Tuesday, May 25, 2010

Maiwira banyak kali nyaris dirempuh penjenayah


Maiwira Mat Razali bersama rakan setugas.


TARIKH 20 September 1999, negara pernah digemparkan dengan berita seorang doktor mati ditembak ketika berdua-dua bersama seorang jururawat di dalam sebuah kereta berhampiran stesen LRT Bandar Tasik Selatan di Cheras, Kuala Lumpur.

Mangsa, Dr. Tai Eng Tek, 29, mati akibat cedera parah selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh seorang anggota polis peronda dari Balai Polis Sungai Besi, Konstabel Tony Beliang, 25.

Dalam kejadian pukul 10.15 malam itu, Tony dan rakannya yang berpakaian seragam polis mahu memeriksa kereta mangsa yang diletakkan di satu kawasan gelap di stesen LRT tersebut.

Kisah anggota polis melepaskan tembakan yang mengakibatkan kematian orang awam tersebut telah menjadi topik perbahasan hangat rakyat negara ini.

Biro Demokrasi, Hak Asasi Manusia dan Buruh, Jabatan Negara Amerika turut mencemuh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Internet yang didakwa tidak berlandaskan amalan hak asasi manusia.

PDRM menjadi sasaran kebencian segelintir masyarakat yang kurang memahami tugas polis selepas diberikan gambaran oleh golongan tidak bertanggungjawab bahawa pihak polis telah menembak dengan sewenang-wenangnya.

Setelah kisah tersebut dilupakan, secara tiba-tiba pada 26 April lalu, negara sekali lagi digemparkan dengan satu kisah yang serupa.

Kali ini, melibatkan seorang remaja lelaki, Aminulrashid Amzah berusia 15 tahun ketika cuba melarikan diri daripada polis yang ingin memberkasnya di kawasan perumahan Jalan 11/2G, Seksyen 11 di Shah Alam, Selangor.

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, remaja terbabit yang memandu kereta Proton Iswara tanpa lesen terkena tembakan anggota polis peronda selepas enggan berhenti untuk diperiksa.

Dua kes berlaku sudah tentu memberi pengajaran dan panduan buat anggota Penguat Kuasa Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban (Zon Tengah), Lans Koperal Maiwira Mat Razali, 36.

Beliau dipertanggungjawab untuk menjalankan tugas rondaan dan pemeriksaan di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Menurut Maiwira, tugas anggota polis peronda seperti mereka sebenarnya cukup mencabar dan berisiko kerana terdedah kepada sasaran penjenayah.

"Tugas anggota Penguat Kuasa Lebuh Raya adalah meninjau kemalangan, memastikan pemandu mematuhi undang-undang jalan raya, keadaan lalu lintas terkawal dan memeriksa kenderaan yang dalam keadaan mencurigakan," katanya.

Apa yang membimbangkan, katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak ini adalah jika pemandu diperiksa merupakan penjenayah dan memiliki senjata api.

Risiko semakin bertambah apabila menjalankan pemeriksaan di tempat gelap dan sunyi pada waktu malam kerana anggota tidak boleh melihat pemandu dan penumpang dalam kenderaan tersebut.

"Perasaan bimbang tidak boleh dielakkan kerana penjenayah boleh melepaskan tembakan apabila dihampiri.

"Malah banyak kali saya dan rakan setugas nyaris dirempuh oleh penjenayah yang cuba melarikan diri," kata Maiwira yang telah lapan tahun bertugas sebagai Penguat Kuasa Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban.

Berdasarkan pengalamannya, Maiwira berasa sedih dan terkilan apabila ada masyarakat memandang serong terhadap anggota polis peronda seperti mereka hanya kerana berlaku satu dua insiden membabitkan rakan sepasukannya.

Malah, ujarnya, ramai anggota polis terbunuh, terlantar sakit dan cacat seumur hidup akibat ditembak penjenayah atau ditimpa kemalangan semasa bertugas tetapi malangnya tiada pihak tampil membela nasib mereka.

Maiwira sendiri pernah melalui pengalaman berdepan dengan penjenayah agresif dan antara tidak boleh dilupakan ketika mengejar sebuah kereta dipandu oleh seorang pemuda berusia 28 tahun di Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite).

Mengimbas kembali insiden tersebut, Maiwira memberitahu, pemandu kereta terbabit bertindak memecut laju kenderaannya kerana sedang membawa berpuluh-puluh gelen ubat batuk.

Suspek merupakan seorang pengedar ubat batuk itu akhirnya berjaya ditangkap selepas kira-kira 40 kilometer dikejar oleh Maiwira dan setelah keretanya terbabas.

Baru-baru ini iaitu pada 3 Mei lalu, Maiwira dan rakan setugasnya berjaya membongkar sindiket penyeludupan rokok tiruan selepas memeriksa sebuah lori yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 290.4 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur masuk Bukit Mahkota di Nilai, Negeri Sembilan.

Selang 13 hari kemudian iaitu pada 16 Mei lalu di Jalan Jade Hill, Kajang, Selangor, Maiwira bersama dua rakan setugas sekali lagi berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah.

Kali ini, tiga penagih dadah terpaksa berputih mata apabila gagal menjual besi buruk yang dicuri dari sebuah tapak pembinaan di Seremban, gara-gara kereta yang mereka naiki merempuh sekumpulan lembu di Jalan Jade Hill selepas dikejar oleh kereta peronda polis dipandu oleh Maiwira.

Selain pengalaman menjadi Penguat Kuasa Lebuh Raya, Maiwira yang menyertai PDRM pada 1995 pernah juga bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Selain itu sebagai anggota Bahagian Pentadbiran di Maktab Pegawai Kanan Polis Cheras, Bahagian Pengurusan Bukit Aman dan Cawangan Trafik Bukit Aman.

Semasa bertugas di JSJN Bukit Aman, Maiwira bertemu jodoh dengan isteri tercinta, Surayani Affrin, 37, yang merupakan pembantu tadbir di situ. Mereka dikurniakan seorang putera dan dua puteri berusia antara empat hingga 12 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: