Tuesday, March 30, 2010

Gabungan serumpun dalam Teratak Minang




MENGISAHKAN kehidupan seorang anak Minang dari daerah Pariaman di Padang, Sumatera bernama Buyung, teater muzikal Teratak Minang yang bakal dipentaskan bermula 16 April ini bakal menyemarakkan lagi seni budaya serumpun Malaysia-Indonesia.

Biarpun hubungan antara kedua-dua negara pernah beberapa kali diwarnai hubungan dingin, ia tidak menjadi momokan buat Global Network Entertainment (GNE) untuk meneruskan pementasan yang diarahkan oleh Lokman Ghani itu.

Malah, apa yang menarik Teratak Minang bukan hanya menampilkan barisan tenaga kerja dan selebriti tempatan kerana ia turut menerbangkan beberapa warga seni dari Indonesia untuk menjayakan pementasan teater berkenaan.

Mereka ialah Hengky Zubir yang memegang watak sebagai Buyung, Putri Nadia Rosadi (Siti Nurba'yah) di samping barisan penari Sofyani Dance Group.

Penyanyi Indonesia yang ditampilkan sempena pementasan itu pula Eddy Silitonga dan Elly Kassim.

Elly Kassim mula melibatkan diri dalam dunia seni sejak 1961 dan antara lagu popularnya adalah Ayam Den Lapeh, Badinding, Bapisah Bukan Bacarai dan Baju Kuruang.

Di pihak Malaysia, Teratak Minang mengetengahkan pelakon seperti Razali Hussin, Leez AF, Ebby Yus, Siti Rokhaida, Datin Rosnani Jamil dan Razali Buyung.

Bagi yang mengenali dan meminati si pelontar vokal untuk lagu Apo Kono Eh Jang iaitu Mastura dan Ally Noor pula, Teratak Minang tidak lupa untuk meletakkan nama mereka dalam senarai yang akan menjayakan pementasan.

Bagi Leez yang lahir menerusi Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Teratak Minang merupakan teater kedua lakonannya selepas Sri Mersing.

Menurutnya, watak yang diberikan iaitu sebagai Siti Nurhalisa dilihatnya tidak terlalu sukar untuk dibawakan.

Namun, apa yang menyukarkan apabila diminta untuk bertutur dalam dialek Minang.

"Ia merupakan cabaran buat saya. Mujur ada abang Ebby (Ebby Yus) dan Mak Nani (Rosnani Jamil) yang membantu dan mengajar saya dialek tersebut.

"Untuk pementasan, kami sebenarnya sudah memulakan latihan sejak 11 Mac lalu. Pada masa sama, saya punyai tanggungjawab dalam pementasan Sri Mersing.

"Saya suka berlakon teater kerana ia membuatkan jadual kerja saya tersusun dan mampu menguatkan lagi kualiti lakonan,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran teater muzikal Teratak Minang di Lambang Sari, IB baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani; Pengarah Urusan GNE, Zaharudin Abdul Wahab atau Den Wahab dan barisan produksi dan tenaga pelakon Teratak Minang.

Menceritakan wataknya, kata Leez, Siti Nurhalisa merupakan gadis Minang dari Negeri Sembilan dan merupakan anak kepada Mak Nani.

Mengenai lakonannya bersama barisan artis senior, Leez berkata, ia adalah satu bonus buatnya kerana dapat memperoleh banyak ilmu dalam lakonan daripada mereka.

Nadia berkorban demi Teratak Minang

Bagi Putri Nadia yang akan membawakan watak sebagai Siti Nurba'yah, kemunculannya dalam Teratak Minang membuatkan dia terpaksa berkorban banyak perkara.

Ujar anak ketiga daripada lima beradik ini, pertama, dia terpaksa berjauhan daripada keluarga untuk tempoh sepanjang latihan dan berlangsungnya pementasan Teratak Minang.

"Saya juga sedang menuntut dalam jurusan sastera di Universiti Andalas di Padang. April ini pula saya akan menghadapi ujian pertengahan semester.

"Mujur pensyarah saya memberi pelepasan. Ini adalah teater saya yang pertama dan saya perlu perbanyakkan lagi latihan.

"Agak susah hendak bawakan watak ini. Saya perlu gembira, sedih dan kadang kala menangis. Alhamdulillah, apabila sentiasa berlatih, saya mampu membawakan watak Siti Nurba'yah,'' katanya yang pernah berlakon dalam drama Nun Di Sana Cintaku.

Peluang berlakon di samping Hengky, kata Putri Nadia, tidak memberi masalah baginya kerana mereka sudah lama saling mengenali.

"Kami menetap dalam satu daerah. Kami juga pernah berlakon dalam Nun Di Sana Cintaku,'' jelas Putri Nadia sambil menambah bahawa abangnya, Martry Groz juga merupakan seorang pelakon yang kini menatap di Jakarta.

Saya tidak ada asas tari, silat - Hengky

Bagi Hengky pula, Teratak Minang menuntutnya bukan hanya perlu berlakon tetapi harus pandai bersilat dan menari.

Bagaimanapun, dai mengakui tidak mempunyai asas dalam seni silat dan tarian.

"Kalau di Padang, kami sudah mulakan latihan sejak dua minggu yang lalu. Jika disuruh menyanyi, saya tidak punyai masalah tetapi saya terpaksa berlatih untuk memantapkan seni silat dan tarian.

"Bekerja di Malaysia tidak ada masalah. Saya suka Malaysia. Cuma, perbezaan bahasa agak menyukarkan saya untuk berkomunikasi,'' kata Hengky yang juga cucu saudara kepada Mak Nani.

Apa kata Den Wahab?

Dalam pada itu, Den Wahab berkata, memilih mereka yang tidak ada asas lakonan teater seperti Putri Nadia dan Hengky merupakan risiko buat dirinya.

Namun, katanya, ia bukanlah satu masalah besar kerana bakat mereka mudah dibentuk.

Ujar Den Wahab, Teratak Minang akan menampilkan 70 peratus muzikal manakala selebihnya adalah lakonan yang secara keseluruhannya berdurasi hampir dua jam.

Tentang kekuatan pementasan teater terbabit, jelasnya, ia menampilkan seni, budaya dan lagu-lagu Minang yang unik.

"Jika kita tidak hidupkan budaya serumpun ini, lambat laun, generasi muda akan terus melupakannya.

"Sejarah kita masih ada hubung kait dengan Tanah Padang di Sumatera dan hubungan ini perlu diperkukuhkan,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: