Thursday, May 20, 2010

Umie belum sedia

BAGI wanita berkahwin agak lewat, pastinya mereka berharap memperoleh zuriat secepat mungkin. Namun, berbeza dengan aktres jelita, Datin Paduka Umi Khaltum Rahmat Ali atau Umie Aida, 37, kerana belum sedia menempuh fasa itu.

Pelakon filem Embun yang mesra disapa Umie ini berkata, selama 37 tahun dia hidup sendirian dan untuk tempoh itu juga inilah pertama kali belajar membuat sarapan untuk suami.


"Rasanya biarlah saya membiasakan diri dengan rutin seorang isteri termasuk mendalami selok-belok rumah tangga dulu. Bulan madu pun belum sempat disebabkan banyak perkara yang harus diutamakan. "Saya bukannya tidak mahu anak, tentu saja menginginkan zuriat sendiri cuma bukan sekarang. Tetapi kalau rezeki cepat saya terima saja. Saya tiada masalah," katanya ketika ditemui di majlis perlantikannya selaku duta Marie France Bodyline, kelmarin.


Umie yang juga adik pengarah terkenal, Erma Fatima, mengahwini Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47, 14 Mac lalu di Makkah diikuti persandingannya pada 28 Mac. Apapun, Umie mempunyai dua anak angkat, Mohd Daniel Firdaus, 16, dan Mohd Zulhilmy, 15, manakala Khairuddin juga dua anak, Mohd Shafiq, 19, dan Mohd Shahir, 16, hasil perkahwinan sebelumnya.


Kesibukan juga dikatakan menjadi penghalang untuk pasangan ini menikmati kemanisan bulan madu ke destinasi negara Eropah yang dirancang April lalu kemudian ditunda Mei ini. Kata Umie, kemungkinan kesempatan itu digunakan mereka sekitar Julai nanti.


"Buat masa ini, kami terpaksa menundanya dulu, tetapi Insya Allah saya akan menemani abang (gelaran buat suami) ke London hujung bulan ini atas urusan kerja. Saya anggap ini sebagai pra bulan madu. "Julai nanti, kami merancang ke Los Angeles, Amerika Syarikat kerana pada bulan itu Kak Erma kemungkinan mengikuti rombongan pemenang Anugerah Skrin TV3 di sana, jadi kami mahu ambil kesempatan cuti bersama. Insya Allah, percutian ini akan disertai anak-anak Umie dan anak-anak abang," katanya. Pernah menyatakan hasrat untuk bertudung selepas berkahwin namun sehingga kini masih mengekalkan imej sama, Umie berkata, dia tidak mahu menjalani proses itu secara terburu-buru.


Umie juga menafikan keputusannya untuk tidak mengandung buat masa ini ada kaitan dengan perlantikannya sebagai duta pusat pelansingan terkemuka selama setahun.


"Oh tidak, mereka bukan kejam malah tidak pernah menetapkan syarat sebegitu. Malah pihak Marie France Bodyline sangat bertolak ansur dan menghormati jadual saya. "Mereka tidak pernah marah atau mendesak saya datang membuat rawatan dan faktor inilah yang membuatkan saya selesa untuk bekerjasama menerima tawaran mereka," katanya.


Mengenai kerjaya lakonan, Umie mengakui statusnya sebagai isteri serta faktor usia membuatkan dia mahu mengurangkan aktiviti itu.

"Dalam usia sekarang, saya sudah tidak larat hendak menunggu lama di lokasi. Lainlah kalau watak itu benar-benar menarik, saya akan terima. Sejak dulu lagi saya memang memilih karektor.


"Insya-Allah tahun ini saya akan membintangi filem arahan Osman Ali. Bagaimanapun terlalu awal untuk menceritakannya kerana masih dalam peringkat perbincangan," katanya.


Bercerita lanjut mengenai perlantikannya sebagai duta pusat pelansingan itu, Umie menjelaskan, tawaran itu diterima November tahun lalu. Bagaimanapun, dia tidak terus bersetuju kerana sebagai wanita yang aktif sukan dia merasakan rawatan sebegitu tidak diperlukan.


"Ramai yang tahu saya aktif bersukan. Malah saya sebenarnya tidak mengalami masalah berat badan, cuma meskipun kerap bersenam ada bahagian badan saya yang bermasalah."Kebetulan beberapa bulan sebelum berkahwin Marie France Bodyline menghubungi saya mengenai tawaran menjadi duta. Saya tidak terus bersetuju.


"Bagaimanapun, mereka minta saya hadir ke pusat pelansingan badan itu dan mencubanya sendiri. Hanya sekali menjalani rawatan, saya sudah nampak hasilnya. Paling saya suka, proses rawatan ini hanya memerlukan pelanggan 'relaks' selain sangat menyeronokkan dan tidak menyakitkan," katanya. Apa yang menarik, tahun ini Marie France Bodyline melancarkan pertandingan 'The Perfect Bride' yang menawarkan hadiah lumayan pakej bulan madu ke Maldives untuk dua orang berserta rawatan pelansingan bernilai ribuan ringgit.


Cara penyertaannya mudah, bakal pengantin yang ingin kelihatan hebat di hari persandingan mereka hanya perlu mendaftar menerusi laman web www.mariefrancebodylinecontest.com.my dan mengarang mengapa mereka layak untuk menjadi pemenang pertandingan ini.


Semua peserta yang menghantar penyertaan mereka akan diberikan sekali rawatan bernilai RM380. Manakala peserta tiga terbaik berpeluang bersaing dalam pertandingan Marie France Bodyline Make Over yang menawarkan rawatan RM8,000.


Peserta yang memperoleh tubuh paling menarik sebelum melangsungkan perkahwinan selewat-lewatnya hujung tahun ini akan menerima hadiah seperti dinyatakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: