Monday, March 29, 2010

Isa Gravity tidak malu jadi pemandu teksi


PEMANDU TEKSI... Isa Gravity.


SESEKALI apabila terdengar lagu Kesinambungan Cinta nyanyian Isa Gravity berkumandang di radio, pasti terbayang di mata kita seraut wajah penyanyinya dengan imej rambut kerinting. Alunan suaranya yang mendayu membuatkan ramai yang sayu menghayatinya lagu yang indah dengan lirik yang menyentuh hati.

Waktu itu, memang tidak dinafikan penyanyi bertubuh kecil berambut kerinting ini menjadi kegilaan ramai gadis remaja kerana keasyikan irama dan liriknya.

Tetapi itu cerita 19 tahun dulu ketika album pertama kumpulan itu Inspirasi menemui para peminat senisuara dengan lagu hitsnya Kesinambungan Cinta.

Namun masa berlalu, Isa Gravity atau nama sebenarnya, Isa Hamzah menjadi penyanyi kumpulan yang dianggotai oleh Allahyarham Ahmad Abdullah (dram), Daud Yusof (gitar Utama) dan Muhammad Hassan (gitar bass).

Kini, Isa yang pernah hidup glamor sebagai penyanyi bersama kumpulannya sudah beralih arah ke bidang lain.

Dunia glamor sudah tidak bererti lagi bagi Isa kerana yang penting baginya mencari rezeki untuk isteri, Norhairani Hassan,32, dan dua anak mereka; Mohd. Izzuddin,9, dan Nur Hidayah,6.

"Saya tak kisah apabila ada yang menaiki teksi saya bertanya nama dan mahu saya menyanyikan lagu itu," katanya memulakan perbualan.

Apa lagi menyedari permintaan penumpangnya ikhlas, Isa menyanyikan sebaris dua lagu itu bagi memuaskan hati dan meyakinkan mereka.

Isa juga pernah tergamam seketika apabila ada penumpang yang bertanya apakah dia malu daripada seorang penyanyi menjadi pemandu teksi.

"Bagi saya tiada apa yang harus dimalukan kerana saya tidak melakukan jenayah, sekadar mencari rezeki yang halal dengan menggunakan tulang empat kerat.

"Biarpun kadangkala terlalu penat kerana bekerja selama 12 jam mulai 10 pagi, tetapi saya bersyukur kerana mampu menyara keluarga hasil dari titik peluh sendiri," kata Isa dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Isa bersama Gravity mula mencipta populariti pada tahun 1991 dengan album pertamanya Inspirasi (1991) diikuti album kedua Anak Langit (1993 lagu hits Kasih Dirundung Mega), Keunggulan (1995-lagu hits Kecundang) dan album terakhir pada tahun 1998, Rambak.

Tiga album mereka diterbitkan oleh NSR, manakala album terakhir dibawah label Ambang Klasik.

Sayang sekali ketika album keempat siap, negara mengalami kegawatan ekonomi dan album Gravity gagal di pasaran.

Menyedari gelanggang seni tidak menjanjikan kegemilangan, Isa dan rakannya sepakat membawa haluan masing-masing.

Sudahnya, pada pertengahan 1998, isa bekerja dengan sebuah syarikat pembunuh serangga.

"Dua tahun saya bekerja, tetapi pendapatannya terlalu kecil dan ada ketika terpaksa ke luar daerah, akhirnya saya berhenti kerja.

"Bermula tahun 2000 sehinggalah sekarang, saya memandu teksi. Walaupun pendapatannya tidak lumayan, tetapi saya seronok dan bersyukur sangat kerana bekerja sendiri tidak ada sesiapa yang memerintah.

"Apa yang penting, kita mesti rajin, jujur dan ikhlas. Sebagai pemandu teksi saya tidak pernah merasa malu walaupun dulu saya dikenali sebagai penyanyi," akui Isa mengenai tugas sebagai pemandu teksi.

Menceritakan pengalamannya sebagai pemandu teksi, sambil ketawa Isa menyambung bicara;

"Saya ingat jadi penyanyi saja yang kadangkala ditipu promoter yang tidak bertanggungjawab rupa-rupanya jadi teksi pun kena tipu dengan penumpang.

"Saya masih ingat, mula-mula bawa teksi saya membawa seorang penumpang warga asing dari Segambut yang hendak ke Jalan Chow Kit. Waktu itu hujan, jalan memang jem teruk.

"Sampai sahaja di rumah flat Chow Kit meter menunjukkan RM20, dia kata tak cukup duit dan minta saya tunggu dan dia naik ke tingkat tiga sekejap.

"Hampir dua jam saya tunggu, dia tak muncul-muncul. Akhirnya saya tahu sia-sia sahaja menunggu, saya teruskan perjalanan untuk mencari rezeki yang lain."

Bukan sekali Isa ditipu penumpang, malah lebih daripada itu, tetapi akhirnya Isa reda kerana itulah dugaan sebagai pemandu teksi.

Menurut Isa, walaupun ditipu penumpang dia tidak pernah menyesal dengan kerjanya sekarang tetapi sesuatu yang buat dia kadangkala takut mengingatkannya apabila digoda lelaki gay.

"Bayangkan dalam teksi hanya kami berdua. Penumpang tu duduk depan, mulanya saya tak kisah tetapi apabila dia mula meraba, saya yang mula takut tidak marah sebaliknya memberi nasihat.

"Akhirnya penumpang itu malu sendiri, dia minta maaf dan turun di destinasi yang bukan dirancang," cerita Isa sambil ketawa menyingkap nostalgia masa mula-mula jadi pemandu teksi.

Kini kata Isa, setelah hampir 10 tahun membawa teksi, dia bersyukur kerana walaupun pendapatan bersih sehari antara RM50 hingga RM130 mampu memberi kehidupan yang sempurna kepada keluarganya.

"Kerja sendiri ni senang. Walaupun saya bekerja 12 jam sehari tetapi saya boleh ambil anak dari sekolah, boleh berhenti menjalankan kewajipan saya sebagai seorang muslim dan berehat seketika.

"Bukan itu sahaja, walaupun saya sudah bertukar karier namun masih ada juga promoter yang mengundang saya menyanyi," kata Isa yang kadangkala memenuhi undangan menyanyi di tapak-tapak ekspo.

"Memandangkan ada yang masih kenal dan sudi mengundang saya menyanyi, saya bersama rakan penyanyi Zamri merakamkan album pada November tahun lalu.

"Dengan modal sebanyak RM20,000 album yang mengandungi 10 buah lagu itu merakamkan lima lagu saya antaranya Sinambungan Cinta dan lima lagu popular Zamri antaranya Tugu Cinta," katanya mengenai album Kembali Bersinar terbitan Indra Production yang akan diedarkan tidak lama lagi

Ditanya mengenai rakan-rakannya yang lain, kata Isa:

"Daud kini jadi imam di sebuah masjid di Kuala Lumpur, Muhammad menjadi petugas kakitangan pencegah maksiat di Segamat. Tetapi seorang anggota Gravity, Ahmad Abdullah telah meninggal dunia tiga tahun lalu dalam usia 42 tahun kerana sakit jantung."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: