Tuesday, March 30, 2010

Julio belum bersedia berhenti menyanyi


TAHUN 2010 merupakan tahun sibuk buat Julio Iglesias yang akan jelajah dunia menerusi siri konsert A Starry Night With Julio Iglesias World Tour.


FIGURA unggul ini sememangnya tiada tandingan dan hanya ada satu sebab mengapa dia mampu bertahan lebih daripada empat dekad sebagai seorang penghibur ternama. Tiada lain adalah kelebihan yang terletak pada suaranya yang cukup romantis itu yang bisa membuai perasaan sesiapa sahaja yang mendengar lagu-lagu yang disenandungkan.

Maka itu, tidak hairanlah apabila dia diberi jolokan sebagai raja lagu-lagu cinta. Hingga kini, rasanya belum ada yang mampu merampas takhta itu daripadanya.

Lagu-lagu popularnya seperti To All the Girls I've Loved Before, All of You dan Crazy telah meletakkan Julio Iglesias sebagai salah seorang penyanyi lelaki terbaik dunia dengan rekod yang mengagumkan.

Buktinya, penjualan 79 buah albumnya dalam 14 bahasa berbeza yang melebihi 200 juta salinan sepanjang 40 tahun Iglesias bergelar penghibur.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nama Iglesias agak jarang kedengaran dan berita-berita mengenai dirinya juga tidak banyak dipaparkan di media.

Mungkin ada yang berpendapat dia sudah bersara dari dunia nyanyian dan tumpuannya kini hanyalah kepada keluarganya sahaja.

Ternyata, andaian itu meleset kerana Iglesias sendiri tidak pernah terlintas untuk bersara apatah lagi berasa bosan dengan kerjayanya sebagai penghibur.

Minat dan keghairahan

"Saya sudah berada dalam industri ini lebih daripada 40 tahun dan sepanjang tempoh itu, terlalu banyak pengalaman yang telah saya lalui.

"Menyanyi dan menghiburkan peminat sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Mana mungkin untuk saya berasa lelah dan penat.

"Saya akan menyanyi selagi saya terdaya dan termampu. Apabila tiba waktunya, saya pasti akan mengundurkan diri," katanya dalam nada merendah diri ketika dihubungi Hits, baru-baru ini.

Apabila ditanya, bilakah waktunya dia akan bersara dan melupakan dunia nyanyian, penghibur berusia 66 tahun itu segera menjawab: "Saya akan berhenti menyanyi apabila tiada peminat lagi yang akan datang menonton persembahan saya."

Sempat juga Iglesias disoal tentang rahsia kejayaannya sehingga dia mampu bertahan untuk jangka masa yang begitu lama.

Sambil ketawa kecil, anak pasangan Dr. Julio Iglesias Puga and Maria del Rosario ini memberitahu dia tidak mempunyai sebarang rahsia yang membuatnya terus diminati sehingga kini.

"Perkara pokok adalah minat dan keghairahan kita terhadap sesuatu yang kita lakukan itu.

"Minat sahaja tidak mencukupi kerana ia juga perlu seiring dengan kerja keras, dedikasi serta fokus kepada kerjaya kita.

"Kerana itu saya percaya ia mampu membawa seseorang itu jauh daripada apa yang telah dirancangkannya sebelum ini," kata penghibur yang memiliki nama penuh Julio José Iglesias de la Cueva ini bersungguh-sungguh.

Sebagai seorang veteran dalam bidang seni, memang Iglesias layak untuk membicarakan tentang perkembangan industri seni dunia yang mengalami evolusi cukup ketara.

Malah, tempoh 40 tahun dalam bidang nyanyian sudah cukup memberi peluang buat Iglesias merasai serta melihat sendiri evolusi yang berlaku.

Baginya, industri muzik telah berkembang dengan pesat dan walaupun pelbagai teknik dan teknologi yang berlaku masa kini, ia sedikit pun tidak menggugat kedudukannya sebagai seorang penghibur.

Baginya, semua penyanyi ada keistimewaan serta kelebihan tersendiri dan dia sendiri bangga kerana masih kekal di pesada seni muzik.

"Perkembangan ini saya kira sebagai sesuatu yang cukup sihat dan bagus tetapi kualiti juga harus dijaga sebaik-baiknya.

"Usah hanya mengejar komersial dan keuntungan semata-mata tetapi muzik yang dihasilkan tidak berkualiti dan sekali gus menghampakan peminat serta pendengar," kata Iglesias yang pernah bercita-cita mahu menjadi seorang pemain bola sepak dan peguam.

Dengan kelahiran penyanyi baru masa kini, kata Iglesias ,dia tidak melihat mereka sebagai saingan.

Sebaliknya, dia kagum dan bangga kerana industri muzik antarabangsa terus melahirkan bakat-bakat baru yang memiliki daya kreativiti tinggi dalam melahirkan muzik mereka.

"Memang cukup menarik untuk melihat mereka ini membawa muzik daripada pelbagai genre yang telah meletakkan standard mereka tersendiri.

"Saya kagum dengan penyanyi-penyanyi seperti Justin Timberlake, Ricky Martin, Beyonce Knowles, Alejandro Sanz dan semestinya anak saya sendiri, Enrique.

"Kalau diberi peluang, saya ingin sekali bergabung dengan mereka," ujarnya tanpa selindung.

Bukan mudah juga untuk seseorang artis itu memiliki rangkaian lagu-lagu popular yang mampu mencapai taraf malar segar (evergreen).

Dalam konteks ini, Iglesias boleh dikatakan seorang yang cukup bertuah kerana karya-karyanya tidak pernah gagal untuk menghiburkan dan menyentuh kalbu peminatnya.

"Muzik yang bagus adalah muzik yang berjaya menembusi jiwa pendengar dan mampu menimbulkan satu hubungan intim antara penyanyi dan audien.

"Bukan sekadar bersenandung tetapi ia juga perlu mengingatkan mereka tentang nilai-nilai hidup dalam setiap lagu itu seperti kekeluargaan, kasih sayang, cinta, kepercayaan dan tanggungjawab," jelas pemenang anugerah Grammy ini lagi.

Dalam aspek kehidupan peribadinya pula, Iglesias memberitahu dia kini cukup bahagia dengan kehidupannya bersama isterinya, Miranda Rijnsburger bersama-sama dua anak lelaki dan sepasang kembar perempuan.

Biarpun sibuk dengan tugasnya sebagai seorang penghibur, jelas Iglesias, dia masih mempunyai masa untuk bersama keluarganya.

"Tidak susah sebenarnya untuk membahagikan masa antara kerjaya dan peribadi. Memang saya banyak menjelajah.

Momen terbaik

"Tetapi kadang-kala, keluarga saya akan ikut serta. Jika tidak pun, kalau ada masa senggang sewaktu konsert, saya akan terbang pulang ke rumah untuk menghabiskan masa bersama mereka," ujarnya.

Biarpun beribu penyanyi muncul dan pergi, namun Iglesias tetap berdiri teguh dan masih lagi mampu untuk menghiburkan peminatnya yang terus menyokongnya sepanjang empat dekad lalu.

Maka itu, Iglesias memberitahu 2010 akan menjadi tahun yang sibuk untuknya apabila dia akan menjayakan sebuah konsert jelajah dunia iaitu A Starry Night With Julio Iglesias World Tour.

Konsert jelajah dunianya itu akan merangkumi lima benua termasuk Asia yang menyaksikan kehadirannya di beberapa buah negara seperti Korea Selatan, Jepun, Filipina, Singapura dan pastinya Malaysia.

Pasti peminat-peminatnya di Malaysia akan melonjak kegembiraan dengan kehadiran Iglesias ke negara ini untuk ke sekian kalinya.

Bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 1 April ini, sememangnya Iglesias cukup teruja untuk kembali ke Malaysia dan beraksi dalam sebuah konsert yang dianggapnya antara yang terbesar pernah dilakukannya di negara ini.

Janji Iglesias, dia akan menghiburkan para peminatnya dengan rangkaian lagu-lagu popular yang telah meletakkan namanya sehingga menjadi penghibur yang disegani.

"Tiada lain yang saya harapkan daripada para peminat saya di Malaysia agar mereka gembira dan terhibur dengan persembahan saya kelak.

"Jika mereka gembira dengan persembahan saya kelak, itu merupakan momen terbaik buat saya untuk dikenang sehingga ke akhir hayat," jelasnya yang akan membuat persembahan selama 90 minit.

Bagi mereka yang mahu menonton konsert A Starry Night With Julio Iglesias World Tour ini, pastikan anda mendapatkan tiket anda dengan kadar segera kerana Hits difahamkan bilangan kini semakin terhad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: