Wednesday, March 31, 2010

Sintesis gaya Esprit


Wanita moden yang ingin bergaya ringkas
ke pejabat pada masa sama tampil rugged.


JENAMA Esprit antara yang menjadi pilihan anak-anak muda tidak kira lelaki mahupun gadis. Ada sebab kenapa ia begitu dekat di hati golongan tersebut.

Pertama, fesyen yang ditampilkan pada setiap musim ringkas dan menepati selera anak-anak muda yang gemar pada kebebasan.

Faktor lain sudah pastinya kepekaan barisan pereka Esprit yang sentiasa mengetahui dan mengikuti perkembangan fesyen yang diminati peminat jenama itu saban tahun.

Untuk koleksi musim 2010, Esprit wanita dipengaruhi dengan konsep 'pelancongan dunia'.

Menggunakan tema Sintesis Gaya, koleksi Esprit untuk wanita kali ini mengadunkan unsur kontemporari dan versatil. Bermakna koleksi kali ini boleh dipakai untuk majlis santai dan formal.

Bagi koleksi formal, direka sesuai untuk wanita moden yang ingin bergaya ringkas ke pejabat, dalam masa yang sama tampil rugged tanpa perlu mengenepikan ciri-ciri kewanitaan.

Koleksi two pieces ini menggabungkan jaket, kot trench, blaus dengan skirt pendek paras lutut. Ia memberikan keyakinan gaya ditambah pula dengan penggunaan fabrik menawan seperti krep, gorget dan sifon.

Rekaan untuk wanita ini juga mengetengahkan ciri eksotik dengan penggunaan warna-warna pastel, warna panas, kelabu yang digabung jalin bersama warna ceria untuk melengkapi cita rasa.

Ia turut menampilkan pakaian kasual yang menjanjikan keselesaan optimum tanpa meninggalkan elemen urban, sporty yang sesuai dengan cita rasa anak muda hari ini.

Dihasilkan dengan fabrik kapas ringan dan linen koleksi ini amat sesuai dipakai pada musim panas lagi hangat yang sedang melanda dunia kini.

Para pereka Esprit tidak lupa untuk menyelitkan unsur Bohemia dengan pengaruh Amerika Selatan seperti rekaan ikat, sulaman kait serta gabungan denim pada dres berinspirasikan gipsi yang diperkenalkan sempena koleksi musim ini.

Apa yang diminimumkan motifnya pada koleksi ini ialah corak grafik yang lazimnya dominan untuk setiap rekaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: