Sunday, May 23, 2010

Tuah belum sedia jadi suami


TUAH berbangga dengan pencapaian Suria FM yang semakin mendapat perhatian pendengar.


Saya masih berusaha mencari. Dalam usia sebegini, memang ramai yang bertanya. Tapi Alhamdulillah keluarga tidak pernah mendesak. Bagi saya, keperluan dan dan tanggungjawab diri perlu di utamakan berbanding mulut orang.

Tidak perlu untuk saya canangkan tanggungjawab dan beban yang saya pikul pada khalayak ramai walau saya ‘milik masyarakat’. Cukup sekadar keluarga mengerti.

“Lagipun, saat ini, saya belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan ayah yang baik. Buat apa sekadar menutup mulut masyarakat, beban saya yang galas. Saya percaya pada takdir pertemuan, perpisahan dan rezeki Allah. Tiba masa, saya pasti bertemu insan yang saya dambakan.

“Populariti bukan penentu keutuhan ekonomi, mahupun kebahagiaan saya. Golongan bujang terlajak tidak semestinya buat saya derita, malah saya gembira dengan laluan hidup saya ketika ini,” jawab Tuah saat diajukan persoalan tentang statusnya.

Ya, bagi yang mengenali pemilik nama Tuah Zoqarnain ini pasti mengetahui yang dia merupakan antara deejay radio Suria FM yang sedang meningkat naik.

Semakin lama duduk dalam arena penyampaian, lelaki Ipoh, Perak itu semakin selesa dengan apa yang dilalui setiap hari melayan kerenah pendengar yang pelbagai.

Walaupun kadang kala tersasar dari landasan yang sepatutnya dilalui Tuah cukup bijak menyembunyikan apa yang bersarang di hatinya ketika itu.

“Menjadi deejay bukan mudah. Emosi yang terkawal terkadang jadi ‘plastik’ demi khalayak pendengar terhibur, walaupun hati gundah, jiwa memberontak, perasaan celaru.

“Menjadi deejay radio tidak semudah yang orang lain sangka. Orang kata bercakap jer. Apa susahkan? Tapi realitinya, walaupun tiga atau empat jam dalam studio sudah cukup memenatkan minda dan vokal.

“Bagi saya, deejay adalah seorang pelakon drama radio yang hebat sekiranya mampu mengawal emosi, vokal sehinggakan pendengar tak dapat rasa gelodak jiwa diri tatkala ke udara.

“Namun, kerjaya sebagai deejay adalah sesuatu yang cukup indah untuk saya kongsikan pengalaman bersama mereka yang sukakan bidang penyiaran. Terlalu banyak pengalaman menarik. Tetapi yang paling utama, penerimaan masyarakat terhadap bakat saya merupakan anugerah terbesar dalam karier penyiaran saya,” katanya lagi

Dalam kaji selidik yang dilakukan oleh AC Nielseon baru-baru ini menunjukkan stesen radio Suria AM telah mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila muncul sebagai sebuah stesen yang mencatatkan jumlah pendengar yang ramai.

Walaupun masih jauh untuk mencabar stesen-stesen radio swasta yang lain, Suria FM masih berbangga apabila dapat menambah jumlah pendengar setia di samping dapat menaikkan lagi kedudukan mereka dalam kelompok 10 stesen paling berpengaruh.

Suria FM telah mencapai keputusan di luar jangkaan dalam kaji selidik suku pertama 2010. Keputusan terkini daripada kaji selidik AC Nielsen itu mendapati, 15.5 juta atau sembilan daripada 10 orang yang berumur 10 tahun dan ke atas telah mendengar radio ini setiap minggu.

Suria FM melakar sejarahnya yang tersendiri dengan peningkatan jumlah pendengar tertinggi di Malaysia dengan kenaikan 165 peratus purata pendengar selain mencatatkan peningkatan sebanyak 51 peratus di kalangan pendengar setia. Secara tidak langsung, Suria FM meraih pencapaian terbaik dalam perkongsian pendengar radio.

Suria FM telah mengatur pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun ini yang melibatkan pendengar. Antaranya siri jelajah Suria FM Rancak Tour pada Jun nanti, juga Konsert Kemuncak Suria FM pada Julai ini. Manakala pada bulan Ramadhan, Majlis Berbuka Puasa akan diadakan selain Kempen Jom Balik Raya.

Selain sibuk dengan Suria FM, Tuah juga baru selesai menjalani penggambaran gameshow Galaksi Sharp dan membuat rakaman single lagu Jeritan bersama Irfan Khairi dan Razzi Rahman khusus memberikan kesedaran pada masyarakat tentang perikemanusiaan.

Bercerita mengenai dunia lakonan pula Tuah baru selesai berlakon drama bersiri Roda-Roda Kuala Lumpur tidak dapat menyembunyikan kecintaannya terhadap bidang ini.

“Ia merupakan jiwa saya. Bergelar pelakon memang cita-cita saya sejak kecil cuma tidak pernah diceritakan kepada orang kerana malu tak tercapai.

“Bermula sebagai pelakon tambahan lalu lalang, 12 tahun lalu sehinggalah ke watak pembantu. Untuk makluman sememangnya saya tidak banyak berlakon sejak dari dulu. Kalau ada sekalipun hanya dua atau tiga drama saja setahun.

“Alhamdulillah, ramai yang mengenali saya sebagai pelakon berbanding deejay walau suara saya ke udara hampir setiap hari sejak lebih enam tahun lalu bermula di Muzik FM.

“Tak tahu mana silapnya, tapi syukur, bakat lakonan dan deejay yang dianugerahkan Allah ini membuatkan saya mampu untuk hidup sederhana sehingga kini.

“Sekiranya diberi pilihan, memilih bidang lakonan atau penyiaran, saya pilih kedua-duanya, kerana dua medium ini cukup saya minati, cintai, tempat saya mencari rezeki, serta membuatkan saya dikenali dan punya peminat tersendiri,” katanya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: