KUALA LUMPUR - Polis meminta kerjasama Jabatan Imigresen menghalang pelakon popular era 90-an ke luar negara berikutan laporan polis yang dibuat isterinya berhubung kes dakwaan memukul dan mengasari mangsa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, langkah berkenaan terpaksa diambil bagi memastikan suspek tidak dapat melarikan diri berikutan telah tersenarai sebagai orang dikehendaki polis.
“Kita meminta pihak Imigresen menyenaraihitamkan suspek daripada meloloskan diri ke luar negara,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian, semalam.
Difahamkan, polis yang membuat serbuan di rumah suspek di Bukit E, Kampung Cheras Baru, awal pagi semalam, bagaimanapun gagal menemui suspek.
Pelakon berkenaan dikatakan tidak pulang ke rumah dan menghilangkan diri setiap kali isterinya membuat laporan polis.
Kejadian Rabu lalu merupakan laporan keempat membabitkannya termasuk dua laporan berhubung ugutan jenayah terhadap isterinya.
Dalam kejadian Rabu lalu, suspek didakwa memukul isterinya ketika bertengkar berikutan mangsa dikatakan mengesyaki dia mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain setelah melihat mesej di dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) telefon bimbitnya.
Wanita itu mendakwa dipukul dengan teruk sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
Abdul Jalil berkata, orang awam yang mengenali atau mengetahui di mana suspek berada diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: