|
|
BERTEMU secara tidak sengaja pada acara Fiesta Media Idola (FMI) di Kuantan, Pahang hampir tiga tahun lalu, dua nama popular dalam lapangan seni, Tam, 31, dan Farish Aziz, 26, pantas memupuk keserasian menjadi sahabat baik.
Keakraban mereka cukup jelas. Di mana ada Tam, di situ juga ada Farish. Mereka turut berkongsi misi kerjaya yang sama.
Lalu, tidak hairanlah Tam dan Farish mengambil kata putus membangunkan rumah penerbitan, Chantek Pictures Sdn. Bhd. sejak Mac 2009 sebagai jaminan masa depan selepas menjalankan tanggungjawab sebagai pemain di laman hiburan.
Menurut Tam atau nama lengkapnya Nor Azemi Suhaimi, dia enggan menumpukan karier lakonan semata-mata setelah seawal usia tujuh tahun wajahnya mula menghiasi skrin televisyen.
"Selain berlakon, rancangan saya sejak kecil lagi mahu beralih kepada bidang penulisan, penerbitan dan pengarahan. Saya tidak mahu aktiviti seni tersekat ditambah selalu fikir sampai bila hendak jadi pelakon.
"Selepas jumpa Farish dan mengenalinya lebih rapat, saya menyuarakan idea membuka syarikat produksi sendiri. Nasib saya baik apabila dia segera menyatakan persetujuan. Selepas perbincangan dilakukan maka wujudlah Chantek Pictures.
"Kami bahagikan tugas kepada dua. Saya terlibat dengan bahagian kreatif manakala Farish lebih tertumpu mengurus pentadbiran dan kewangan syarikat," jelasnya kepada Kosmo!.
Sudah menyemai niat memulakan perniagaan sendiri sejak beberapa tahun lepas, Farish akhirnya bersetuju melabur sejumlah wang untuk membangunkan Chantek Pictures dengan Tam.
"Sebaik saja menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) kira-kira empat tahun lalu, saya menanam azam menjalankan bisnes sendiri selain bergelar pelakon.
"Ditambah terbiasa dengan bidang ini maka saya rasa tiada salahnya kalau buka syarikat produksi. Bukannya apa, ia sebagai langkah awal memastikan masa depan saya terjamin. Sekurang-kurangnya ada sesuatu dapat dibanggakan kalau tidak berlakon lagi.
"Saya tahu sesetengah pihak anggap masih terlalu awal bergelar penerbit, tetapi kalau tidak buat sekarang, bila lagi dapat merealisasikan cita-cita ini. Tidak mahu kelam-kabut, saya dan Tam menapak perlahan-lahan kerana kejayaan tidak datang sekelip mata," jelas anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.
Tanpa berselindung, Tam yang merupakan anak jati Kuala Lumpur itu meluah keseronokan menjadi individu di belakang tabir yang disifat jauh berbeza dengan suasana kerjanya selama ini.
"Sekarang saya kena buat semua kerja bermula A hingga Z. Tiada perkara boleh terlepas pandang. Sementelah masih baru, banyak lagi perlu dipelajari demi memantapkan diri bergelar penerbit untuk memajukan Chantek Pictures," terang Tam yang merupakan pemilik syer 25 peratus bersama Farish manakala 50 lagi dimiliki seorang teman, Nizam Rahman.
Farish pula menambah: "Terus-terang, saya dan Tam menyerahkan kepada orang ramai menilai hasil kerja pertama kami sebagai penerbit. Kami janji tonjolkan kelainan berbanding syarikat produksi sedia ada."
Telefilem Ceritera
Jangan sesekali terkeliru kerana keterujaan Tam dan Farish sebenarnya merujuk produk perdana Chantek Pictures iaitu telefilem berjudul Ceritera.
Drama komedi fantasi dengan bajet RM85,000 arahan Aziz M. Osman itu dibintangi oleh Amy Mastura, Juliana Evans, Lydia Ibtisam, Erryne Erenna, Mira Liyana serta menampilkan Tam dan Farish sendiri.
Merupakan idea dan hasil tulisan Tam, Ceritera dengan durasi satu jam setengah itu berkisar kanak-kanak bernama Arissa lakonan Erryne dibesarkan dengan atmosfera menonton karya-karya Barat sekali gus dia terikut budaya kurang elok itu.
"Saya siapkan skrip ini walaupun sedang menjalani penggambaran Ceritera selama tujuh hari di sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur. Ia tidak jadi halangan kerana sinopsis sudah tersedia di depan mata. Saya hanya kembangkan plotnya mengikut waktu telefilem itu ditetapkan.
"Alhamdulillah, saya tidak menghadapi banyak masalah buat skrip kerana sebelum ini pernah hasilkan 13 buah skrip termasuk Dunia Anita, Puteri dan Gaia," kata Tam lagi.
Tam turut berpendapat mesej tidak semestinya divisual secara terbuka sehingga merimaskan penonton.
"Kenapa setiap kali hendak buat cerita kena ada tema tertentu sedangkan audiens zaman moden ini dengan mudahnya boleh buat rumusan terhadap naskhah yang ditonton.
Saya lebih suka menampilkan unsur nasihat secara tidak langsung. Ia lebih mudah beri pengajaran kepada penonton," jelas Tam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: