KUALA LUMPUR 30 Mac - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melancarkan lima teras utama dasar pendidikan baru sebagai langkah berterusan dalam melahirkan warganya yang berilmu dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani.
Pengarah Pendidikan ATM, Brig. Jen. Datuk Anuar Sabtu berkata, lima teras utama yang diberi perhatian adalah pembangunan modal insan, kepimpinan dan pengurusan, penyuburan sistem pemerintahan rejimental, penguasaan teknologi maklumat dan pengamatan budaya hidup sihat.
Menurutnya, teras baru ini akan melahirkan warga tentera yang lebih berkualiti dari segi pengurusan dan kebolehan menjadi seorang pendidik.
"Saya berharap agar kawalan penugasan anggota setempat dapat diperkasakan dengan kewujudan Penilaian Komitmen Anggota Kor Perkhidmatan Am (KPA).
"Saya meminta seluruh anggota KPA bahagian pendidikan supaya bekerjasama menjayakan dasar ini dalam usaha memastikan KPA terus relevan dan mencapai misinya,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas melawat Pusat Permata Anak Negara Tentera Darat (PAPN TD) di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Staf Perkhidmatan MK Medan Tentera Darat, Brig. Jen. Datuk Emran Yusoff dan Pegawai Permata, Mohd. Imrizal Abdul Aziz.
PAPN TD merupakan kesinambungan Program Permata Anak Negara Tentera Darat (PPN TD) ditubuhkan pada 2 November 2009 bagi merealisasikan cetusan idea isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.
Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) mengadaptasi sistem pendidikan dari United Kingdom bagi menyediakan program yang dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi kanak-kanak untuk PAPN TD.
Anuar memberitahu, PAPN TD akan dirasmikan oleh Rosmah tidak lama lagi kerana pusat berkenaan sudah mencapai spesifikasi yang ditetapkan.
"Perkembangan minda kanak-kanak di sini sangat positif walaupun baru empat bulan pusat ini beroperasi,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: