Saturday, May 15, 2010

Pandang kamera bukti lasak

MENJADI jelmaan Puteri Tamina menuntut pelbagai pengorbanan buat Gemma Christina Arterton, 24, sebaik saja menyatakan persetujuan membintangi aksi pengembaraan, filem Prince of Persia: The Sands of Time.

pix_middle
pix_topright
Lebih kurang lima bulan sebelum melangkah ke set penggambaran yang berpangkalan di Marrakesh dan Ouarzazate di Maghribi serta Pinewood Studios di London, aktres yang pernah muncul sebagai gadis Bond menerusi Quantum of Solace pada 2008 ini terpaksa berhadapan dengan latihan fizikal yang sangat hebat.

Segala usaha itu dilakukan semata-mata untuk mendapat bentuk tubuh sehebat Princess Tamina sebagaimana penampilannya dalam dunia 'virtual', memandangkan filem ini adaptasi daripada permainan video popular, Prince of Persia: The Sands On Time.

"Saya terpaksa berada di gimnasium enam hari seminggu. Saya benar-benar bekerja keras untuk mendapatkan bentuk tubuh bagi memenuhi karakter sebagaimana diinginkan dalam filem berkenaan.

"Jelas, ia tidak datang secara semula jadi dan menuntut saya melalui proses yang sangat menyeksakan. Saya juga mengambil masa tiga jam setiap kali disolek untuk kelihatan seperti Tamina," katanya.

Bercakap mengenai permainan video, seperkara yang sering mengagumkan penggemarnya adalah skil atau aksi pertempuran yang dipaparkan tidak pernah dibayangkan.

Justeru, apabila sebuah permainan video diadaptasi kepada sebuah filem, cabarannya bukan saja dalam mewujudkan dunia 'virtual', tetapi juga menguji kemampuan pelakon untuk beraksi setangkas permainan video.Gemma berterus terang menyatakan kebanyakan babak aksi yang membabitkan Tamina menggunakan khidmat pemain lagak ngeri bagi mengelak kecederaan selain dia sendiri belum sedia berbuat demikian.


"Namun, untuk beberapa babak yang dirasakan tidak begitu bahaya saya sendiri menyuarakan hasrat kepada pengarah untuk melakukan percubaan, itulah sewajarnya dilakukan seorang pelakon untuk memberi persembahan lakonan yang realistik selain memperoleh kepuasan.

"Saya masih ingat lagi terdapat satu babak apabila saya perlu berlari dan memboloskan diri bawah pagar bersama Jake. Selepas berjaya melakukannya, saya meloncat dan menjerit, 'Saya berjaya! Saya berjaya!'".

"Seluruh petugas produksi memandang ke arah saya dan mereka bertepuk tangan!," katanya sambil tertawa mengimbas saat itu.

Memperoleh sedikit keyakinan dan berharap dapat melakonkan lebih banyak watak aksi untuk filem seterusnya, satu lagi pengalaman tidak dapat dilupakan Gemma sepanjang penggambaran filem itu adalah babak menunggang kuda.

"Saya tak pernah menunggang kuda seumur hidup saya dan dalam filem ini terdapat banyak babak memerlukan berbuat demikian.

"Kalau anda perasaan, ada satu babak saya sengaja memalingkan muka ke arah kamera untuk memberi tahu kepada penonton saya benar-benar melakukan aksi itu.
"Bertitik-tolak daripada pengalaman menjayakan babak itu menemukan saya dengan minat baru dan bercadang menjadikannya aktiviti menunggang sebagai hobi," katanya.

Pemilihan Gemma sebagai Tamina sedikit masa lalu pernah mencetuskan kontroversi apabila penggemar permainan video menganggap pelakon British ini bukanlah calon sesuai untuk membawakan watak itu kerana raut wajah serta bentuk tubuhnya kurang seksi.

"Kalau melihat karakter Puteri Tamina dalam permainan video Prince of Persia, dia seorang yang sangat menggiurkan dengan memiliki payudara yang besar serta potongan badan yang seksi. Ramai anggap saya tidak sesuai.

"Bagaimanapun, Tamina tidak perlu menjadi terlalu seksi dalam filem ini kerana Walt Disney Pictures mahu menyesuaikan jalan cerita dengan khalayak penonton mereka," katanya.

Diarahkan Mike Newell, filem edaran Walt Disney Pictures yang bakal memasuki pawagam seluruh dunia pada 28 Mei ini, diterbitkan produser terkenal, Jerry Bruckheimer yang juga individu penting di sebalik kejayaan filem Pirates of The Carribean.

Selain Gemma, aksi petualang epik fantasi ini turut menampilkan Jake Gyllenhaal sebagai watak utama sebagai Dastan dan Sir Ben Kingsley (Nizam).

Filem ini mengisahkan seorang putera nakal (Dastan) dan seorang puteri misteri (Tamina) yang mahu menjaga sebuah belati purba. Belati itu mampu melepaskan pasir masa, hadiah daripada dewa dinamakan 'Degger' yang dapat mengembalikan masa dan membolehkan pemiliknya memerintah dunia.

Menerusi sesi temu bual selama 20 minit membabitkan wartawan dari seluruh negara termasuk Harian Metro yang diadakan di Hotel Dochester, London pada 6 Mei lalu, Gemma turut melahirkan rasa bangga kerana dapat menimba pengalaman berlakon di samping aktor ternama seperti Jake dan Sir Ben Kingsley.

"Saya rasa sangat teruja tapi pada masa sama gementar kerana rata-rata mereka adalah aktor yang dihormati selain pernah menerima pelbagai pengiktirafan. Sedangkan saya hanyalah budak baru yang masih banyak perlu dipelajari.

"Namun, saya gembira kerana Jake, Sir Ben dan ramai lagi pelakon yang terbabit, mereka semua sangat membantu dan tidak lokek berkongsi ilmu serta pengalaman mereka dengan saya.

"Kami merancang pergerakan sebelum masuk ke set penggambaran dan ini menjadikan penggambaran setiap babak berjalan dengan lancar. Peluang bekerjasama dengan mereka, pengalaman cukup berharga. Mereka memberikan saya inspirasi.

"Jake misalnya walaupun seorang yang gila-gila ketika di luar lokasi, tetapi dia sangat serius dan komited ketika di set penggambaran. Malah, dia membawakan wataknya sebagai Dastan dengan baik sekali," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, gadis yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci dan dia sendiri adalah bekas jurujual, sempat ditanya berhubung perasaannya menjadi seorang bintang filem terkenal.

"Perubahan yang berlaku membuatkan saya berasa sedikit janggal. Terus terang saya belum biasa dengan keadaan ini dan sedang belajar untuk menerimanya.

"Namun, populariti takkan mengubah saya. Saya masih Gemma yang dulu dan tidak kisah bersiar-siar di khalayak ramai dan tetap pulang ke kediaman orang tua saya di London.

"Jika ada kelapangan saya masih mencuri peluang bersantai bersama rakan wanita sekitar kota," katanya bakal muncul dengan sebuah lagi filem tahun ini, Tamara Drewe.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: