![]() |
| Adinan maning |
KUALA LUMPUR 24 Mei - Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan untuk meningkatkan jumlah asetnya kepada RM20 bilion menjelang akhir tahun ini.
Ketika ini, jumlah aset BSN bernilai RM18.74 bilion berbanding RM16.7 bilion pada 2008, dirangsang oleh peningkatan 49.2 peratus dalam pinjaman konvensional dan portfolio pembiayaan Syariah.
Pengurus Besar dan Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning berkata, BSN yakin dapat meningkatkan jumlah pegangan asetnya tahun ini berikutan beberapa faktor yang positif selain sumbangan dari pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan serta pelaburan perbendaharaan.
"Berdasarkan keadaan semasa kita yakin untuk mencapai jumlah yang ditetapkan," katanya selepas pengumuman keputusan kewangan BSN yang berakhir 31 Disember 2009 di sini hari ini.
Bagi tempoh kewangan tahun lalu, BSN mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM467 juta berbanding RM233 juta pada tahun sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM1.209 bilion berbanding RM1.041 bilion sebelumnya.
Manakala pinjaman tidak berbayar bagi tahun kewangan lalu ialah 1.8 peratus berbanding 1.5 peratus pada tahun 2008.
Menurut Adinan, aktiviti pembiayaan Islam BSN turut mencatatkan pertumbuhan positif dengan melonjak kepada RM4.29 bilion tahun lepas berbanding RM1.01 bilion tahun sebelumnya.
Malah bagi mengukuhkan kehadiran perbankan Islamnya di negara ini, BSN juga merancang untuk menubuhkan sekurang-kurangnya dua buah cawangan perbankan Islam di setiap negeri pada tahun ini dengan pelaburan sebanyak RM10 juta bagi tujuan itu.
Selain itu, bank tersebut juga mengunjurkan pertumbuhan pinjaman sebanyak RM1.5 bilion pada 2010.
Bagi tahun kewangan semasa Adinan berkata, BSN akan terus meluaskan kehadiran perniagaannya dengan mempelbagaikan produk dan meningkatkan perkhidmatan.
Antara lain, BSN merancang meneroka perbankan tanpa cawangan dalam usaha melancarkan perbankan internet sebagai saluran alternatif, katanya.
Dalam kewangan mikro, BSN merancang meluaskan rangkaian cawangan dengan tambahan empat pusat baharu dan menambah bilangan petugas bagi meningkatkan pertumbuhan.
"Sehingga April lalu, sejumlah RM36.77 juta diluluskan untuk pembiayaan mikro, dengan RM36.29 juta sudah diagihkan," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: