|
|
PEKERJA pembinaan dari Bangladesh, kakitangan hotel dari Filipina, pelayan dari China, pengimpal limbungan kapal dari Myanmar dan profesional teknologi dari India. Ternyata Singapura mempunyai semuanya dalam aspek pekerja asing.
Selama bertahun-tahun pembangunan di republik itu kebanyakannya dibina oleh imigran China, telah membuka peluang kepada pekerja asing yang semakin ramai terutama sewaktu kemuncak pencapaian ekonomi dari tahun 2004 hingga 2007.
Tetapi dengan satu dalam tiga daripada lima juta penduduk di negara kecil itu kini merupakan pendatang asing dan rakyat mengeluh mengenai persaingan untuk mendapat kerja, rumah dan rawatan perubatan, maka kerajaan seharusnya mengkaji semula polisi pintu terbuka yang dilaksanakan.
Dengan ketidakpuasan hati rakyat dan pilihan raya umum dijangka sebelum 2012, kerajaan Singapura perlu bertindak mengurangkan kebergantungan kepada warga asing dan memastikan rakyatnya diutamakan.
"Terdapat had fizikal dan sosial yang boleh kami terima," kata Menteri Kewangan, Tharman Shanmugaratnam pada sidang parlimen Februari lalu.
Katanya, kerajaan akan mengenakan kos lebih tinggi untuk mana-mana syarikat yang menggaji pekerja asing dengan meningkatkan nilai levi bagi setiap warga asing yang diambil pekerja.
Kemelesetan ekonomi
Kerajaan Singapura juga memperuntukkan S$5.5 bilion (RM12 bilion) untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menaiktaraf kemahiran pekerja Singapura sekali gus meningkatkan produktiviti dan menjadikan mereka lebih kompetitif.
Berdasarkan statistik rasmi yang dikeluarkan daripada populasi rakyat Singapura yang hampir mencecah lima juta tahun lalu, 533,200 merupakan penduduk tetap dan 1.25 juta terdiri daripada pekerja asing yang sah dan membawa bersama keluarga masing-masing.
"Saya rasa ini akan menjadi isu paling hangat di Singapura," kata penganalisis politik, Seah Chiang Nee.
Pakar ekonomi dari CIMB-GK Research, Song Seng Wun berkata, selain membantu syarikat tempatan meningkatkan perniagaan mereka, tindakan baru itu juga mampu mengetengahkan isu-isu yang berkaitan pilihan raya.
Pilihan raya terakhir Singapura yang berlangsung pada tahun 2006 menyaksikan parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), berjaya mempertahankan kesemua 82 kerusi di Parlimen sekali gus meneruskan kesinambungan pemerintahan sejak tahun 1959.
"Kerajaan perlu melakukan sesuatu di kawasan yang berpotensi untuk dijadikan isu," kata Seng Wun.
Kekecewaan terhadap pekerja asing mula diperkatakan sewaktu kelembapan ekonomi yang bermula pada suku ketiga 2008 apabila Singapura menjadi negara Asia pertama mencatat kemelesetan ekonomi.
Tindakan yang diambil sesetengah majikan seperti mengurangkan gaji dan pemberhentian pekerja secara drastik ternyata menjejaskan ramai pekerja kolar putih.
Di kedai-kedai kopi, laman sembang dan forum di Internet, surat kepada akhbar dan sesi bersama Ahli Parlimen, menyaksikan rakyat semakin lantang bersuara mengenai pertambahan jumlah pekerja asing di republik itu.
Kritikan dan komen yang selalu diterima ialah rakyat Singapura semakin kehilangan pekerjaan kepada pekerja asing yang sanggup menerima gaji yang lebih rendah.
"Kehadiran ramai pekerja asing memang menyakitkan hati. Saya sendiri tertanya-tanya adakah mereka datang ke sini untuk bekerja atau hanya mahu mencuri peluang pekerjaan rakyat tempatan," menurut satu kenyataan yang dihantar ke forum talian popular, sammyboy.com.
"Negara ini begitu pantas menjadi tempat yang sudah tidak dikenali oleh kebanyakan rakyat Singapura. Sensitiviti maruah negara semakin hilang hari demi hari," kata satu kiriman oleh Nur Muhammad di laman The Online Citizen.
Bagaimanapun, kebanyakan rakyat Singapura tidak marah terhadap pekerja asing yang bekerja sebagai buruh. Tetapi mereka tidak puas hati terhadap individu yang datang ke negara itu sebagai pekerja kolar putih dan memperoleh kerja yang mampu dilakukan rakyatnya.
Malah, rakyat Singapura juga melahirkan rasa tidak senang hati untuk berkongsi ruang dalam kereta api yang sesak dengan pekerja asing atau bersaing dengan mereka untuk merebut tempat di sekolah kerajaan dan rumah awam.
Selain itu, pekerja asing dituduh selalu melengah-lengahkan masa, meludah di tempat awam dan membuang sampah di merata-rata tempat.
Hakikatnya, situasi itu menyebabkan Singapura boleh dianggap mangsa terhadap kejayaan yang dikecapi dalam aspek pembangunan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: