|
|
SELEPAS menghasilkan trilogi The Lord of the Rings (2002), Peter Jackson berehat panjang hampir tujuh tahun. Trilogi The Lord of the Rings adalah sebuah epik mega kisah keperwiraan yang mengangkat elemen mitologi, fantasi dan peperangan yang dahsyat.
Tidak hairan jika trilogi tersebut sudah cukup untuk memerah fizikal dan psikologi Peter Jackson yang memerlukan dia berehat agak panjang untuk mengumpul semula kekuatan dan daya kreativitinya. Selepas menghasilkan filem The Lord of the Rings, Peter Jackson kembali dengan sebuah filem dalam skala yang lebih kecil dan mungkin lebih dekat dengan subjek kegemarannya, kekeluargaan, cemas, seram dan fantasi.
Pendekatan Jackson ini mengingatkan kita kepada apa yang pernah dilakukan oleh Francis Ford Coppola. Selepas dia hampir kehabisan tenaga selepas menghasilkan filem besarnya The Godfather (1972), Coppola menghasilkan sebuah filem dalam skala yang lebih kecil iaitu The Conversation (1974).
Yang menariknya The Conversation telah memenangi Hadiah Palme d'Or di Festival Filem Cannes yang kemudian kemenangan itu diulangi lagi oleh Coppola melalui filem Apocalypse Now (1979).
Jackson kembali dengan menghasilkan The Lovely Bones yang diadaptasi daripada novel popular remaja tulisan penulis muda Alice Sebold.
The Lovely Bones mengisahkan tentang peristiwa di sebuah pekan kecil Pennsylvania di mana seorang remaja perempuan Susie Salmon telah dirogol dan dibunuh oleh seorang pembunuh bersiri dalam usia 14 tahun.
Peristiwa yang berlaku di sebuah pekan kecil Pennsylvania pada 6 Disember 1973 itu berlalu dengan pembunuh tersebut gagal ditangkap. Plot dalam The Lovely Bones dilihat dari sudut pandangan Susie Salmon selepas kematiannya.
Pendekatan dalam filem ini mengingatkan kita kepada sebuah lagi filem Jackson iaitu Heavenly Creatures (1994) yang juga berkisar tentang peristiwa pembunuhan Parker-Hulme.
Dua remaja sekolah yang akrab yang kerap bersembunyi disebuah tempat persembunyian untuk mereka berada di alam fantasi mereka, tetapi alam fantasi mereka itu telah membawa mereka menuju kepada peristiwa pembunuhan salah seorang daripada ibu mereka. Lakonlayar filem Heavenly Creatures ditulis oleh Peter Jackson bersama dengan Fran Walsh, rakannya yang kemudian turut sama menulis lakonlayar filem The Lord of the Rings. Peter Jackson bersama dengan Fran Walsh dan Philippa Boyens kemudian bertanggungjawab menulis lakonlayar The Lovely Bones. Dalam Heavenly Creatures, Peter Jackson visual alam fantasi menjadi antara imej yang dominan dan digarap dengan keindahan cemerlang. Dalam The Lovely Bones alam selepas kematian (yang dikatakan oleh Alice Sebold sebagai alam antara dunia sebenar dengan ruang sebelum roh menuju ke syurga) diberikan imej visual yang indah dengan lanskap alam, taman, laut dan imej-imej fantasi yang mendamaikan.
The Lovely Bones bukanlah sebuah filem seram walaupun ia bercerita tentang roh yang melihat semula pembunuhannya.
Jiran Susie Salmon (Saoirse Ronan), Harvey (Stanley Tucci) yang dikaitkan dengan pembunuhan tersebut berjaya melepaskan diri sedangkan polis dan keluarga Susie Salmon mungkin mengesyaki dia. Harvey adalah jiran Susie yang pendiam, tenang dan gemar membina alat permaianan kanak-kanak di bekas sebuah ladang soya. Malah filem ini juga bukanlah tentang pembalasan dendam yang memungkinkan satu adegan klimaks hebat untuk menyaksikan si pembunuh menerima pembalasannya. Sebaliknya Harvey hanya menemui kematiannya ketika usia tuanya dengan cara yang paling mudah dan di luar dugaan.
Filem The Lovely Bones lebih berminat untuk bercerita tentang keluarga Jack Salmon (Mark Wahlberg) dan isterinya Abigail (Rachel Weizs), adik Susie Lindsey Salmon serta neneknya (Susan Sarandon) harus menghadapi kehilangan Susie. Mereka sebenarnya sukar menerima kehilangan Susie walaupun akhirnya harus menerima hakikat selepas tulang tangan Susie ditemui disebuah bekas ladang soya. Malah Jack Salmon juga tidak digambarkan sebagai seorang bapa yang akan menjadi hero untuk membalas dendam keatas kematian anak perempuannya, sebaliknya Jack sendiri hampir mati dibelasah oleh seorang pemuda kerana disalah sangka ketika dia berusaha menjejak Harvey. Tetapi filem The Lovely Bones ini ada ketikanya cukup tegang dan cemas terutamanya ketika adegan Lindsey berada di rumah Harvey membuat penyiasatan. Ketegangan dan cemas turut terasa apabila Harvey berusaha memujuk Susie untuk menuju ke tempat persembunyiannya.
Dalam The Lovely Bones, Peter Jackson berusaha menimbulkan perasaan cemas dan ketegangan, dan perasaan seram yang mencengkam timbul dari adegan tersebut. Dan tentulah kejayaan tersebut datangnya daripada keupayaan pelakon Stanley Tucci sebagai Harvey, seorang jiran yang kelihatan sentiasa tenang, mudah tersenyum dan kelihatan baik sedangkan dia merupakan pembunuh bersiri yang sadis dan sangat kejam. Keupayaan Stanley dilengkapkan oleh kemampuan Saiorse Ronan sebagai Susie Salmon gadis berusia 14 tahun yang baru memasuki alam remajanya dan kelihatan sangat innocent.
The Lovely Bones tentulah dilengkapkan oleh keupayaan CGI (Imej Janaan Komputer) daripada studio digital Weta yang sebelum ini bertanggung jawab dalam menyediakan CGI untuk filem The Lord of the Rings. Bagaimanapun kebergantungan Peter terhadap penggunaan CGI yang agak mendominasi visual filem ini kelihatan tidak begitu seimbang dengan kompleksiti dan trauma yang harus dihadapi oleh keluarga Salmon ini. Sedangkan elemen kekeluargaan seharusnya mendominasi filem ini. Begitu juga dengan tumpuan yang berlebihan terhadap watak Harvey agak menenggelamkan peranan Jack Salmon dan Abigail sebagai seorang ibu yang harus mendepani pelbagai masalah. Walau bagaimanapun The Lovely Bones adalah antara filem suspens dan cemas yang cukup menarik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: