Wednesday, March 31, 2010

Penunjuk perasaan enggan berunding


SEORANG penyokong Thaksin mengurut rakannya pada satu tunjuk perasaan di Bangkok semalam.


BANGKOK - Kumpulan penunjuk perasaan yang menyokong bekas perdana menteri Thailand yang digulingkan, Thaksin Shinawatra semalam menolak tawaran Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva untuk terus mengadakan perbincangan.

Penunjuk perasaan itu sebaliknya menganggap rundingan dua pusingan sejak Ahad lalu gagal kerana Abhisit tidak mahu memenuhi tuntutan kumpulan itu bagi membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baru dalam tempoh 15 hari.

"Tiada lagi perbincangan, segala-galanya selesai," kata seorang pemimpin pergerakan itu, Jatuporn Prompan dan menolak tawaran Abhisit untuk berbincang semula esok.

Sejumlah penunjuk perasaan masih 'berkampung' di Bangkok bagi menuntut Parlimen yang ada sekarang dibubarkan.

Perbincangan bermula Ahad lalu setelah kumpulan protes itu yang terkenal dengan gelaran Baju Merah mengadakan demonstrasi di sini sejak 12 Mac lalu bagi mendesak Abhisit berundur dan mendakwa kerajaan sekarang sebagai tidak sah.

Mereka mendakwa kerajaan Abhisit ditubuhkan bukan atas pilihan rakyat selepas Thaksin digulingkan pada 2006 menerusi rampasan kuasa tentera.

Thaksin yang kini hidup dalam buangan akan dikenakan hukuman penjara dua tahun atas kesalahan rasuah pada 2008 jika beliau kembali ke Bangkok.

Namun pemimpin itu masih popular di kalangan rakyat miskin yang membentuk kumpulan Baju Merah bagi menentang kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: