KABUL - Dalam situasi penuh kerahsiaan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memasuki Afghanistan kelmarin untuk melakukan lawatan rasmi yang pertama ke negara itu sebagai ketua negara AS.
Kunjungan mengejut itu berlangsung selama enam jam dan beliau turut menyampaikan amanat khas kepada 2,500 anggota tentera AS di Pangkalan Udara Bagram, di negara tersebut.
"Kita berada di sini untuk membantu penduduk Afghanistan bagi memenangi keamanan," kata Obama kepada askar-askar AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di pangkalan berkenaan.
Obama menaiki pesawat rasmi Air Force One dari Washington dan tiba di pangkalan itu sebelum menaiki helikopter ke Kabul.
Di Kabul, Obama mengadakan pertemuan dengan Presiden Afghanistan, Hamid Karzai bersama jemaah Kabinet di Istana Presiden.
Hamid dimaklumkan mengenai kedatangan Obama sejam sebelum kedatangan presiden tersebut.
Lawatan tersebut disertai sejumlah kecil pembantu White House dan wakil media dan mereka diminta mengangkat sumpah untuk menyimpan rahsia mengenai lawatan berkenaan dan dibenarkan melaporkan mengenai perkara itu selepas mereka pulang ke AS.
Pada petang Jumaat lalu, Obama pergi ke sebuah rumah rehat presiden di Kem David manakala pihak White House tidak membuat sebarang pengumuman awal berhubung lawatan itu.
Selepas bertemu Hamid, beliau kembali semula ke Bagram dan sebelum berucap kepada anggota-anggota tenteranya yang disiarkan menerusi siaran televisyen di kem itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: