Tuesday, March 30, 2010

Pengalaman Akib memandu dan membaiki kenderaan polis


MOHAMAD Akib (kanan) memberi tunjuk ajar kepada anggota Cawangan Pengangkutan teknik menyelenggaraan kenderaan polis.


MUNGKIN ramai di antara kita tidak menyedari wujudnya satu unit penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenali sebagai Unit Logistik dan Pengangkutan yang turut membantu usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah.

Unit tersebut berfungsi menyediakan kenderaan dan pemandu yang terlatih bagi kegunaan anggota dan pegawai dalam perlaksanaan tugas seharian seperti operasi trafik dan jenayah.

Antara kenderaan yang dikendalikan unit itu termasuklah Perodua Kancil, lori, van, trak penjara, kenderaan pacuan empat roda, balai bergerak, pelbagai jenis motosikal dan kereta peronda terkini Mitsubishi Evo.

Pegawai Pengangkutan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Cif Inspektor Mohamad Akib Che Amat, 51, memberitahu, sebanyak 384 pelbagai jenis kenderaan dikendalikan di bawah Unit Logistik dan Pengangkutan IPD Petaling Jaya.

Beliau yang sudah 31 tahun memiliki kemahiran dalam pemanduan serta membaiki pelbagai jenis kenderaan polis, telah diamanahkan untuk menguruskan semua kenderaan polis, 73 pemandu dan sembilan mekanik di IPD Petaling Jaya.

Mohamad Akib menganggap tanggungjawab menguruskan unit logistik dan pengangkutan polis amat mencabar dan menyeronokkan.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya memastikan kenderaan-kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum ia boleh digunakan.

"Mana-mana kenderaan yang rosak atau terlibat dalam kemalangan perlu dibaiki dan diselenggarakan terlebih dahulu secepat mungkin.

"Kami juga sentiasa menyelia kenderaan-kenderaan yang digunakan setiap masa. Mana-mana kenderaan yang telah tamat tempoh mesti dilupuskan dan diganti dengan baru," katanya kepada Gaya Polis di pejabatnya di IPD Petaling Jaya baru-baru ini.

Mohamad Akib memberitahu, unitnya mesti memastikan kenderaan sentiasa mampu disediakan terutama ketika terima arahan keluar ke operasi.

"Sekiranya kenderaan tidak mencukupi kerana banyak yang rosak dalam waktu sama, jadi alternatif yang boleh digunakan ialah dengan meminjam kenderaan-kenderaan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan IPD-IPD lain.

"Bagaimanapun, kepakaran dan kemahiran mekanik yang terlatih amat diperlukan bagi mengelakkan keadaan sedemikian berlaku," katanya.

Jelas anak kelahiran Pulau Mutiara ini, mekanik-mekanik terbabit perlu mengikuti kursus-kursus penyelenggaraan kenderaan yang dianjurkan syarikat kenderaan Kawasaki, Honda, Suzuki, Land Rover, Proton, Mitsubishi dan model-model kenderaan yang digunakan PDRM.

Katanya, kursus-kursus itu diadakan berperingkat-peringkat dan mengambil masa yang panjang sehingga seseorang mekanik itu benar-benar mahir mengendalikan kenderaan-kenderaan yang diguna polis.

"Sementara itu, pemandu-pemandu polis pula diberi latihan yang berbeza dengan orang awam. Latihan tersebut disediakan di Maktab Teknik PDRM di Muar, Johor dan Sekolah Mini Memandu IPK Selangor.

"Antara bentuk latihan yang disediakan termasuklah pemanduan ketika siang, malam, hujan dan pelbagai bentuk geografi yang berbeza.

"Pemandu-pemandu polis ini diberi latihan mengikut jenis kenderaan selain latihan pemanduan ketika kecemasan," katanya lagi.

Mohamad Akib berkata, waktu kecemasan yang dimaksudkan ialah ketika sedang menjalankan tugas seperti mengejar suspek, membawa mangsa atau suspek ke balai atau hospital.

Tambahnya, dalam keadaan sedemikian, kecekapan pemandu amat diperlukan sesuai dengan keadaan dan orang ramai.

Bagaimanapun, beliau seringkali menasihatkan dalam apa jua keadaan pemandu mesti mengutamakan keselamatan diri serta orang ramai.

Mohamad Akib mengakui setakat ini beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang kemalangan dengan amalan pemanduan selamat yang diikutinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: