Sunday, May 23, 2010

Amy tidak putus asa




Orang kata, kalau sudah belum sampai masanya, buat macam mana sekalipun hajat yang ditunggu tetap tidak tiba jua. Tapi ia bukanlah penyebab untuk seseorang berputus asa.

Demikianlah hal yang dilalui oleh anak muda yang menjadi penghias Kacak Bergaya minggu ini, Mohd. Norahimi Norani atau lebih mesra dipanggil Amy. Hasratnya untuk uji bakat program hiburan pernah tertangguh beberapa kali.

“Saya minat menyanyi dan teringin sekali mencuba nasib menyertai mana-mana pertandingan nyanyian termasuk Akademi Fantasia dan Mentor.

“Apabila mengetahui Astro bakal meneruskan Akademi Fantasia 8, saya sangat teruja. Malah saya sudah berlatih selama lebih sebulan untuk mencuba nasib dalam sesi uji bakat.

“Malangnya pada hari uji bakat dijalankan di Kuala Lumpur, saya demam dan tidak dapat hadir dalam sesi uji bakat tersebut,” kata Amy.

Selepas itu apabila mendengar Mentor pula mencari calon protege musim baru, dia juga berhasrat mencuba nasib. Malangnya sekali lagi terpaksa dibatalkan kerana tarikhnya bertindan dengan majlis kenduri perkahwinan abang.

“Saya mahu sangat mencuba nasib, tapi macam mana saya nak lari sebab pada hari yang sama ada kenduri. Tapi tak apa, saya tak berputus asa. Mungkin saya boleh sertai pertandingan lain atau mencuba lagi pada masa akan datang,” jelas Amy.

Amy sekarang berniaga barang permainan berteraskan remote control di tapak niaga tengah malam di ibu kota sejak dua bulan lalu. Antara jualannya termasuk kereta, bot, helikopter kontrol dan lain-lain dan membuatkan masanya begitu sibuk dengan aktiviti bisnes.

“Saya memang minat dengan bisnes sebab itu saya memulakan perniagaan kecil-kecilan ini. Sebenarnya selepas tamat pengajian peringkat diploma di sebuah institusi hujung tahun lalu, saya dapat tawaran sambung belajar.

“Saya tolak kerana mahu bekerja terus, tak kisahlah walaupun ia bukan berasaskan bidang yang saya pelajari semasa di kolej dulu,” kata pemilik diploma dalam jurusan rekaan mekanikal itu.

Apabila menjalankan perniagaan, banyak masanya dihabiskan di gerai jualan. Sebelah siangnya pula Amy akan menguruskan penghantaran pesanan yang diterima melalui laman sesawang mudah.com.

“Saya letak juga iklan produk jualan saya di laman web jualan itu dan ada pesanan dari luar Kuala Lumpur, jadi saya kena uruskan penghantarannya.

“Gerai saya hanya tutup setiap hari Khamis. Itulah masa yang saya ada untuk diisi dengan hobi bermain futsal.

“Kawan-kawan yang sama-sama berniaga pun cuti pada hari sama, jadi kami menggunakan peluang ini untuk bermain futsal beramai-ramai. Dapat turun bermain seminggu sekali pun kira cukuplah,” katanya lagi.

Amy akui sejak berniaga, masa bersama kawan-kawan semakin terhad, apatah lagi kawan yang bekerja siang dan berehat sebelah malam.

“Saya mulai bekerja pukul 9 malam hingga 3 pagi. Sebelah siangnya saya memulakan aktiviti selepas tengah hari,” jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: