Friday, March 12, 2010

Warga emas parah dilanggar peragut

TELUK INTAN - Seorang warga emas yang baru pulang dari mengaji al-Quran cedera parah apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar seorang penjenayah dalam cubaan meragut.

Miserikah Bakri, 60, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi semalam, ketika dia pulang ke rumahnya di Parit 1 daripada Parit 2, Pengkalan Daun, Chenderong Balai selepas mengikuti pengajian al-Quran.

Menurutnya, ketika memasuki Jalan Pengkalan Daun itu, dia menyedari seorang lelaki yang menunggang motosikal telah mengekorinya, sebelum peragut itu memotongnya dari sebelah kanan dan berpusing ke arah bertentangan lalu melanggarnya.

“Dia mengekori saya dari pelbagai arah. Kemudian terus melanggar saya dari hadapan untuk mendapatkan beg tangan. Saya dilanggar agak kuat dan terjatuh di tepi jalan, manakala penjenayah itu terbaring tidak sedarkan diri,” katanya kepada media ketika ditemui di sini, semalam.

Miserikah berkata, akibat rempuhan kuat itu, dia mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk patah tulang rusuk dan pergelangan tangan kanan, manakala bibirnya pecah dan menerima dua jahitan di Hospital Teluk Intan (HTI).

“Dalam beg ini hanya ada RM10, al-Quran dan kad pengenalan sahaja. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana polis telah menangkap penjenayah itu dan berharap ia tidak akan berlaku lagi kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang yang mengesahkan kejadian itu berkata, suspek berumur 35 tahun itu mempunyai lima rekod jenayah seperti dadah dan pernah menjadi tahanan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) di Simpang Renggam, Johor selama dua tahun.

Menurutnya, suspek yang mengalami kecederaan ringan itu di reman untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas cubaan samun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: