Thursday, May 20, 2010

Aishah kahwin tahun ini

SEDEKAD bergelar ibu tunggal, penyanyi terkenal bersuara lunak, Aishah, akhirnya membuat pengakuan dia sudah bersedia untuk berkahwin lagi tahun ini.

Kata Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 45, calon suaminya itu seorang ahli perniagaan berstatus duda. Lebih bermakna, dua anak lelaki penyanyi lagu Janji Manismu serta Bahtera Merdeka itu turut merestui hajat tulus ibu mereka.


"Kehidupan saya dan anak tidak masalah sepanjang 10 tahun membesarkan mereka. Tapi hati saya ini akhirnya terbuka untuk berkahwin semula selepas bertemu dengan lelaki yang tepat untuk menjadi teman hidup. "Calon suami saya bukanlah bergelaran Datuk kerana yang penting dia boleh membahagiakan kami sekeluarga. Insya-Allah, kalau tiada aral, kami akan berkahwin tahun ini juga. Saya juga tidak akan menyorok hari bahagia kami itu daripada pihak media apabila sampai masanya nanti," katanya.


Bagaimanapun, buat masa ini, Aishah belum sedia untuk berkongsi lebih lanjut mengenai identiti calon suaminya itu demi kebaikan keluarga kedua-dua belah pihak. "Maaflah, saya belum bersedia lagi untuk mengulas panjang lebar mengenai teman lelaki saya itu mahupun detik perkenalan kami. Saya berharap pihak media bersabar menanti kad undangan perkahwinan kami nanti," katanya. Mengimbas kisah lalu, Aishah pernah dua kali berkahwin, pertama kali dengan jejaka Singapura dan seterusnya dengan warga New Zealand, Muhammad Abdullah atau Che Mat pada 1 September 1997 di Auckland.


Mereka dikurniakan seorang anak Azhad Ahlami Muhammad, 10. Selain itu, Aishah ada anak angkat, Armand Azhari Abdullah, 16. Bagaimanapun, pada 13 September 2000, Aishah memfailkan permohonan cerai fasakh dan hak penjagaan anak di Mahkamah Majistret Ampang mengikut Seksyen 4 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Aishah ditemui selepas persembahan A Tribute To Mum bersama Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad lalu. Pada persembahan sempena Hari Ibu petang itu, Aishah menghiburkan tetamu dengan rangkaian lagu popularnya seperti Camar Yang Pulang, Melukut Di Tepi Gantang, Syurga Di Telapak Kaki Ibu serta duet dengan Jamal, Kasihnya Ibu. Sementara itu, Aishah yang pernah mencipta nama dengan Aishah & The Fan Club baru selesai tugas rakaman album terbarunya, Zikir dan Doa. "Ada sebuah lagu berjudul Anak yang ditujukan buat anak saya. Ia juga menyelitkan doa ibu kepada anak mereka," katanya.


Aishah berkata, dia selesa bergerak sendirian tanpa sebarang terikat dengan syarikat rakaman untuk menguruskan karier seninya.


Sejak tampil dengan imej bertudung, dia juga cenderung menghasilkan lagu yang ada mesej dakwah selain lagu balada.


"Saya juga buat album mengikut 'trend' pasaran sekarang. Malah, album terbaru saya juga diterbitkan di bawah syarikat sendiri dan cuma edarannya saja oleh Sony Music. "Saya bersyukur kerana undangan nyanyian sentiasa ada, cuma kurang mendapat liputan di akhbar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: