BANGALORE - Seorang pemimpin kerohanian India, Paramhamsa Nityananda yang mendakwa memiliki dua juta pengikut di seluruh dunia meletak jawatan semalam selepas polis melancarkan siasatan berhubung pita seks dirinya.
Dia yang berusia 32 tahun menjadi perhatian pelbagai pihak selepas beberapa stesen televisyen menyiarkan rakaman video yang menunjukkan Nityananda sedang membelai dua wanita tidak dikenali di atas katil.
"Saya meletak jawatan sebagai ketua Dhyanapeetam dan di semua cawangan berkaitan namun saya akan terus tinggal dalam kehidupan kerohanian untuk suatu tempoh yang tidak ditetapkan," katanya menerusi siaran video dalam satu laman webnya.
Nityananda cukup popular dan mempunyai ramai pengikut di selatan India. Sebuah pusat aktiviti kerohanian miliknya berpusat dekat bandar raya Bangalore selain 26 buah lagi di serata dunia.
Penduduk kampung tempatan yang marah dengan penyiaran video skandal seks itu pernah menyerang pusat kerohanian kelolaan Nityananda pada 3 Mac lalu sehingga menyebabkan pihak polis terpaksa memberi perlindungan khas kepadanya.
Bagaimanapun, ramai pengikut Nityananda mendakwa rakaman video tersebut sebagai palsu dan ia dilakukan oleh seseorang yang cemburu dengan popularitinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: