Tuesday, March 30, 2010

Penerus legasi seni persembahan negara


BANGGA... Empat pelajar Aswara yang menerima Geran Pelajaran Aswara (dari depan) Nur Afiqah Zainuddin, Mohd. Nur Faillul Adam, Norhasmidar Ahmad dan Shariffah Mariam Syed Abdullah.


BIARPUN masih muda, tetapi semangat dan keazaman yang dimiliki oleh empat orang anak muda ini membuktikan mereka mahu melihat satu anjakan paradigma dalam bidang yang cukup diminati mereka.

Shariffah Mariam Syed Abdullah, 25; Nur Afiqah Zainuddin, 22; Mohd. Nur Faillul Adam, 22; dan Norhasmidar Ahmad, 23, masing-masing boleh tersenyum puas serta bangga apabila menerima Geran Pelajaran Aswara bernilai RM22,804.

Semuanya adalah untuk menampung yuran pembelajaran mereka di Akademi Seni Budaya dan Warisan atau lebih dikenali dengan akronim Aswara.

Keempat-empat anak muda ini menuntut di tahun satu di institusi pengajian tinggi terkemuka itu dalam empat cabang seni yang berbeza yang mewakili teater, penulisan, tarian dan muzik.

Apa yang pasti, semuanya itu tidak akan dicapai seandainya tiada inisiatif daripada Kakiseni.com dan BOH Plantations Sdn. Bhd., yang tidak pernah jemu memartabatkan industri seni persembahan di negara ini.

Apa yang membuatkan geran ini begitu istimewa ialah ia merupakan sumbangan daripada orang perseorangan setiap kali Anugerah Seni BOH Cameronian dianjurkan sejak tujuh tahun lalu.

Hanya pada tahun lalu, Kakiseni.com, BOH Plantations dan juga Aswara sepakat untuk mewujudkan dana pelajaran bagi membantu anak muda yang mahu meneruskan legasi seni persembahan negara.

Selaku penganjur utama acara anugerah yang mengiktiraf karyawan seni teater, muzik dan tari itu, mereka memang mengambil berat tentang usaha untuk terus memelihara seni persembahan yang wajar diteruskan oleh generasi muda.

"Kerana itu, kami percaya dengan geran yang diberikan kepada empat pelajar terbaik ini akan menjadi pembakar semangat buat mereka merealisasikan impian dan cita-cita mereka untuk menjadikan bidang seni persembahan sebagai industri yang cukup dihormati," jelas pengarah dan pengasas bersama Kakiseni.com, Kathy Rowland sewaktu ditemui baru-baru ini.

Dia berkata demikian dalam satu sidang akhbar penyerahan geran pelajaran kepada keempat-empat pelajar tersebut di ibu pejabat BOH Plantations, Persiaran Hampshire, Jalan Ampang di ibu negara.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif BOH, Caroline Russell yang telah menyerahkan geran kepada pelajar-pelajar tersebut.

Kathy menambah, pemilihan pelajar dilakukan berdasarkan keputusan cemerlang yang mereka perolehi sewaktu peperiksaan semester akhir ketika menuntut di peringkat diploma.

"Kriteria pemilihan pelajar semuanya dilakukan oleh pihak Aswara dan hanya mereka yang terbaik sahaja terpilih untuk menerima geran pelajaran ini.

"Kami memilih pelajar di tahun pertama kerana ia merupakan permulaan segala-galanya dalam membentuk karier dan hala tuju mereka di dalam industri.

"Apa yang kami harapkan dengan geran ini mereka akan terus belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang sekali gus melunaskan visi dan misi mereka," ujarnya tersenyum sambil memerhatikan empat pelajar yang mengapitnya sepanjang sidang akhbar itu.

Pada masa sama, Kathy turut disoal tentang pemilihan pelajar dari Aswara yang terpilih untuk menerima geran tersebut sedangkan di negara ini ada juga beberapa institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus dalam bidang seni persembahan.

Sambil tersenyum, Kathy menjelaskan pihaknya mempunyai alasan kukuh mengapa institusi pengajian tinggi awam itu dipilih untuk program yang julung kali diadakan itu.

"Sepanjang sedekad ditubuhkan, Aswara telah melahirkan ramai individu yang diakui kehebatan bakat-bakat mereka.

"Lagipun, kami mahukan institusi yang diusahakan oleh pihak kerajaan dan sebagai sebuah badan yang menyokong industri seni persembahan di negara ini, kami mahu membantu mereka.

"Jika hendak dibandingkan dengan institusi pengajian tinggi swasta, mereka yang memasuki Aswara ada kalanya daripada mereka yang mungkin kurang berkemampuan," jelas Kathy.

Sementara itu, Caroline pula berpendapat seni persembahan di negara ini telah menunjukkan evolusi yang sangat ketara dan kerana itu, tidak mustahil empat pelajar yang menerima geran ini mampu melakukan sesuatu bagi merancakkan lagi industri seni negara.

"Saya dapat melihat sepanjang 10 tahun kebelakangan ini, masyarakat semakin membuka mata dan minda mereka terhadap bidang seni persembahan di negara ini.

"Jadi, pelajar-pelajar inilah yang harus meneruskan warisan itu agar ia dapat dipupuk dan disemai di kalangan generasi muda hari ini untuk terus memeliharanya.

"Dengan adanya program seperti ini, ia juga merupakan pemberian semula masyarakat untuk anak-anak muda ini yang mungkin selama ini melihat bidang seni persembahan sebagai sesuatu yang tidak mampu menjamin masa depan," jelas Caroline sambil memuji kesungguhan dan semangat empat pelajar tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: