Friday, March 12, 2010

Kes saman Amy Search: Pelayan restoran cuai

KUALA LUMPUR – Bapa kepada adik Nik Muhammad Zakwan Nik Zahir yang melecur terkena tomyam panas di Restoran Cheng Ho milik penyanyi, Amy Search memberitahu, pelayan restoran itu menghidangkan tomyam atas kepala anaknya.

Nik Zahir Nik Mohd Idris, 32, berkata, kedudukan mangkuk tomyam ialah kira-kira sekaki dari kepala anaknya yang ketika itu sedang membaca doa makan.

Beliau tidak bersetuju terhadap cadangan peguam Amy, Ahmad Zaharil Muhaiyar bahawa tangan anaknya yang menolak tomyam tersebut semasa membaca doa lalu tertumpah.

“Saya cadangkan kamu tidak nampak apa berlaku sewaktu dia baca doa,” soal Ahmad Zaharil.

“Tidak setuju,” jawab saksi plaintif tersebut.

“Saya cadangkan semasa angkat tangan berdoa, dia telah tolak tomyam itu,” soal Ahmad Zaharil lagi.

“Tidak benar kerana tomyam itu lebih tinggi,” kata Nik Zahir yang bertugas sebagai jurutera teknik.

Pada 24 September 2008, dia bertindak wakil anaknya, Nik Muhammad Zakwan Nik Zahir, 3, memfailkan saman dan tuntutan kerana mendakwa pekerja Restoran Cheng Ho cuai sehingga menyebabkan bahagian belakang badan Nik Muhammad Zakwan melecur.

Pada pemeriksaan utama peguamnya, Shahrul Azim Azmi, dia memberitahu ke restoran tersebut bersama lima ahli keluarga lain.

Amy, atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 50, hadir mahkamah ditemani isteri, Nor Hasniza Hassan, 27 bagi mengikuti perbicaraan itu. Perbicaraan bersambung 25 Mac ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: