|
|
SASARAN mereka adalah untuk menjadi wanita pertama memecahkan rekod dunia dengan menakluk puncak Annapurna yang merupakan gunung paling mencabar di Banjaran Himalaya.
Pergunungan yang digelar 'puncak maut' oleh para pendaki profesional itu merupakan yang ke-14 tertinggi di dunia.
Dua wanita berhati waja itu ialah Oh Eun-Sun dari Korea Selatan dan Edurne Pasaban dari Sepanyol.
Mereka adalah antara pendaki wanita yang kini bersaing untuk menjadi wanita pertama menakluk puncak yang berketinggian 8,000 meter itu.
Untuk rekod, manusia pertama yang pernah sampai ke puncak Annapurna ialah pendaki dari Itali, Reinhold Messner.
Messner jugalah manusia yang pernah menakluk kesemua 14 gunung tertinggi di dunia pada tahun 1986.
Pun begitu belum pernah ada lagi wanita yang berjaya mengikuti jejak langkah Messner.
Itulah yang menjadi pendorong utama Eun-Sun dan Pasaban agar nama mereka tercatat dalamrekod dunia tahun ini sebagai wanita pertama menakluk gunung yang paling berbahaya itu.
Eun-Sun telah berjaya mendaki 13 puncak yang kesemuanya terletak di Banjaran Himalaya dan Annapurna adalah matlamatnya terbaru.
"Jika saya berjaya menakluk Annapurna, sudah pasti saya amat berbangga. Perasaan tersebut bukan sahaja untuk diri saya sendiri malah untuk negara saya dan seluruh Asia," ujar wanita berusia 43 tahun itu.
Eun-Sun berkata demikian ketika ditemubual oleh sekumpulan wartawan setibanya di Kathmandu, ibu kota Nepal untuk ekspedisi mencabar tersebut.
"Saya tidak tahu mengapa belum ada pendaki wanita yang berjaya. Mungkin kerana stigma kedudukan wanita yang sejak azali tidak boleh menyaingi lelaki," tambahnya.
Saingan Eun-Sun, Pasaban pula masih belum berjaya mendaki dua lagi puncak, satunya sudah tentu Annapurna dan satu lagi ialah Shisha Pangma di daerah Tibet di China.
Pasaban juga bercita-cita besar untuk menakluk kedua-duanya pada April atau Mei iaitu sebelum musim pra-monsun tiba.
Wanita Sepanyol itu bagaimanapun berharap dapat ke Tibet dahulu untuk mendaki Shisha Pangma sebelum ke Annapurna.
Shisha Pangma yang berketinggian 8,091 meter memang berbahaya bukan sahaja dari segi teknikal pendakian malah amat berkecenderungan untuk menghadapi runtuhan salji.
Gunung tersebut juga mencatat rekod pendakian maut yang lebih tinggi berbanding Gunung Everest.
Tapi nasib tidak menyebelahi Pasaban apabila pihak berkuasa China tidak memberi kebenaran untuknya mendaki pada bulan depan, jadi dia tidak mempunyai pilihan lain selain mendaki Annapurna dahulu.
Eun-Sun dan Pasaban sebenarnya akan turut dicabar oleh pendaki dari Austria, Gerlinde Kaltenbrunner dan Nives Meroi dari Itali.
Kaltenbrunner pernah gagal menakluk K2, pergunungan kedua tertinggi dunia yang terletak di sempadan Pakistan-China manakala Meroi pula sudah menakluk 11 pergunungan tertinggi dunia.
Seperti Eu-Sun, Pasaban juga pernah cuba menakluk Annapurna pada tahun 2007, tetapi dia dan ahli kumpulannya terpaksa berpatah balik kira-kira 1,000 meter dari puncak kerana cuaca yang terlalu buruk.
"Annapurna memang susah dan amat berbahaya. Sesetengah pendaki menyifatkan Annapurna adalah gunung yang paling berbahaya dalam semua gunung di dunia.
"Ramai rakan pendaki saya telah menemui ajal mereka di sana, jadi perasaan saya sedikit goyah untuk menakluk pergunungan tersebut.
"Tapi jika saya tidak lakukan kali ini, berkemungkinan saya tidak mempunyai peluang lagi," ujarnya.
Kedua-dua wanita itu dijadualkan akan mendaki pada awal April dan sebelum itu mereka akan menjalani latihan intensif sebagai persediaan mental dan fizikal.
Pasaban, 36, yang tidak pernah menggunakan oksigen sepanjang ekspedisi mengakui pernah putus asa dalam mencapai impiannya menakluk pergunungan mencabar itu.
"Pendaki wanita lazimnya mencapai kegemilangan pada usia mereka 30 hingga 40 tahun. Namun ramai yang berpendapat pada usia tersebut wanita harus mengisi masa dengan melaksanakan tanggung jawab terhadap keluarga.
"Memang beberapa tahun lalu saya berhadapan dengan masalah keluarga yang secara tidak langsung menjatuhkan semangat saya untuk mendaki. Tapi kini saya semakin jelas dengan matlamat saya," ujar Pasaban.
Pasaban turut mengakui hakikat sukar untuk menandingi pesaingnya, Euh-Sun dan menyifatkan galakan serta tajaan yang diperolehi oleh pesaingnya itu merupakan satu kelebihan berbanding dirinya.
Tidak seperti Pasaban, Euh-Sun akan diterbangkan ke kem asas Annapurna dengan menaiki helikopter.
"Ramai yang memperkatakan dengan persaingan ini, jadi saya rasa ada baiknya kami berdua tiba di puncak tersebut bersama-sama. Tapi kami terpaksa mendaki secara berasingan dan nasib akan menentukan segalanya," kata Pasaban.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: