Tuesday, March 30, 2010

Percutian ala-tentera di Port Dickson

SEREMBAN – Jika sebelum ini Negeri Sembilan pernah memperkenalkan konsep Kampungstay sebagai daya tarikan pelancong menikmati percutian ala balik kampung, tidak lama lagi, orang ramai boleh menikmati ala-tentera.

Ini apabila sebuah kem lama di Port Dickson akan diubah suai menjadi penginapan ala-tentera dikenali sebagai ‘Barrack Stay’.

‘Barrack Stay’ salah satu daya tarikan dirancang Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Negeri, selaras pengiktirafan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penginapan ‘Barrack Stay’ itu merupakan salah satu daripada lebih 10 perancangan pembangunan termaktub dalam tiga elemen penting dalam usaha menonjolkan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat.

“Kita kenal pasti tidak kurang 10 pembangunan akan dibuat di Port Dickson. Antaranya, membangunkan semula Muzium Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan satu kawasan ‘boulevard’ akan dibina dari bangunan itu sehingga ke kawasan tepi laut melepasi zon ketenteraan di sekitar muzium,” katanya.

Beliau turut membayangkan Bandar Tentera Darat itu nanti bakal menjadi terkenal seperti mana Akademi West Point di Amerika Syarikat.

Menurutnya, selain itu, pelancong juga akan berpeluang melihat penukaran shif pengawal di pintu masuk kem utama Port Dickson dan buat permulaan ia akan dilaksanakan pada hujung minggu.

“Untuk atur cara sepanjang tahun, pelbagai program menarik disusun, antaranya pertunjukan tatu tentera-tentera Asean serta majlis penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang akan dibuat di bandar itu,” katanya pada sidang media di Royale Bintang Resort & Spa, dekat sini semalam.

Terdahulu, Zahid bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Port Dickson sebagai Pantai Peranginan Negara, Zon Wellness dan Bandar Tentera Darat di Bilik Gerakan Wisma Negeri, dekat sini.

Menurut Zahid, segala perancangan menonjolkan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat sudah bermula dan beliau menjangka pembangunan menjadi kenyataan dalam tempoh 24 bulan.

Ketika ditanya mengenai konsep penyewaan senjata api dan kereta perisai untuk orang awam seperti di Vietnam dan Ukraine, Zahid berkata, ia belum sampai ke tahap itu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Kerajaan Negeri berbesar hati apabila Port Dickson diiktiraf sebagai Bandar Tentera Darat, tetapi pelaksanaannya memerlukan kesepakatan pihak berkaitan, terutama Kementerian Pertahanan dan Pelancongan.

“Kita mesti sepakat cara mana hendak mulakan langkah, tetapi yang penting kita tidak bertindih antara satu sama lain. Kementerian Pertahanan akan jadi ‘stakeholder’ dan kementerian lain berusaha sepakat untuk jayakan bandar Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat.

“Walaupun dalam masa sama, umum ketahui Port Dickson sebagai Pantai Peranginan Negara dan Zon Wellness dan yang penting Port Dickson Bandar Tentera Darat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: