Tuesday, March 30, 2010

Bakat Wajih, Qayyim


MUHAMMAD WAJIH (tengah) diapit oleh Muhammad Qayyim (kanan) dan Muhammad An-Naim Yasim dengan hadiah masing-masing atas kemenangan dalam program Adik-adikku.


BAKAT dan minat bercerita Muhammad Wajih Zakwan Hanif, 12, terserlah sejak usianya enam tahun. Muhammad Wajih atau lebih mesra dengan panggilan Wajih mula melibatkan diri dalam pertandingan bercerita di Sekolah Kebangsaan Seremban 2 A semasa dia berumur tujuh tahun.

Setahun selepas itu, Wajih memberanikan diri menyertai pertandingan bercerita dan menang untuk dua kali berturut-turut mewakili sekolah hingga ke peringkat kebangsaan.

Anak kepada pasangan pensyarah bahasa Melayu dan peguam itu membuktikan kehebatannya bercerita apabila muncul sebagai juara enam kali berturut-turut dalam pertandingan bercerita ketika umurnya tujuh tahun.

Kini, apabila usianya telah menjangkau 12 tahun, Wajih sekali lagi dinobatkan sebagai juara program realiti Adik-adikku yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Perasaan sangat bersyukur, gembira dan berterima kasih kepada ibu bapa dan Murobbi (pembimbing) Ustazah Asni Abu Mansor Al Hafizah. Tidak lupa juga kepada Rasi (pengetua) Farihin Abdul Fattah dan mereka yang menyokong serta membantu Wajih," kata Wajih yang petah berkata-kata itu.

Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, kemenangan yang diperoleh mungkin disebabkan pendedahannya dalam pertandingan bercerita sejak usianya enam tahun. Pada masa yang sama, wajih juga mendapat bimbingan daripada murobbinya, Ustazah Asni.

"Banyak cabaran yang terpaksa saya tempuhi sebelum ke peringkat akhir Adik-adikku. Tiga hari sebelum pertandingan akhir, saya demam panas.


PENDEDAHAN yang diterima Muhammad Wajih sejak usianya enam tahun antara rahsia kemenangannya dalam program realiti, Adik-adikku.


"Nasib baik Ustazah Asni banyak memberi sokongan dan semangat tanpa memaksa saya melakukan latihan," katanya yang mengambil masa menghafal dan memahami teks selama dua hari.

Menurut ayahnya, Hanif Hassan, 42, dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang memiliki keistimewaan sebegitu.

"Harapan saya agar boleh menjadi seperti Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang berani dan lantang dalam menegakkan kebenaran," kata Wajih yang menjadikan tokoh tersebut sebagai idolanya.

Sementara itu, menurut Ustazah Asni, sememangnya Wajih memiliki gaya penyampaian yang spontan dan pandai menyelitkan unsur humor di dalam pidatonya.

"Dia seorang kanak-kanak yang berani. Ramai yang mengatakan Wajih akan menang tetapi saya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi," katanya yang gembira dengan kemenangan anak didikannya.

Terang hati

Lain pula ceritanya dengan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 12. Meskipun cacat penglihatan, dia yang mesra dengan panggilan Qayyim berjaya memenangi tempat kedua di dalam pertandingan Adik-adikku.

Kelebihannya menyampaikan surah al-Quran dengan lancar dan gemersik sambil berpidato benar-benar mengusik jiwa tetamu dan juri.

"Sememangnya Qayyim suka mendengar azan dan mengaji sejak dia belajar di tadika lagi.

"Ketika usianya lapan tahun, dia sudah masuk pertandingan azan mewakili Sekolah Kebangsaan Sireh, Kota Bharu, Kelantan, sehinggalah ke peringkat kebangsaan," kata ibu Qayyim, Rozan Mohamed, 37.


CACAT penglihatan tidak menghalang Muhammad Qayyim berpidato dan membaca al-Quran dengan baik.


Anak sulung daripada empat beradik itu memberikan tumpuan pendengaran sebanyak 100 peratus kepada murobbinya iaitu Dr. Redhuan Tee Abdullah.

"Tidak sukar untuk mengasah bakat kanak-kanak istimewa seperti Qayyim. Walaupun dia tidak nampak tetapi hatinya terang.

"Kekuatan Qayyim bukan dari segi penyampaian pidatonya tetapi cara dia menyampaikan ayat-ayat al-Quran.

"Saya terpaksa membaca teks secara perlahan dan berulang agar dia faham dan menghafalnya," kata Redhuan Tee.

Program Adik-adikku, ditayangkan pada 15 Februari lalu di TV1 dari hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 6.30 petang menampilkan 20 orang peserta yang mampu menunjukkan kebolehan berpidato sambil bertaranum, bernasyid dan membaca surah-surah dalam al-Quran.

Mereka turut mendapat bimbingan daripada tokoh-tokoh agama terkenal seperti Dr. Redhuan Tee Abdullah, Mohd. Farid Ravi Abdullah, Zawawi Yusof Zamri Zainoldin dan Asni Abu Mansor. Panel pembimbing itu diketuai oleh Farihin Abdul Fattah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: