Saturday, May 15, 2010

Gelongsor rumah kongsi

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pendatang asing tanpa izin menjadikan kawasan hutan di Damansara Perdana di sini, sebagai tempat persembunyian dengan membina rumah kongsi bersama keluarga masing-masing.

RAMPAS...pegawai Rela merampas wang pertaruhan judi yang  ditinggalkan warga asing.
RAMPAS...pegawai Rela merampas wang pertaruhan judi yang ditinggalkan warga asing.
Rumah kongsi terbabit yang dibina di cerun bukit turut memiliki keistimewaan kerana memiliki papan gelongsor khas yang dibina di lantai bagi memudahkan mereka melarikan diri jika diserbu pihak berkuasa.


Bagaimanapun, taktik itu dianggap tidak relevan berikutan dapat dihidu pihak berkuasa berdasarkan pengalaman penguat kuasa Imigresen yang menjalankan operasi sama sebelum ini menyebabkan ramai pendatang ditahan dalam operasi khas pagi semalam.


Dalam operasi bermula kira-kira jam 2 pagi itu, rata-rata mereka tidur nyenyak sebelum tersentak dikejutkan kokokan ayam dipercayai menjadi ‘mata-mata’ bagi mereka sekiranya kawasan terbabit dikunjungi orang luar.


Malah ada antara mereka asyik berjudi dan sanggup meninggalkan wang dipercayai digunakan sebagai taruhan bertaburan semata-mata mengelak diberkas sebaik menyedari kawasan rumah kongsi mereka diserbu.


Ketua Unit Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamed Yusoff Khan Mohamed Hassan, berkata serbuan berkenaan dilakukan selepas menerima aduan penduduk tempatan yang mendakwa wujudnya penempatan rumah kongsi di lereng bukit berhampiran projek pembangunan.


“Hasil pemeriksaan awal mendapati, ada antara mereka ketika diperiksa gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah selain tinggal melebihi tempoh ditetapkan,” katanya.


Katanya, selain Imigresen, operasi berkenaan disertai kira-kira 150 anggota termasuk pegawai dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Rela.


Dalam operasi berkenaan lebih 80 warga asing diberkas dan mereka terdiri daripada lelaki, wanita serta kanak-kanak warga Indonesia.

Harian Metro difahamkan warga asing yang menetap di rumah kongsi terbabit sebelum ini sering menimbulkan masalah kepada penduduk setempat dan kebanyakan bekerja sebagai buruh binaan di projek pembinaan berhampiran.


Beliau berkata, pihaknya percaya majikan pekerja warga asing terbabit berkemungkinan kurang pasti berhubung kesahihan dokumen yang dimiliki pekerja mereka sama ada sah atau pun tidak berdasarkan maklumat yang diterima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: