Monday, March 29, 2010

Sulam reben dulu di bantal kini di baju


Baju kurung moden bersulam reben rekaan Rosita Collection.


MUNGKIN benar kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pengalaman. Itu yang dibuktikan Rosita Mohamad, 42, pemilik Rosita Collection di Nilai, Negeri Sembilan. Berpeluang berkunjung ke Indonesia baru-baru ini membuahkan ilham untuk mengadun sulaman tangan sebagai aksesori mencantikkan fesyen pakaian ciptaannya.

Ibu kepada empat cahaya mata yang berasal dari Kuala Pilah ini, mengangkat teknik terbaru sulaman reben untuk dijadikan corak pada bahagian hadapan baju kurung mahu pun baju kontemporari lain.

''Ketika di Indonesia saya melihat banyak koleksi sulaman jenis ini. Saya sempat membeli sehelai dua untuk untuk dijadikan contoh.

''Teknik sulaman reben sebenarnya sama sebagaimana kita menyulam di atas ram menggunakan benang sulam, cuma dalam teknik ini benang digantikan dengan reben,'' jelasnya.

Mempercayai sifon sebagai dasar kain atas kapasiti kain jenis itu lembut serta ira benangnya sesuai dan mudah dilentur pada tubuh badan, Rosita berkata, biasanya dia mengambil masa seminggu untuk menyiapkan sulaman reben pada sepasang baju, bergantung kehendak dan cita rasa pelanggan.

Teknik sulaman jenis ini bukanlah suatu yang baharu, malahan dia pernah membuatnya ketika zaman kanak-kanak lagi.

Menurutnya, penggunaan reben sama ada halus atau kasar, besar atau kecil, serta bentuk dan warna tertakluk kepada gabungan corak yang dikehendaki.

''Kalau dulu kita gunakan pada sarung bantal, selimut atau dibingkaikan untuk hiasan dinding, kini ia digayakan pada baju.

''Ketika ini teknik tersebut sedang menjadi ikutan ramai dan mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan,'' katanya yang mempunyai dua orang pekerja.

Selain mengambil tempahan jahitan, Rosita juga menyediakan pakej perkahwinan dan andaman.

Dia juga berkebolehan dalam menggubah hantaran, tata rias wajah dan sebagainya.

Rozita pernah bekerja di salah sebuah kilang sebelum berhenti dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang andaman serta jahitan dengan 'guru-guru' berbakat seperti Catt, Yan Sri Andam dan Zulfadzli.

Dia beralih arah ke bidang kecantikan kerana gemar melihat wanita-wanita tampil cantik.

''Kalau musim cuti sekolah, sibuk sikit dengan pakej perkahwinan dan tempahan baju pengantin. Begitupun tidak membataskan saya untuk memperlengkapkan koleksi tudung untuk dijual di pasaran,'' katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang perancang perkahwinan dan mempunyai koleksi pakaian berjenama sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: