ADA wanita tampil menarik apabila disolek. Ada pula kurang cantik walau dicalit gincu dan bedak beberapa kali sehingga membuatkan wajah bertompok dan hilang nilai semula jadinya.
Menurut jurusolek profesional Shu Uemura, Emma Mustafa, bersolek bukan hanya bergantung kepada alat solek serta teknik solekan sahaja. Ramai wanita melupai faktor warna kulit sebagai asas utama dalam solekan.
"Di Malaysia, masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum, ada pelbagai warna kulit seperti cerah, gelap, kuning langsat dan sawo matang. Perbezaan rona ini menyebabkan kepelbagaian jenis alat solek digunakan, menjadikan solekan unik dan universal," katanya.
Menurut Emma, pemilihan warna bedak asas serta pembayang mata sangat penting dalam solekan.
Bagi wanita berkulit putih, rangkaian rona coklat sesuai dioles pada kelopak mata. Calit sedikit pembayang mata merah jambu pada tulang kening supaya kulit kelihatan lebih cerah dan segar.
Bagi wanita berkulit sawo matang, gunakan pembayang mata coklat keperangan (taupe). Mereka juga boleh memilih warna tanah atau jingga coklat. Pilihan warna itu akan membuatkan solekan mata kelihatan lebih moden dan tidak terlalu polos.
Untuk kulit kuning langsat, oleskan warna karamel, perang kekuningan atau kuning gangsa untuk sentuhan menawan. Mereka juga boleh memilih pembayang mata sedikit keemasan bagi solekan pada sebelah malam.
Bagi wanita berkulit gelap, mereka tidak perlu khuatir kerana solekan nude masih berkesan. Pilih rangkaian pembayang mata daripada warna tembaga dan coklat bata kerana ia sangat sesuai serta dapat memberikan hasil berkilau pada kulit gelap.
Selain itu, mereka boleh memilih warna daripada nuansa coklat untuk penampilan lebih segar dan menawan.
Solekan kulit cerah
1. BEDAK... sapuan bedak asas sangat penting bagi mendapatkan warna sekata.
2. PEMBAYANG MATA... rona pembayang mata gelap sesuai digunakan sekiranya memiliki mata sepet.
3. PEMERAH PIPI... sapu pemerah pipi merah jambu untuk penampilan segar.
4. GINCU... elakkan memilih warna terang. Merah jambu dengan sedikit pengilat bibir sangat penting.
5. MODEN... solekan segar dengan penampilan funky tarik perhatian.
Solekan kulit sawo matang
1. SAPU...pilih warna bedak asas sedikit gelap daripada warna kulit.
2. MATA... pilih pembayang mata warna perak dengan sedikit sentuhan berkilau.
3. PIPI... pemerah pipi warna merah jambu mampu menaikkan seri wajah.
4. GINCU... calitan gincu merah jambu dan pengilat bibir merubah penampilan.
5. MENAWAN... tampil menawan dengan gaya santai ke majlis tertentu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: