Tuesday, March 30, 2010

Bakal jadi acara tahunan


TRIO Indonesia, Slamdown Crew tampil dengan aksi tersendiri.


"INDUSTRI tarian jalanan akan terus dinobatkan." Demikian ungkapan Pegawai Korporat Tertinggi Mandom Corporation Jepun merangkap Presiden, Motonobu Nishimura berhubung penganjuran pertandingan Gatsby Styling Dance yang akan dijadikan sebagai acara tetap dalam kalendar tahunan mereka.

Menurut Nishimura, selain dianggap sebagai strategi dalam memasar dan mempromosikan produk-produk Gatsby, ia juga bertujuan memberi peluang kepada golongan muda menonjolkan bakat mereka dalam bidang tarian kreatif.

Malah, katanya melalui program sedemikian, ia secara tidak langsung mampu memberi pengalaman berharga kepada para peserta yang terlibat dalam aspek mengenali rakan baru, berkongsi pendapat mengenai tarian yang diminati dan sebagainya.

"Apa yang pasti, kami memilih pertandingan berbentuk tarian kerana percaya bahawa setiap negara mempunyai tarian tradisional tersendiri dan ia boleh digabungkan dengan tarian moden masa kini.

"Justeru, saya harap lebih ramai remaja akan turut serta dalam pertandingan yang dianjurkan di negara masing-masing bagi merebut peluang bersaing di peringkat Asia Pasifik kelak," ujarnya.


THE Bloos Dynamite dari Hong Kong dengan persembahan ala robot.


Sementara itu, Naib Presiden Mandom (M) Sdn. Bhd., Kuniyuki Ota menjelaskan, sebagai satu jenama peneraju penggayaan untuk golongan muda, syarikat itu begitu komited dalam menyokong aktiviti-aktiviti kreatif di kalangan golongan muda Asia.

Sejak Gatsby julung-julung kali memperkenalkan pertandingan Styling Dance di Jepun dua tahun lalu, ia telah muncul sebagai suatu tarikan yang dinanti-nantikan oleh remaja di seluruh Asia.

"Secara peribadi, saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Alex kerana muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang memenangi pertandingan di peringkat Asia Pasifik.

"Alex bukan sahaja berjaya memukau para hakim dengan kreativitinya, malah kemenangannya itu turut membuktikan standard yang tinggi di kalangan pelajar Malays ia kepada dunia," katanya.

Koreografer unik

Dalam pada itu, pertandingan yang berlangsung di arena Shibuya O-East, Shibuya, Tokyo itu turut dihadiri ratusan pengunjung yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja.

Situasi itu jelas menunjukkan pertandingan itu mempunyai peminat yang sanggup beratur panjang dan menunggu satu jam lebih awal sebelum pintu masuk dibuka kepada pengunjung.

Rata-rata yang ditemui pula amat teruja melihat aksi tarian yang dipamerkan peserta akhir dan kagum dengan kreativiti mereka menghasilkan koreografer unik, menarik dan bertenaga.

Bagi Kong Teng Yik, 22, dari Hosei Universiti, Tokyo dia seronok apabila menyaksikan persembahan para peserta yang begitu memukau.

Pelajar dari Malaysia yang mengikuti kursus undang-undang di negara Matahari Terbit itu mengakui bukan mudah untuk mencipta tarian sedemikian rupa.


SEBAHAGIAN pengunjung sabar menunggu untuk masuk ke dewan di Shibuya O-East


"Tidak keterlaluan jika dikatakan gaya mereka seperti golongan penari profesional yang mendapat didikan formal dalam ilmu tarian walaupun hakikatnya kebanyakan mereka bermula sebagai penari jalanan," tutur Teng Yik sambil tersenyum.

Mengulas mengenai kemenangan peserta Malaysia, seorang lagi pelajar, Shery Ng, 23, amat berbangga dengan pencapaian tersebut.

"Pada mulanya saya tidak menyangka kemenangan akan berpihak pada peserta negara memandangkan semua finalis terdiri daripada peserta berkumpulan.

"Tetapi, inilah yang dikatakan tuah badan. Tambahan pula, persembahan Alex memang unik dan tersendiri. Begitu juga dengan peserta negara lain yang tidak kurang hebatnya," ungkap pelajar dari Kolej Wasaida Edu itu.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan Gatsby Styling Dance, layari laman web www.gatsby.com/gsd untuk keterangan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: