Tuesday, March 30, 2010

Marionexxes beraksi di AS


MARIONEXXES mencipta sejarah sebagai kumpulan pemuzik Malaysia pertama akan mengadakan persembahan pada Konsert Vans Warped Tour 2010 di Salt Lake City, Utah, Amerika Syarikat pada 8 Ogos ini.


VANS Warped Tour merupakan antara siri konsert muzik rock bergerak terbesar dan popular yang akan diadakan di seluruh Amerika Syarikat (AS) mulai 25 Jun hingga 15 Ogos ini. Puluhan kumpulan ternama menjayakan konsert itu yang diadakan pada setiap tahun di mana ia menjadi impian ramai pemuzik termasuklah dari Malaysia.

Marionexxes merupakan satu-satunya kumpulan dari negara ini yang terpilih beraksi pada konsert Vans Warped Tour 2010 yang akan diadakan di Salt Lake City, Utah, AS pada 8 Ogos ini.

Menurut penyanyi kumpulan itu yang berasal dari Kuala Lumpur, Piko atau nama sebenarnya Abdul Wahid Abdul Halim, 29, dia berasa bertuah apabila terpilih beraksi pada konsert gergasi tersebut.

Katanya, dengan berbekalkan konsep muzik pop kabaret yang diketengahkan Marionexxes, penganjur konsert itu tertarik menjemput mereka.

"Kami tidak percaya apabila pada 12 Mac lalu pihak penganjur konsert itu memberitahu bahawa Marionexxes terpilih mengadakan konsert itu selepas kami menghantar permohonan.

"Mungkin berbekalkan sebuah album berjudul Bane Music X yang mengandungi 16 buah lagu dan konsep muzik pop kabaret mereka tertarik dengan keunikan konsep muzik kami.

"Inilah peluang kami untuk mempromosikan album pertama kami itu di sana," katanya kepada Hits sewaktu dihubungi di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Piko yang merupakan tutor di Pusat Kebudayaan UM berkata, dia berasa gementar kerana Vans Warped Tour 2010 akan dijayakan oleh banyak kumpulan terkemuka dunia.

Antara kumpulan yang akan menjayakan konsert itu ialah NOFX, Anti-Flag, The All American Rejects, Discharge, GBH, Pennywise, The Adolescents, Sum41 dan Suicide Silence.

Selain Piko, Marionexxes yang turut dianggotai oleh Ali selaku pemain bass, Eddy (dram) dan Izham (gitar) kini sedang giat berlatih selain mencari penaja untuk menjayakan konsert itu.

"Kalau ditakdirkan tiada penaja, kami sanggup mengeluarkan duit sendiri kerana peluang ini bukannya mudah diperolehi," ujarnya.

Tambah Piko, album sulung mereka yang mula dijual pada Januari lalu dan mengandungi sebuah lagu Melayu, Harimau Malaya mendapat sambutan hangat.

Sejak ia dijual melalui Internet dua bulan lalu 600 unit cakera padat album itu telah dibeli oleh para peminat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Marionexxes, album dan perkembangan mengenai Vans Warped Tour 2010 sila layari laman sesawang mereka www.myspace.com/marionexxes.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: