Tuesday, March 30, 2010
Baru tahu erti 'angau'
Majlis resepsi pelakon Umie Aida yang kini bergelar Datin Paduka dan suaminya Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan berlangsung dengan meriahnya. Bertempat di Hotel One World, Kuala Lumpur, majlis yang bertemakan tradisional ini menyerlahkan lagi keayuan Umie dan suaminya.
Umie bagaikan ratu Melayu apabila mengenakan busana merah rekaan pereka terkenal Jovian Mandagie. Majlis tambah meriah apabila turut dimeriahkan dengan alunan vokal memukau daripada penyanyi Ziana Zain, Farhan dan Salamiah Hassan khas buat raja dan ratu sehari itu. Turut hadir memeriahkan majlis resepsi adalah Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Bukan sahaja cantik dengan busana merah, kecantikan Umie turut terserlah apabila mengenakan gaun putih dipenuhi bunga mawar juga rekaan Jovian untuk persalinan kedua saat memotong kek.
Walaupun tempoh perkenalan di antara Umie dan Khairuddin yang juga seorang ahli perniagaan amat singkat, namun ketentuan Illahi telah menyatukan dua hati ini untuk melayari bahtera rumah tangga dan selamat dinikahkan pada tanggal 14 Mac lalu di Masjidil Haram, Makkah.
Mengakui amat sukar melalui fasa percintaan sebelum perkahwinan, Umie dan suami ketika ditemui selepas majlis resepsi, bersyukur kerana dikurniakan seorang lelaki yang begitu memahami dirinya dan semakin selesa bercinta selepas berkahwin.
“Alhamdulillah, setakat hari ini (semalam) kami berdua amat tenang dan bahagia sekali. Baru sekarang saya tahu nikmatnya bercinta selepas berkahwin.
“Walaupun pada mulanya hati saya berdebar-debar dan seakan tidak percaya, tapi kuasa Tuhan merubah segala-galanya. Semoga ikatan ini berkekalan selamanya,” katanya.
Umie akui bukan mudah untuk menjadi seorang isteri solehah namun akan terus mencuba untuk menjadi yang terbaik buat suami serta anak-anaknya.
Angau dengan suami
“Dalam fasa ini, saya masih belajar dan akan terus belajar untuk menjadi yang terbaik buat anak-anak kami. Lagi pula sekarang ini baru saya rasa apa itu ‘angau’.
“Nak kata kelakar pun ada, seronok pun ada. Tapi itulah kuasa Allah,kan. Saya terima ini sebagai jodoh dan berharap ia berkekalan. Susah untuk saya ungkapkan perasaan itu. Cuma Allah sahaja yang tahu bagaimana rasanya.
“Kalau sebelum ini hati saya berbelah bahagi untuk berkahwin kerana takut tidak dapat menyayangi suami dan tidak dapat menjadi isteri yang baik, tetapi kini segala-galanya telah berubah. Saya sangat bersyukur. Saya sentiasa belajar untuk memperbaiki segala kelemahan diri agar rumah tangga kami bahagia,” katanya.
Menurut suaminya, pada April depan, mereka akan ke London di atas urusan perniagaan dan terus ke Switzerland untuk berbulan madu.
“Saya sudah pun memulakan tugas balik sahaja daripada Makkah. Buat masa ini, saya agak sibuk dan ada urusan perniagaan di London selama dua minggu. Saya bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang memahami kerja saya dan saya akan membawanya sekali ke sana, cuma bulan madu kami hanya akan bermula selepas itu,” ceritanya yang gemarkan roti sardin dan sup air tangan isterinya.
Bercerita mengenai cahaya mata, Umie yang sudah mempunyai dua orang anak angkat serta dua anak tiri hanya menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa.
“Sekarang saya dah ada empat anak. Jika diberikan rezeki, kami akan terima dengan hati terbuka. Cuma kami tidak pernah merancang apa-apa,” katanya.
Umie juga akan berpindah ke rumah baru hadiah perkahwinan daripada suaminya namun masih belum membuat persiapan memandangkan jadual kerja suaminya yang padat.
“Kami memang akan berpindah tapi buat masa ini, segala keperluan belum lagi dibeli. Insya Allah nanti bila ada kelapangan kami akan beli dan bersiap untuk ke rumah baru,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: