Tuesday, March 30, 2010

Si comel menagih sayang


Wajah comel Siti Aisyah yang meruntun hati sesiapa saja memandangnya.


SEBAIK terpandang wajah comel pemilik nama Siti Aisyah, hati terus menjadi sebak. Bukan hanya kerana melihat penyakit yang ditanggungnya bahkan mengenangkan nasib si comel yang putih bersih tidak dipalit segaris dosa itu ditinggalkan oleh ibunya begitu sahaja.

Berbaur rasa sayu dan marah lebih-lebih lagi apabila mengenangkan seorang ibu sanggup meninggalkan anak yang dikandung selama sembilan bulan 10 hari tanpa sebarang perhatian, apatah lagi Siti Aisyah kini menderita penyakit hidrosefakus, iaitu sejenis penyakit yang berpunca daripada pengumpulan cecair berlebihan dalam otak.

Difahamkan, ibu Siti Aisyah merupakan seorang pelajar yang telah terlanjur dan untuk menutup malu dia meninggalkan bayi comel itu di rumah perlindungan Sinar Salam, di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Kini berusia 10 bulan, Siti Aisyah yang memiliki sepasang mata cantik, hidung mancung dan kulit putih gebu merupakan seorang bayi yang aktif.

Sesekali tangannya dihulur sambil mata beningnya seolah merayu minta didukung pada sesiapa saja yang menghampirinya.

Nasib yang menimpa Siti Aisyah mungkin tidak jauh beza dengan kes bayi-bayi dibuang yang banyak tersiar di dada akhbar akhir-akhir ini.

Cuma Siti Aisyah sedikit bernasib baik kerana dia tidak ditinggalkan di depan pintu rumah orang, pintu masjid, bawah pokok atau tempat pembuangan sampah yang boleh mengancam nyawanya.

Sebaliknya dia telah diserahkan kepada pusat penjagaan yang mampu menjaganya dengan baik.

Begitupun sejak dilahirkan, ibunya langsung tidak pernah menjenguk apatah lagi mengambil tahu mengenai perkembangan anak kecil itu.

Menurut penyelia pusat perlindungan Sinar Salam, Arfidar Abd. Latif yang juga bertanggungjawab mengatur kunjungan penulis petang itu, selain Siti Aisyah, terdapat beberapa lagi kanak-kanak senasib dengannya yang masing-masing mempunyai cerita sendiri.

Antaranya, Siti Hajar yang kini berusia tiga tahun dan hidup sebatang kara kerana ibunya dipenjarakan atas kesalahan mengandungkan anak luar nikah.

Berbeza pula dengan Amirul Amar Afzan, satu tahun enam bulan dan Abdul Rahman yang baru, bersuai sebulan dikira bertuah kerana ibu masing-masing sentiasa di sisi mereka.

Ketika mengandungkan Amirul, ibunya yang merupakan seorang pelacur (ketika itu) juga seorang penagih dadah tegar.

Malah pengambilan dadah tetap diteruskan walaupun tahu diri sedang mengandung.

Namun kuasa Tuhan mengatasi segala-galanya apabila Amirul dilahirkan dengan cukup sifat tanpa sebarang kecacatan.

Begitupun sebaik sahaja dilahirkan, Amirul telah diberikan suntikan dadah oleh doktor dalam usaha menghilangkan ketagihan akibat daripada pengambilan dadah setiap hari oleh ibunya.

Suntikan tersebut terpaksa diberi secara berterusan selama tiga bulan. Amirul hari ini merupakan seorang yang aktif seperti kanak-kanak yang lain.

Walaupun begitu, kanak-kanak itu masih perlu menjalani satu lagi ujian apabila usianya mencecah dua tahun untuk mengetahui sama ada tubuhnya dijangkiti HIV atau sebaliknya kerana ibunya merupakan penghidap HIV positif.

Bagi Abdul Rahman pula, masa depannya masih lagi samar-samar.

Ini kerana ibunya menghidap penyakit mental selain kanak-kanak itu sendiri mengalami jangkitan kuman pada paru-parunya akibat tertelan air najis ketika dalam kandungan.

Kini, setiap bulan Abdul Rahman akan dibawa berjumpa doktor dalam usaha mengubati penyakitnya.

Baik Siti Aisyah, Siti Hajar, Abdul Rahman mahupun Amirul, yang pasti mereka juga inginkan kehidupan yang sempurna seperti kanak-kanak lain.

Bukan itu sahaja, mereka turut mendambakan kasih sayang seorang ibu dan bapa di samping sebuah keluarga yang bahagia.

Tetapi apakan daya, nasib telah tertulis sedemikian dan mereka seharusnya meneruskan kehidupan seperti individu yang lain.

Persoalannya, adakah mereka akan diterima oleh masyarakat apabila besar dan dewasa sedangkan hakikatnya, apa yang berlaku bukan kesalahan mereka.

Yang pasti, Siti Aisyah, Siti Hajar, Abdul Rahman dan Amirul merupakan anak-anak yang tidak berdosa malah mereka tidak pernah meminta untuk dilahirkan ke dunia dengan cara sedemikian.

4 comments:

  1. Akak doa an smoge adeq shat slalu...

    ReplyDelete
  2. kkkaaahhhpppuuuiiitttApril 16, 2010 at 2:15 PM

    budak-budak zaman sekarang.. kata je berpelajaran tinggi.. tapi OTAK takde.. tahu nak 'buat'.. tapi tak tau nak 'jaga'....

    dunia dah nak kiamat.. .makin ramai kanak-kanak dianiaya, di dera.. di buang...
    apa akan terjadi dengan generasi masa depan?

    rasa-rasa adakah mereka akan memberontak?

    ReplyDelete
  3. raser terharu aq tengok kalo ader bayi terbuang

    ReplyDelete
  4. Kalau tak nak bagi kat aku yang dah ada anak 2 nak masuk 3 nih, susah sikit tak per..asalkan aku puas dpt didik anak2 aku & anak org lain jadi MANUSIA BERGUNA. Kesian aku tengok nasib mereka... Geram dgn mak bapak diorang nih. Kalau aku dapat dah lama aku rejam sampai mati.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: