|
|
BERMASTAUTIN berhampiran Sungai Kakap, Pekan, Pahang menjadikan Raja Zainuddin Raja Omar tidak 'segan' dengan hidupan air. Gemarkan sesuatu yang baru, Raja Zainuddin mula mencari aktiviti yang lebih mencabar sebagai mata pencarian.
"Saya mula menyusuri anak Sungai Kakap bagi meninjau potensi ikan siakap di sana.
"Malah Sungai Kakap juga mendapat namanya daripada ikan siakap," katanya semasa ditemui di sangkar ikan siakap kepunyaannya di Sungai Kakap, Pekan, Pahang.
Lawatan ke sangkar ikan Raja Zainuddin merupakan salah satu daripada siri lawatan program Agrochallenge ke-6 Putrajaya ke Pekan anjuran Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT).
Menceburkan diri dalam penternakan ikan siakap putih di Sungai Kakap pada tahu 2002, Raja Zainuddin bermula hanya dengan 16 petak.
Beliau memperoleh benih ikan siakap dengan bersaiz tiga hingga empat inci dari Terengganu dan Johor yang diletakkan dalam sangkar terapung berkeluasan 10 kaki x 10 kaki x 5 kaki.
Biasanya ikan siakap boleh dituai pada bulan ke lima atau mencapai berat lebih kurang 500 gram (g).
"Ketika ini kami sudah boleh memilih dan menggredkan ikan yang sesuai untuk dipasarkan di sekitar Kuantan.
"Kami menjual ikan segar pada harga RM12 hingga RM16 sekilogram," katanya.
Melihat kepada usahanya yang mendatangkan hasil lumayan, beberapa rakannya berminat untuk bersama-sama dalam ternakan ikan siakap sangkar.
Pada 2005, hasil kerja keras, Raja Zainuddin bersama-sama rakannya mempunyai 60 sangkar ikan siakap.
"Melihat kepada kesesuaian kawasan dengan ikan yang dituai mendapat sambutan yang menggalakkan di sekitar Kuantan, kami menambah bilangan sangkar sehingga mencapai jumlah 60 petak.
"Menguruskan sangkar yang banyak bukan suatu kerja yang mudah tetapi dengan kerja gotong-royong antara pemilik sangkar dapat memudahkan kerja," katanya.
Sehingga kini tapak ternakan ikan Raja Zainuddin mempunyai 234 sangkar ikan siakap di dua tapak ternakan berlainan.
Ketika diminta berkongsi mengenai masalah dan cabaran menternak ikan dalam sangkar, Raja Zainuddin berkata, dia tidak menghadapi masalah besar besar kecuali keadaan air, teritip serta pasaran ikan kolam.
Ini menyebabkan mereka tidak meletakkan sangkar yang lebih dalam bagi mengelakkan masalah teritip.
"Biasanya ikan kolam lebih murah berbanding ikan sangkar tetapi rasanya agak berlainan.
"Masalahnya apabila pengguna yang lebih gemar membeli pada harga rendah tidak mengendahkan kualiti ikan yang dibeli," katanya.
Bagaimanapun bagi mendapatkan benih ikan yang lebih berkualiti, Raja Zainuddin bersama-sama usahawan ikan sangkar mengusahakan Sg. Kakap Enterprise pada tahun ini bagi menghasilkan benih ikan.
Selain itu Jabatan Perikanan juga menghulurkan bantuan melalui Pusat Asuhan Benih Ikan Pinggir Laut Sungai Kakap bagi memastikan benih ikan yang dihasilkan bermutu.
Menyentuh mengenai makanan ikan, Raja Zainuddin berkata, pihaknya tidak bergantung kepada pelet atau ikan baja.
"Walaupun harganya murah, kami lebih gemar menggunakan anak-anak ikan yang tidak digunakan," katanya.
Apa yang membanggakan kolam ternakan ikan Raja Zainuddin telah menerima pelajar dari institusi pengajian tinggi untuk menjalani latihan amali.
Mohd. Akmal Ali pelajar jurusan Perniagaan Tani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) gembira dapat mendalami ilmu perniagaan dalam industri perikanan.
"Saya bercadang mendalami pelbagai ilmu dalam bidang pertanian dan perikanan sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: