|
|
KEHIDUPAN individu yang bergelar selebriti sememangnya sentiasa menjadi perhatian. Mereka umpama ikon masyarakat yang menjadi contoh kepada orang ramai. Justeru apabila golongan ini terbabit sesebuah persatuan atau aktiviti ia sudah pasti dapat memberi galakan terutama kepada peminat untuk mengikut jejak langkah idola yang dikagumi.
Itu antara cetusan idea terbaru Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati) bersempena ulang tahun ke-30 pada tarikh 24 Mac lalu.
Idea tersebut diumumkan sendiri oleh Presidennya, Datuk Hazimah Zainuddin dalam satu sidang media baru-baru ini yang turut dihadiri ahli jawatan kuasa kerja Peniagawati, serta para selebriti yang terpilih.
Menurut Hazimah, sebelum ini memang ada di kalangan selebriti dan artis yang menganggotai persatuan itu namun ia tidak begitu diketahui umum.
"Penyanyi Sheila Majid juga merupakan anggota Peniagawati. Jadi bersempena dengan ulang tahun ke-30 ini kami mengalu-alukan keahlian mereka dan berharap para selebriti ini akan terus bergiat aktif dalam Peniagawati untuk menjadi contoh kepada generasi muda memilih keusahawanan sebagai kerjaya," katanya pada majlis yang berlangsung di Rumah Peniagawati, di Jalan Maktab, Kuala Lumpur..
Antara selebriti yang hadir untuk menerima kad keahlian masing-masing ialah Zalina Azman, Ras Adiba Radzi, Aishah, Sharifah Shawati dan Ning Baizura yang diwakili ibunya, Satilah Abdullah.
Untuk rekod, antara artis dan selebriti yang telah menganggotai Peniagawati adalah seperti Laila Johari, Ziela Jalil, Sheryl Aida, Wardina, Farah Adeeba dan Wan Zaleha Radzi.
Menurut Hazimah, selebriti-selebriti ini akan diundang pada program khas seperti majlis makan malam amal bersama anak-anak yatim, selain berkongsi pengaman sebagai usahawan dan selebriti pada seminar serta konvensyen yang bakal dianjurkan tidak lama lagi.
Memperkasa wanita
Ditubuhkan pada 1980, Peniagawati telah berjaya mencipta nama sebagai persatuan wanita yang terulung setelah tiga dekad memartabat dan memperkasa usahawan wanita bumiputera.
Hazimah berkata, Peniagawati bukan sahaja telah kekal selama 30 tahun tetapi juga telah mencapai prestasi tinggi sehingga menjadi persatuan yang dihormati dan disegani ramai.
"Penghargaan ini patut diberikan kepada kelima-lima bekas presiden Peniagawati dan semua barisan ahli jawatan kuasa yang telah memberikan sumbangan kepada persatuan semenjak penubuhan persatuan ini 30 tahun lalu.
"Selama tiga dekad, Peniagawati telah berusaha gigih dan memberi sumbangan ke arah perkembangan wanita Bumiputera yang melibatkan diri dalam perniagaan.
"Pelbagai aktiviti dan program termasuk kursus, seminar dan bengkel latihan keusahawan telah dijalankan dan yang paling penting jaringan perniagaan dapat diwujudkan demi memajukan perniagaan masing-masing.
"Selain itu Peniagawati juga prihatin dengan tanggung jawab terhadap masyarakat melalui aktiviti kebajikan dan keagamaan," jelas beliau yang merupakan presiden Peniagawati keenam.
Program sempena ulang tahun
Sempena ulang tahun ke 30, pelbagai program telah diatur , dimulakan dengan majlis kesyukuran dan doa selamat, selain akan menerbitkan isu khas majalah Simbiotik iaitu buletin tahunan keluaran Peniagawati.
"Dalam isu khas ini akan mengimbas kembali sejarah persatuan serta menonjolkan ahli-ahli yang telah berjaya dalam bidang masing-masing.
"Selain itu kami juga akan menerbitkan dua lagi buku di bawah Siri Panduan Keusahawanan Peniagawati yang pastinya amat relevan untuk membantu usahawan wanita," tambah beliau.
Hazimah berkata, kemuncak kepada acara sambutan ulang tahun ke-30 ini ialah Konvensyen Usahawan Wanita Antarabangsa yang akan diadakan pada bulan Oktober tahun ini.
Konvensyen tersebut akan berlangsung selama dua hari dan panel pembentang kertas kerja adalah usahawan-usahawan wanita berjaya dari negara-negara rantau Asia Pasifik.
"Konvensyen ini akan menjadi platform yang sesuai bagi wanita Malaysia berkongsi pengalaman dengan usahawan wanita dari negara lain di samping dapat memperluaskan jaringan perniagaan mereka.
"Salah seorang daripada selebriti yang menganggotai Peniagawati juga akan dijemput menjadi ahli panel bagi berkongsi pengalaman bagaimana mereka menjalani kehidupan serba mencabar sebagai isteri, ibu, usahawan dan selebriti," ujar beliau.
Sementara itu penyanyi, Aishah berkata, penyertaannya dalam persatuan itu diharap dapat memberi hala tuju yang lebih pasti dalam perniagaan kraf yang dijalankan.
"Fokus saya ialah untuk menjadi pengajar kraf tangan, minat yang wujud sejak di bangku sekolah lagi. Buat masa ini saya sedang mengajar latihan kemahiran kraf kepada wanita kurang bernasib baik di bawah program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Dalam bidang nyanyian pula, kini saya sedang dalam usaha menerbitkan sendiri album berunsur spiritual zikir dan doa yang didedikasikan buat kaum ibu dan anak-anak," katanya.
Satilah pula berkata, berdasarkan pengalaman menjadi pengurus anaknya, Ning, dia mendapati artis mempunyai jadual yang begitu ketat, tambahan pula apabila pada masa sama dia menjadi isteri.
"Penyertaan dalam persatuan seperti ini sedikit sebanyak mungkin boleh membantu mereka menambah pengetahuan terutama dalam hal pengurusan.
"Selain itu usahawan wanita juga perlu memanfaatkan Internet dengan baik kerana ia memang sangat berguna untuk menjana perniagaan," katanya.
Ning sebagai contoh mempunyai blog sendiri dan ada di antara peminat yang minta dia agar buka kelas vokal.
Bagi personaliti, Sharifah Shawati, walaupun telah meninggalkan bidang penyiaran selepas berhenti dari TV3 pada tahun 2002 , dia masih dikenali ramai.
Untuk itu dia mengambil kesempatan berkecimpung dalam bidang pembentukan imej khusus untuk membantu wanita.
"Saya mahu berkongsi pengalaman yang pernah saya rasai sebagai penyampai televisyen dan pramugari.
Saya sentiasa mencabar diri dengan belajar dan berkursus agar ilmu dan pengalaman itu boleh diajar kepada wanita lain," katanya.
Terkini dia melancarkan produk minyak aura istimewa untuk menyerlahkan kewanitaan yang diberi label Adamaya bersempena gabungan nama anak-anaknya.
"Kehidupan seorang orang kurang upaya (OKU) memang mencabar. "Saya mengambil masa lebih setahun setengah untuk menerima keadaan baru saya," demikian luahan hati Ras Adiba Radzi.
Dalam pada itu katanya, ramai kawan-kawan menjauhkan diri dan mungkin mereka tidak tahu apa hendak dikatakan kepadanya.
"Saya juga kehilangan kerja, namun saya bangkit dan menubuhkan syarikat sendiri yang diberi nama Pro Trading. Syarikat saya memasarkan beg dan pelbagai lagi barangan, saya juga bertuah kerana aktif dalam persatuan untuk OKU seperti PerwiraK9," katanya yang bersyukur kerana semakin banyak syarikat kini mewujudkan kemudahan untuk kakitangan OKU.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: