP mengumpul hampir RM1.3 bilion dengan jumlah 1.54 juta pemegang sijil iaitu 56 peratus Melayu, Cina (27 peratus) dan India (lapan peratus).

“Fokus Mega Karnival yang julung kali diadakan BSN untuk meningkatkan jualan SSP dan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menyimpan di samping memberi peluang kepada mereka memenangi hadiah menarik ditawarkan.

“Bagi menggalakkan lebih ramai penyimpan, kami mengadakan dua cabutan istimewa iaitu cabutan penghargaan dan simpanan tertinggi, masing-masing diadakan pada 31 Julai dan 31 Disember 2010. Cabutan simpanan tertinggi menawarkan hadiah utama BMW 120i Convertible.

“Cabutan penghargaan terbuka kepada pemegang SSP yang mempunyai sijil bernilai RM500 sejak 1978, manakala simpanan tertinggi pula bagi mereka yang mempunyai simpanan minimum RM20,000 yang dibeli sebelum 30 Jun 2010 dan mengekalkannya hingga Disember 2010,” katanya pada sidang media mengenai Mega Karnival SSP di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, sepanjang 2010, BSN memperuntukkan bilangan hadiah paling tinggi sejak 1978 iaitu 1,795 hadiah sebulan menjadikan jumlah keseluruhannya 21,450 hadiah setahun dengan nilai lebih RM12 juta.Katanya, langkah itu untuk memperkasa produk SSP di samping menjadikannya lebih dinamik. Pada 2009, BSN memperuntukkan lebih 1,700 hadiah sebulan menjadikan keseluruhannya 20,530 hadiah setahun berbanding 1,610 hadiah (19,390 hadiah setahun) pada 2008.

Sempena Mega Karnival SSP itu, beliau berkata, aktiviti promosi di One Utama akan diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 30 Mei ini dengan pelbagai aktiviti diadakan untuk semua golongan masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: