Tuesday, May 25, 2010

ASP, dua sarjan kena tindakan

KOTA BHARU 24 Mei – Polis Kelantan mengakui seorang pegawai dan dua anggotanya cuai ketika menjalankan tugas sehingga menyebabkan seorang suspek berjaya meloloskan diri dengan melarikan kereta pegawai penyiasat.

Sehubungan itu, dua anggota berpangkat sarjan telah ditahan kerja manakala seorang pegawai penyiasat berpangkat Asisten Supritendan ditukarkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Kesemua pegawai dan anggota polis terbabit sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan tindakan ke atas mereka berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, beliau tidak boleh mengambil tindakan tatatertib ke atas mereka yang terbabit kerana ia di bawah bidang kuasa Ketua Polis Negara.

“Saya akan hantar laporan lengkap kepada Ketua Polis Negara untuk tindakan lanjut ke atas pegawai kanan polis ini kerana kesemua mereka cuai sehingga menyebabkan orang kena tuduh (OKT) Mohd. Zaidi Majid telah melarikan diri.

“Saya mengaku kecuaian pegawai dan anggota ini, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang mengiringi OKT semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, seorang suspek kes curi kereta yang melarikan diri ketika dibawa ke Pasir Tumboh dekat sini oleh seorang pegawai penyiasat dan dua anggota untuk tujuan pengecaman tempat kejadian.

Suspek pada awalnya ditahan di lokap IPD Kota Bharu meloloskan diri menggunakan kereta Proton Waja yang digunakan pihak berkuasa itu ketika dia ditinggalkan bersendirian dalam kenderaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang, Mohd. Zaidi, 33, yang digari ketika dibawa ke kawasan berkenaan memandu hampir 40 kilometer sehingga ke Pulai Chondong, Machang sebelum meninggalkan kenderaan di situ.

Abdul Rahim berkata, pihaknya juga mengadakan operasi besar-besaran termasuk menggunakan unit anjing pengesan untuk menjejak suspek yang kini dipercayai masih berada di kawasan Machang.

Katanya, suspek telah ditahan pada Khamis lalu untuk membantu siasatan kes kecurian kereta dan direman selama lima hari dan sepatutnya berakhir hari ini.

“Berdasarkan siasatan kita, lelaki ini hanya terlibat dalam kes kecurian kenderaan dan tidak ada rekod kesalahan jenayah lampau lain.

“Kita juga percaya dia tidak terlibat dengan mana-mana sindiket curi kenderaan di negeri lain dan meminta kerjasama semua pihak untuk membantu pihak polis mengesannya sekira mempunyai maklumat,” katanya.

Orang ramai yang mengenali suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau bilik gerakan IPK Kelantan di talian 09-7450999.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: