Tuesday, March 30, 2010

Perkim latih daie muda


Antara peserta yang tiba di puncak Bukit Kluang, Terengganu dalam aktiviti merentas hutan.


BERDAKWAH tidak terhad di masjid atau surau sahaja. Kebaikan boleh dilakukan di mana-mana termasuk dalam kampus. Lagi pula kampus merupakan wadah terbaik untuk penyebaran dakwah. Itu yang menjadi wasilah hala tuju Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas) iaitu 'Dakwah Didahulukan Saudara Muslim Diutamakan'.

'Pemangkin Pendakwah Muda' demikianlah slogan kelab Perkim yang menggambarkan kesungguhan mereka untuk menyatukan generasi muda.

Ia untuk membekalkan golongan pelajar terutama di institusi pengajian tinggi dengan ilmu dan kemahiran secukupnya bagi mempersiapkan diri memimpin negara untuk masa depan.

Baru-baru ini, Perkim dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan program Kem Kepimpinan Kelab Perkim Kipsas di Kem Damai Resort, Besut, Terengganu.

Program lima hari mulai 11 hingga 15 Mac lalu itu berjaya menghimpunkan barisan pimpinan kelab Perkim dengan disertai 59 orang.

Penyelaras Program, Suariza Hidayah Muhammad berkata, peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan dalam aktiviti pengenalan yang dikendalikan oleh pemudahcara atau fasilitator.

Terdapat empat aktiviti dijalankan seperti, ceramah, tazkirah, gerak kerja fizikal dan latihan dalam kumpulan (LDK).

Beliau yang juga Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim berkata, objektif utama program itu adalah menimbulkan kesedaran dan keinsafan tentang betapa perlunya peserta mengubah sikap dan mengamalkan nilai-nilai murni demi kecemerlangan diri, organisasi masyarakat serta negara.

Program ini juga menekankan peserta kepada hala tuju sebagai pendakwah, sejajar dengan objektif Perkim sendiri iaitu dakwah, pendidikan, kebajikan dan kerjasama dalam Islam.

Peserta juga diberi penerapan nilai-nilai perpaduan memandangkan Malaysia adalah negara yang berbilang kaum.

Menurut Suariza, pendakwah perlu menampilkan imej yang positif untuk menarik masyarakat mendengar dan mendekati Islam.

Katanya, rupa paras, pakaian, gerak geri merupakan penilaian pertama terhadap masyarakat Islam.

Menurut Suariza sepanjang program itu, banyak perkara yang didedahkan kepada peserta seperti Perlembagaan Persekutuan dan Bahana 14 tuntutan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Turut ditekankan ialah asas-asas kepimpinan yang merangkumi pelaksanaan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang insan.

Pengarah Dakwah Perkim, Abdul Hanif Harun menyampaikan ceramah bertajuk 'Dasar Panduan Pendakwah Perkim' yang mendedahkan kaedah dan pendekatan dakwah bagi pendakwah kelab Perkim.

Sementara itu, persiapan untuk pendakwah, berhubung dengan golongan sasaran dan bahan serta pendekatan berkesan ketika berdakwah adalah kriteria yang dibentangkan dalam slot 'Perkim Satu Wadah Perjuangan' oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa.

Program diperkukuhkan lagi dengan ibadah qiamullail.

Tazkirah dan forum bertajuk 'Islam Agama Dakwah' disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Perdana Menteri.

Peserta diberi tugasan merangkumi gerak kerja fizikal dan kerjasama dalam kumpulan.

Setiap kumpulan diberi tugasan berdasarkan topik yang diberikan iaitu 'Hala Tuju Pendakwah Perkim', 'Nilai Organisasi Perkim', 'Pakar Pengurusan Organisasi' dan 'Jalur Gemilang'.

Selain itu, peserta diuji tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan mental melalui aktiviti kawat perbarisan, ikrar Rukunegara, Penerokaan Perlembagaan dan merentas hutan Bukit Kluang.

Majlis penutup dilakukan oleh Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.

Seorang peserta, Basri Abdullah, 21, selaku Yang Dipertua Kelab Perkim Kipsas berkata, Perkim perlu menyebarluaskan dasar panduan dakwahnya kepada seluruh Institut Pendidikan Tinggi (IPT) agar mereka memahami dan jelas pendedahan konsep dakwah, kebajikan dan pendidikan yang disampaikan.

Beliau berharap, Perkim mengadakan aktiviti luar berkonsepkan sukan dalam Islam seperti memanah, seni mempertahankan diri, berkuda dan berenang pada program akan datang.

Norazam Mohd Jamil, 21, Penghulu (Amir) program berkata, Perkim berjaya memupuk semangat kerjasama berpasukan, silaturrahim dan ukhuwah antara mahasiswa serta memberikan kesan positif dengan mengambil kira kepentingan dakwah dalam segala tindakan dan keputusan.

"Saya berharap, program ini dijadikan program susulan atau tahunan dan memperbanyakkan lagi aktiviti luar yang lebih mencabar," katanya.

Bagi Norsyafiqah Mohd. Puzi, 20, pula program tersebut banyak pendedahan ilmu, pendekatan dan kaedah dakwah yang dapat dipelajari.

Modul tersebut katanya, akan dipraktikkan di kampus.

"Saya juga berharap Perkim dapat mengadakan program aktiviti bersama masyarakat Orang Asli, Cina dan India sejajar dengan konsep 1 Muslim," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: