Tuesday, March 30, 2010

Persiapan ke kem musim AS




"TIADA rahsia di sebalik kejayaan saya hanya usaha dan doa." ujar Philip Chin Zhen Yew, 16, salah seorang daripada lima peserta yang terpilih mengikuti program Permata Pintar Negara.

Menurut pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling, Batu Lanchang Air Itam, Pulau Pinang itu, usahanya selama ini menjadi pengukur kejayaannya.

Kata beliau, masa lapangnya akan dipenuhi dengan aktiviti mengulangkaji pelajaran. Zhen Yew juga tidak pernah menyediakan jadual pembelajaran di rumah sebaliknya menentukan kualiti masa yang tersendiri.

Zhen Yew akan tidur seawal pukul 10 malam supaya lebih bertenaga keesokan harinya. Berita pemilihannya ke Amerika Syarikat (AS) selama sebulan satu kejutan kepadanya.


ZHEN YEW (duduk dua dari kanan) dikerumuni oleh rakan-rakan sekelasnya di Sekolah Menengah Chung Ling, Jalan Air Itam kerana terpilih ke Amerika Syarikat.


"Hanya saya seorang sahaja pelajar Cina yang layak ke peringkat seterusnya yang berakhir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain seorang pelajar India dan tiga pelajar Melayu," jelasnya.

Apakah persediaannya sebelum mengikuti kem perkhemahan selama sebulan itu? Kata Zhen Yew, kini dia sibuk mengumpul maklumat berkaitan Universiti John Hopkins-Pusat Belia Berbakat yang merupakan tempat penginapan mereka di AS, termasuk mata pelajaran yang diketengahkan serta peraturan yang perlu dipatuhi.

Malah dia sedaya upaya berkongsi pengalaman bersama rakan-rakannya mengenai sejarah dan cara hidup masyarakat di sana.

Sebagai seorang anak muda yang bertanggungjawab mengharumkan nama negara ke mata dunia, Zhen Yew mahu berkongsi mengenai signatur makanan tradisi dan perayaan di Malaysia.

Bukan itu sahaja, dia juga akan berkongsi beberapa destinasi menarik yang harus dikunjungi oleh pelancong seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Saya akan membawa resipi pulut udang ke sana dan sekiranya ada peluang saya akan membawa bahan-bahan nya untuk dihidangkan kepada mereka.

"Bagi menyahut konsep 1Malaysia, saya akan memakai baju batik dan baju Melayu bagi mempamerkan keaslian masyarakat kita di sana," jelasnya.


ZHEN YEW bertanyakan sesuatu kepada gurunya Koo Phaik Kueh (kiri) ketika pembelajaran subjek biologi di sekolahnya.


Sementara itu, Penolong Kanan sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling, Tan Song Hee berkata, pihak sekolah akan memberikan sokongan kepada Zhen Yew.

Melalui program seumpama itu, guru-guru dapat mengesan kepakaran seorang pelajar walaupun mereka tidak pernah menunjukkan sebarang kebolehan.

Sementara itu, S. Kalithashinee, 14, mengakui dia teruja apabila terpilih sebagai salah seorang duta Permata Pintar Negara.

Dia merupakan pelajar yang terpilih mewakili negara untuk mengikuti program Perkhemahan Musim Panas 2010 di Universiti Johns Hopkins-Pusat Belia Berbakat di AS selama sebulan bermula 16 Jun ini.

Menyedari tugas besar menanti kerana memikul nama negara, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Onn, Butterworth, Pulau Pinang itu sudah ada perancangan.


KALITHASHINEE (tiga dari kiri) menunjukkan keratan akhbar berhubung pemilihannya sebagai duta Pusat Permata Pintar Negara ke program perkhemahan musim panas 2010 di Amerika Syarikat.


Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Terbakar, Sungai Puyu, Butterworth, Kalithashinee memberitahu, peluang keemasan itu diperoleh ketika dia menyertai satu pertandingan esei melalui talian yang dianjurkan oleh Pusat Permata Pintar Negara yang berpusat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun lalu.

Teruja timba pengalaman

Kalithashinee kemudiannya telah dipelawa untuk menyertai satu perkhemahan selama seminggu yang diadakan di UKM pada Disember lalu. Pada perkhemahan itu, Kalithashinee turut diberi ujian kecerdasan (IQ) berdasarkan subjek penulisan dan dia memperoleh markah yang bagus.

"Saya bersyukur kerana terpilih antara lima pelajar yang akan mengikuti program perkhemahan musim panas di AS," katanya.

Pemilihannya itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang dihantar oleh Pusat Permata Pintar Negara.

Selain Kalithashinee, turut terpilih adalah Rabiatul Awadiyah Ishak, 13, dari SMK Batu Lintang, Kuching, Sarawak; Ahmad Asyraf Burhani, 15, dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maarif Bukit Goh, Kuantan, Pahang; Philip Chin Zhew Yew, 16, dari SMJK (C) Chung Ling, Pulau Pinang dan Muhammad Akmal Hasbullah dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kelantan.

Mereka merupakan pelajar pintar cerdas negara yang terpilih untuk menyertai program yang diumumkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor semasa melancarkan Tahun Ke-2 Ujian Saringan Pertama Permata Pintar UKM 1 di Kolej Tunku Kurshiah Seremban, awal Mac lalu.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, walaupun teruja untuk menimba pengalaman selama sebulan di AS, dia menyedari bahawa segala persiapan perlu disiapkan sempurna mungkin agar tidak mengecewakan Permata Pintar Negara.

Persiapan ke AS

Justeru dalam masa tiga bulan lagi, dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor telah mula membuat persediaan termasuk mendalami tata cara hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, beberapa orang guru turut membantu mengajarnya cara bermain alat muzik tradisional serta pencak silat.

Malah menurut Pengetua SMK Dato' Onn, Calsom Ibrahim, pihak sekolah sendiri telah menyusun jadual pada setiap minggu supaya Kalithashinee mempunyai waktu yang cukup untuk mempelajari permainan tradisional dan seni silat.

"Setiap minggu Kalithashinee belajar bermain kompang bersama beberapa pelajar lain supaya dia dapat membuat persembahan dengan sempurna ketika berada di AS.


THERESA, (kanan) ibu dan bapa Kalithashinee, Sivabalan (kiri) membantunya memilih pakaian tradisional kaum India yang akan dibawa ke Amerika Syarikat.


"Kita juga sediakan guru yang akan mengajar Kalithashinee pencak silat untuk diperkenalkan kepada pelajar asing," jelasnya.

Pihak sekolah turut membantu dari segi kewangan dengan membuat kutipan daripada pelajar, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Alumni bagi menampung berpelanjaan Kalithashinee ketika berada di perantauan.

Jelas Calsom, sungguhpun segala perbelanjaan ditanggung oleh Pusat Permata Pintar Negara, namun pihak sekolah bertanggungjawab memberi sokongan dan sumbangan kewangan sebagai penghormatan kepada Kalithashinee yang akan membawa nama baik SMK Dato' Onn di persada dunia.

Selain pihak sekolah, Kalithashinee turut mendapat bantuan ahli keluarganya untuk mempersiapkan diri sebelum berangkat ke AS termasuk bapanya, R. Sivabalan, 48, dan ibunya, K. Theresa, 45.

Menurut Sivabalan, anaknya turut mempelajari tarian tradisional kaum India sebagai salah satu persembahan yang akan dipertontonkan kepada pelajar asing semasa menyertai perkhemahan itu.

"Selain memperkenalkan negara kepada pelajar asing, saya harap Kalithashinee juga akan menimba pengalaman dan pengetahuan yang diperolehnya untuk dikongsi bersama kami dan rakan-rakannya," jelas Sivabalan yang bekerja di sebuah kilang di Perai, Pulau Pinang.

Sivabalan turut menaruh harapan anaknya itu akan terpilih ke Akademi Permata Pintar yang akan dibuka di UKM penghujung tahun ini yang dikhaskan kepada pelajar pintar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: