MELIHAT ketrampilan wanita ini ternyata dia mempunyai karisma sebagai usahawan berjaya, cara dia bercakap dan meluahkan pendapat menggambarkan dirinya yang sebenar. Tidak hairan pada usia 38 tahun, Allyn Rabiah Seddek, bukan saja mampu membuka perniagaan menjual barangan premium, tetapi pada masa sama berjaya sebagai pengusaha restoran di Ampang Waterfront dua.
ENAK...hidangan enak dan berkualiti menyebabkan restoran ini menjadi tumpuan ramai.
“Memang nampak mudah apabila saya membuka perniagaan berasaskan makanan, tetapi sebaliknya hanya Tuhan saja yang tahu. Bagaimanapun, saya sentiasa bersikap optimis dan berfikiran positif,” katanya ketika ditemui di Restoran Tanjung Seafood, Ampang.
Sambil menikmati hidangan enak masakan Thailand seperti tomyam, ayam pandan dan kerabu sotong Allyn rancak bercerita sebenarnya idea membuka restoran ini datang daripada suami selepas menyedari mereka memerlukan perniagaan yang dapat menghasilkan pulangan dengan cepat. Sebelum itu mereka pernah mendapat tender menyediakan minuman di gerai Putrajaya jadi pengalaman itu digunakan sepenuhnya.
Kini restoran berkonsepkan ala Thai ini sudah mula beroperasi setahun lalu. Sambutan diberikan pelanggan amat menggalakkan. Ini kerana restoran ini menyediakan masakan Thai asli yang jarang dilakukan pengusaha restoran Melayu. “Saya mengambil tukang masak daripada Krabi, Thailand serta mendapatkan bahan mentah dari sana. Sebab itu mutu masakan sangat terjaga,” katanya.
Selain menguruskan restoran wanita yang bijak bergaya ini juga adalah pengarah serta pemilik Chendrasari Enterprise Sdn Bhd yang dibuka tujuh tahun lalu. Perniagaan asalnya adalah menjual barangan premium, pembekal bunga dan hamper buah dan kini dia mempunyai syarikat sampingan iaitu menganjurkan majlis bersama video korporat, syarikat katering dan cenderahati.
Asalnya Allyn tidak berani memasarkan barangan premium kepada syarikat korporat gergasi. Selepas empat tahun, Allyn berasakan yang dia perlu mengorak langkah lebih jauh. Jika tidak sampai bila dia perlu dibayangi rasa takut serta kurang keyakinan diri.
“Jika dahulu kami menjadi orang kedua mengeluarkan barangan premium kini, kami import sendiri. Kebanyakan produk diimport dari India, China, Thailand, Filipina, Dubai, Indonesia dan Syria,” katanya.
Menurut Allyn tidak semua produk dihasilkan diterima pelanggan. Dia mengambil masa lama untuk meyakinkan mereka mengenai mutu dan kualiti produk.
“Ketika mula berniaga agak sukar juga menerima kenyataan jika ada syarikat menolak produk yang saya hasilkan, tetapi kini alah bisa tegal biasa. Malah saya meminta pekerja berjumpa lebih ramai pelanggan agar dapat menjalankan promosi syarikatnya,” katanya yang kini turut mengeluarkan katalog kepada pelanggan.
Selain kualiti, Allyn menyediakan perkhidmatan mengikut bajet pelanggan. Misalnya mereka mempunyai bajet RM5 jadi dia akan mencari barang bukan saja bersesuaian harga, tetapi nampak lebih mahal.
Gunakan kreativiti dengan menyediakan pembungkusan menarik. Bagi Allyn apabila pembalutan, bakul atau beg digunakan menarik dan boleh dipakai semula ia menjadi hadiah yang lebih berharga serta bermakna.
Antara syarikat swasta yang pernah mendapatkan perkhidmatan Chendrasari ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri dan syarikat kewangan. Dia juga pernah mengeluarkan kemeja-T untuk pertandingan golf sebanyak 20,000 malah pernah mengeluarkan barangan premium sehingga 200,000 pada satu masa.
Kini selepas membuka restoran masa Allyn sangat sibuk. Dia mempunyai dua tempat yang perlu dijaga. Azamnya ingin membuat pinjaman bank supaya dapat memperluaskan lagi perniagaan premium serta makanan ke tahap lebih tinggi.
Menurut Allyn sebelum menceburi perniagaan premium dahulu dia seorang remisier berlesen. Namun, selepas kejatuhan ekonomi pada 1997, dia terpaksa mencuba pelbagai jenis perniagaan termasuk jualan langsung. Namun perniagaan jualan langsung tidak memberi kepuasan kepadanya sehingga dia membuka perniagaan Chendrasari ini.
“Rezeki pertama saya apabila mendapat tender membekal 20,000 unit jam tangan untuk sebuah bank terkemuka. Peluang ini memberi semangat kepada saya untuk meneruskan perniagaan ini,” katanya.
Menurut Allyn dia bukanlah berasal daripada keluarga mewah tetapi ahli keluarganya sangat meminati bidang perniagaan.
“Saya berasal daripada keluarga sederhana. Bermula daripada bawah dengan bantuan ahli keluarga saja. Saya tidak mendapatkan pinjaman bank untuk memulakan perniagaan. Kini selepas tujuh tahun saya berjaya membeli bangunan tiga tingkat untuk menjalankan perniagaan yang lebih terancang di Taman Putra Sulaiman, Ampang,” katanya.
Ingat Allyn Rabiah, duit berjuta adalah pinjaman Alah Taala sahaja, bila-bila masa akan disentap segala kemewahan dunia ini. Sesungguhnya Allah taala sedang memerhatikan tingkah laku kamu. berbuat baiklah sesama manusia.
ReplyDeletetipulah ini allynn.. bahasa kasar dari mulut dia lebih drpd dia makan..jangan lah cakap sangat baik.. saya tak biasa... perempuan kasar
ReplyDelete