|
|
BAKI lebih setengah meter ini puan kena beli juga sebab puan pelanggan terakhir walaupun puan nak lima meter sahaja. Kalau tidak rugilah kami sebab siapa nak beli yang lebihan ini."
Masih terngiang-ngiang sehingga sekarang kata-kata seorang pengurus sebuah gedung kain terkemuka di ibu kota tatkala penulis hendak membeli sepasang kain buat hadiah hari raya kepada ibu di kampung.
Kisah itu berlaku dua tahun lalu disebabkan mahu memaksimumkan keuntungan, penulis dipaksa membeli lebihan 1/2 meter itu.
Hati mula berkira-kira kerana terpaksa membayar lebih namun lebihan kain itu nanti bakal dibuang begitu sahaja. Takkan hendak dibuat renda pada baju kurung tersebut. Tidak pernah pula dibuat orang.
Puas penulis tawar-menawar namun hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh pengurus gudang kain tersebut.
Kesudahannya, ditinggalkan sahaja kain itu dan penulis terus berlalu keluar dengan perasaan sedikit marah kerana berasakan diri tertipu.
Sejak itu penulis serik untuk memasuki gudang-gudang kain yang hanya gah dengan nama sahaja namun langsung tidak menitikberatkan perkhidmatan kepada pelanggannnya.
Namun persepsi penulis mula berubah tatkala memasuki gedung kain Jakel yang terletak di Jalan Bonus, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kehadiran disapa dengan penuh sopan-santun dan semua pelanggan dilayan sama-rata.
Penulis sempat mengerling ke arah seorang pelanggan yang sedang tawar-menawar harga kain yang hendak dibelinya.
Sungguh tidak disangka, gedung kain yang semakin gah menempa nama di persada industri tekstil negara masih membenarkan pelanggannya tawar-menawar jika kena pada tawarannya.
Keselesaan untuk memilih kain juga amat dititikberatkan. Pelanggan yang masuk tidak akan diekori oleh jurujual-jurujual yang tidak diundang seolah-olah menganggap pelanggan seorang pencuri kain.
Pilihlah yang mana berkenaan dan setelah puas membelek panggillah jurujual untuk membantu dan akan dilayan bak tetamu VIP.
Mungkin itu antara faktor yang membuatkan nama Jakel begitu cepat menambat hati pengunjung di samping pilihan kain yang bervariasi serta eksklusif.
Menyorot sejarah 25 tahun Jakel
Tempoh 25 tahun bukan satu jangka masa yang singkat malah kalau anak muda sedang melangkah ke dunia yang lebih matang dan penuh pancaroba.
Begitu juga bagi Jakel yang menyambut ulang tahun suku abadnya dengan catatan pahit manis yang sesetengahnya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Individu paling sesuai berkongsi cerita 'riwayat' syarikat tersebut sudah tentunya Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel.
Anak kedua daripada 12 beradik ini merupakan antara individu penting yang bertanggungjawab meletakkan Jakel pada kedudukan sekarang selepas mewarisi daripada ayahnya yang juga pengasas syarikat, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad.
Kata Mohamed Faroz, segalanya bermula pada tahun 1983 apabila ayahnya memulakan perniagaan fabrik secara kecil-kecilan di sebuah premis yang terletak di Muar, Johor.
Pada tahun sama, Mohamed Jakel yang mempunyai visi besar, mengambil keputusan memindahkan premis perniagaannya ke Segamat, Johor.
Pada permulaannya Jakel Trading menjalankan perniagaan tekstil secara pukal kepada peniaga-peniaga kecil di sekitar bandar Segamat dengan hanya bermodalkan RM30,000.
Sejak itu Jakel di Segamat mula dikenali sehingga ke seluruh Semenanjung.
"Boleh dikatakan setiap minggu akan ada rombongan bas dari pelbagai negeri terutama dari Pantai Timur turun ke Segamat untuk membeli kain di tempat kami.
"Adakalanya pelanggan agak kecewa kerana terpaksa berasak-asak dan ada juga yang tidak dapat masuk dalam kedai kerana terlalu ramai pelanggan yang datang sejak awal pagi lagi ," cerita Mohamed Faroz.
Memikirkan jumlah pelanggan yang semakin bertambah dan permintaan terhadap fabrik amat tinggi, maka Mohamed Jakel dan anak-anaknya yang terlibat dalam perniagaan keluarga itu mula memikirkan untuk membuka cawangan baru.
"Cawangan pertama kami dibuka di Johor Bahru dengan membeli lot rumah kedai. Syukur kerana perniagaan ini terus berkembang walaupun kegawatan ekonomi yang melanda sekitar tahun 1997.
"Bagi saya, apabila niat kita ikhlas untuk tolong bangsa kita sendiri maka segalanya akan dipermudahkan," luah Mohamed Faroz.
Apa yang pasti kehadiran Jakel telah mengubah persepsi masyarakat bumiputera khususnya dalam perniagaan tekstil.
Kini setelah 25 tahun bertapak dalam industri tekstil Jakel juga mempunyai matlamat untuk membuka satu cawangan di setiap negeri.
Untuk rekod, Jakel kini telah mempunyai 16 cawangan di seluruh negara untuk memberikan pilihan fabrik terbaik bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat Malaysia.
Belanja RM 1 Juta sempena ulang tahun
Sementara itu sempena ulang tahun ke 25, gedung fabrik Jakel merancang promosi istimewa sebagai menghargai sokongan tidak berbelah-bagi daripada para pelanggan setianya selama ini.
"Untuk itu kami talah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk pelanggan kami. Ia diadakan dalam bentuk bonus pembelian bermula 26 Mac hingga 8 April ini.
"Penghargaan ini dibuat menerusi tawaran hadiah berganda pada fabrik, pakaian pengantin, renda Perancis dan langsir.
"Kami juga memberi pilihan kain terbaru yang direka khas untuk sambutan Hari Raya yang bakal disambut umat Islam pada bulan September ini," ujarnya yang begitu teruja dengan promosi yang diadakan hanya sekali sepanjang 25 tahun pembukaan Jakel.
Tambahnya, rakyat Malaysia patut merebut peluang ini yang disifatkannya terbaik dalam sejarah.
"Kain kami adalah khusus untuk semua golongan, seperkara istimewa lagi ialah kain-kain di Jakel tidak boleh didapati di luar itulah yang menjadikan kami eksklusif khusus untuk pelanggan di luar sana," ujarnya mengakhiri bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: