Wednesday, March 31, 2010

Ramai pelajar tersingkir awal

KOTA BHARU - Pos Malaysia Berhad mengesan sebahagian besar daripada kira-kira 120,000 pelajar yang menyertai Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri yang diadakan baru-baru ini, tidak memahami teknik penulisan surat.

Pengerusi Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Tan Sri Aseh Che Mat berkata, pihaknya bimbang jika masalah itu berpunca daripada ledakan teknologi siber termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) menyebabkan generasi muda hari ini gagal menguasai teknik dan gaya penulisan surat dengan betul.

"Selepas pertandingan dilanjutkan tarikh tutup pada 19 Mac lalu, kita menerima tambahan penyertaan sehingga melebihi sasaran sebenar 100,000.

"Namun begitu, sebahagian besar penyertaan itu tidak menepati format penulisan surat yang telah ditetapkan oleh Pos Malaysia.

"Kemungkinan kecanggihan teknologi yang tertumpu kepada SMS menyebabkan ramai yang tidak mahir lagi menulis surat dan terlupa caranya," kata beliau selepas melancarkan Mentor Protege dan Laman Web Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas serta Anugerah Juara 2009 di sini semalam.

Beliau berkata, tindakan tertentu mungkin boleh diambil bagi mengatasi kelemahan yang berlaku agar tidak berulang pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Pos Malaysia, Datuk Rohaiza Hashim ketika dihubungi berkata, pihaknya melakukan proses penapisan dan penyingkiran terhadap penyertaan yang tidak mengikut format ditetapkan.

"Proses pengadilan sebenar akan dilakukan oleh 28 orang profesional dari Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pelajaran," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: