Friday, May 21, 2010

INDIE MICE Tunjuk Taring

Menggelarkan diri sebagai Indie Mice, pastinya sudah terjelas di fikiran, lima anak muda ini hadir memperjuangkan muzik yang melambangkan identiti sendiri. Lambakan band indie di Malaysia tidak sedikitpun mendatangkan kegusaran, malah Indie Mice hadir dengan pakej lengkap yang pasti memberi kelebihan dalam industri muzik tanah air.

Band yang lahir sekitar April 2009 ini menggabungkan lima jejaka dari Malaysia dan Indonesia yang datang daripada latar muzik berbeza dan disatukan dalam konsep muzik 'pop rock' dengan susunan muzik yang unik.

Mempertaruhkan album 1Rumpun, band ini dianggotai tiga orang dari Malaysia iaitu Noah (vokalis), Hazreq (dram), Hadi (gitar) dan disertai Dede (bass) dan Ledu (gitar) dari Indonesia yang pastinya memberi ruang promosi lebih besar dalam kerjaya seni yang dibina.

Kehadiran mereka tidak dipandang sepi apabila single terbaru berjudul Helah dan Jangan Sesekali kini hangat diputarkan di stesen radio tempatan. Lebih memberansangkan, Helah telah dimuatturun lebih 10,000 ribu peminat dalam masa sebulan selepas dilancarkan.

Tidak hanya fokus kepada percintaan, Indie Mice cenderung melahirkan semangat patriotik melalui lagu Satu Malaysia. Antara lagu lain yang terdapat dalam album seperti Kau, Bintang Semalam, Akankah Kembali, On My Knees, Indonesiaku dan Seagung Cinta yang dirakam di Beesound Studio, Jakarta.

Bagi peminat yang ingin mengenali mereka dengan lebih dekat, hanya taip Indie Mice di ruangan Facebook anda untuk mengikuti perkembangan dan aktiviti band ini dan layari www.bimbit.com sekiranya anda berminat mendapatkan lagu band ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: