Sunday, May 16, 2010

Cita rasa fusion Sakura Kristal


MEE UDANG


KONSEP hidangan untuk sekeluarga menjadi tarikan utama pengunjung ke Restoran Sakura Kristal yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Gabungan kuisin tempatan dan antarabangsa menjanjikan pelbagai pilihan untuk seisi keluarga menikmati hidangan bersama dalam satu masa.

“Selera kanak-kanak pasti berbeza dengan orang dewasa. Kerana itu di sini kami menyediakan pelbagai jenis hidangan, sesuai untuk semua peringkat umur,” kata Pengurus Pembangunan Perniagaan, Adeline Lee.

Lebih 200 menu terdapat di sini merangkumi kuisin Cina, Melayu, Nyonya, Barat dan juga Asia Barat. Ia merangkumi pembuka selera, hidangan utama, variasi mee, dessert dan minuman yang pastinya memikat selera sesiapa saja.

Bagaimanapun pesan Adeline, rancang dulu apa yang ingin anda makan kerana mungkin rambang mata tatkala menyelak helaian menu yang panjang.

Antara yang menjadi tarikan adalah kuisin Barat yang didatangkan dalam saiz cukup mengenyangkan.

“Beef steak dan lamb chop kami menjadi kegemaran ramai. Namun andainya mahukan kelainan, cubalah salmon mosaic yang enak,” katanya.

Istimewanya, isi ikan salmon dibalut dengan kulit popiah dan digoreng rangup. Kemudian ia dimakan bersama sos khas yang cukup serasi.

Menjamah kuisin Barat di Sakura Kristal, anda pasti tertanya mengenai sejenis kerepek halus yang rangup dalam setiap hidangan.

Menurut Adeline, ia dibuat daripada keledek manis yang diparut halus kemudian digoreng dalam minyak yang banyak.

“Ramai bertanya mengenai kerepek ini dan mereka sukakan rasanya yang manis serta lemak,” ujarnya.

Masakan tempatan Sakura Kristal tidak boleh dipinggirkan. Pelbagai hidangan seperti ayam lemon, siakap masak tiga rasa, nyonya campur, udang mentega, semuanya menawan selera.

Hidangan mee juga tidak mengecewakan. Asam laksa, kuetiau kerang, mee udang dan banyak lagi menjadi pilihan. Desert paling enak. Gabungan pastri atau kek dengan aiskrim pasti tidak menghampakan.

Mengenai status halal restoran itu, Adeline berkata, pengunjung tidak perlu risau kerana permohonan pihaknya kepada Jakim sedang melalui proses akhir dan dijangka diperolehi sedikit masa lagi.

Begitu juga perancangan untuk konsep francais yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Dengan ruang yang mampu menampung sehingga 300 pengunjung, Sakura Kristal pastinya menawarkan pengalaman menjamu selera dalam suasana nyaman dan selesa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: