Monday, March 29, 2010

Manifestasi luahan jiwa


PUJI-pUjian terhadap keagungan Allah banyak melatari segmen terakhir Suatu Masa... Amy yang meninggalkan kesan di hati para penonton.


SEPANJANG hampir dua jam menonton konsert Suatu Masa... di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur baru-baru ini, para penonton dipersembahkan dengan pelbagai jenis lagu, latar kostum, visual, monolog dan gerak tari Amy yang penuh emosi.

Vokalis kumpulan rock Search itu seolah-olah mahu menggabungkan kesemua elemen itu bagi mencernakan manifestasi luahan jiwanya sepanjang bergelar anak seni selama hampir 30 tahun dalam dunia hiburan tanah air.

Sekitar 1,000 penonton yang mengisi ruang panggung berprestij itu turut dibawa mengimbau fasa-fasa perjalanan seni Amy sehinggalah ke klimaks konsert itu yang seakan-akan menggambarkan keadaan dirinya kini.

Penyanyi berusia 52 tahun itu yang telah melalui pelbagai fasa dan pengalaman pahit manis sebagai artis juga meninggalkan banyak persoalan di kotak fikiran audiens pada penghujung segmen persembahan beliau.

Segmen itu yang banyak memperdengarkan lagu-lagu berunsurkan ketuhanan sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa bapa kepada lima anak ini mungkin sedang menuju ke suatu transformasi jalan hidup yang lebih murni.

Sewaktu diajukan persoalan, sama ada segmen itu menggambarkan Amy mahu memulakan kehidupan baru yang lebih baik dari dulu atau sudah 'insaf', penyanyi kelahiran Johor Bahru, Johor ini menjawabnya dengan tenang sambil tersenyum.

"Suatu ketika dulu, ada seorang ustaz yang kata mengapa saya perlu perlu berhenti menyanyi? Sedangkan katanya, ramai lagi anak muda yang meminati saya dan mereka mahu tengok ikon yang mereka minati itu.

"Di sinilah perlunya saya memainkan peranan saya yang tersendiri. Contohnya, kalau saya menunaikan umrah mungkin mereka (peminat) hendak pergi juga buat umrah. Bagi saya, hidup kita ini adalah suatu tanggungjawab.

"Saya diberi bakat dalam bidang ini pun bersebab juga. Dengan bakat yang ada saya mahu menggunakannya sebagai wadah perjuangan yang baru," katanya pada sidang akhbar seusainya malam pertama Suatu Masa... dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan di IB, baru-baru ini.

Persembahan malam pertama yang dikhususkan untuk wakil-wakil media massa, penaja dan jemputan khas itu menyaksikan Amy banyak termenung hingga menitiskan air mata kerana ia berakhir dengan jayanya.

Mentari Channel Network selaku Penerbit Eksekutif yang membawakan Suatu Masa... Amy menyaksikan Amy tampil solo pada konsert yang berlangsung dari 26 hingga 28 Mac lalu itu dengan menyampaikan 20 buah lagu.

Menurut bapa kepada Nabila Huda, 26, Irisha Myra, 14, Alexander Zulkarnain, 6, Sania Sammara, 5, dan Qaqa At-Tameemi, 6 bulan ini, dia tidak menafikan konsert itu merupakan suatu ekspresi hasil luahan jiwanya.

"Ini merupakan suatu persembahan yang saya nanti-nantikan dan ia cukup mencabar. Saya cuba mahu meluahkan perasaan saya apatah lagi ia kali yang pertama di IB. Saya gembira kerana dapat rasakan pengalaman baru ini," ujar rocker tersohor tanah air itu.

Sebagai suatu persembahan berskala besar, Suatu Masa... yang menampilkan lagu, tarian, monolog dan visual latar pentas, Amy atau Suhaimi A. Rahman tidak menafikan berasa gentar sebelum menjayakannya.

Jelas penyanyi bersuara lantang ini, rasa kegentarannya itu timbul apabila memikirkan sama ada dia layak atau tidak mengadakan konsert solo di pentas yang bertaraf dunia itu selama empat malam berturut turut.

"Saya rasa gementar sama ada layak atau cukupkah profil saya sebagai penyanyi. Ini kerana, Panggung Sari bukan pentas sebarangan. Konsert ini berbeza daripada ratusan konsert lain yang pernah saya jayakan sebelum ini.

"Persembahan ini sebagai medan perjuangan baru saya dalam bidang seni. Ia juga suatu eksperimen perjalanan seni saya sejak muncul dengan Search dalam album pertama berjudul Cinta Buatan Malaysia pada tahun1985," katanya.

Malah, pada masa sama Amy yang popular dengan tagline 'pheweettt' itu juga ketika ditanya tentang Suatu Masa... tidak menolak ia seperti suatu biografi tentang dirinya yang dipersembahkan dalam bentuk audio visual.

Katanya, ia adalah tentang pengalaman yang dilaluinya dalam bidang seni dari dulu hingga kini di mana Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy selaku Pengarah Pementasan banyak membantu merealisasikan konsert impiannya itu.

Tidak lokek ilmu

"Dia (Ogy) memang pilihan saya untuk membantu saya menjayakan persembahan ini. Saya lihat dia sudah lama dalam bidang ini (lakonan) dan saya memang hendakkan dia (sebagai Pengarah Pementasan) bagi menjayakan segmen monolog.

"Hajjah (panggilan buat Ogy) seorang yang serius. Anda boleh lihat sendiri. Dia pula memang ada angin timur, barat daya (emosi yang bertukar-tukar) tetapi saya seronok bekerja dengannya. Dia tidak lokek ilmu.

"Saya tidak nafikan monolog sesuatu yang sukar saya lakonkan terutamanya daripada segi pergerakan tubuh. Ia sesuatu yang baru tetapi Alhamdulillah dengan bantuan Ogy saya boleh melakukannya," komen Amy.

Sementara itu, Ogy yang berada di sebelah Amy pada sidang akhbar itu tidak melihat monolog begitu sahaja, sebaliknya beliau cuba 'menggali' segmen tersebut bagi disesuaikan dengan perjalanan seni dan hidup penyanyi rock veteran tersebut.

Jelasnya, monolog yang sendat dengan elemen theatrical dalam persembahan itu mampu untuk mengungkap secara kreatif cerita di sebalik kisah hidup Amy dalam keadaan yang santai tetapi penuh dengan makna serta perlambangan.

"Saya anggap monolog dalam segmen persembahan ini sebagai suatu persinggahan kita sebagai hamba Allah. Amy misalnya, mungkin pernah melalui 'zon hidup yang hitam' ke 'zon putih' ketika beliau sedang keliru.

"Dalam segmen ini, saya cuba menyuntik elemen theatrical kepada persembahan seorang rocker seperti Amy yang belum pernah dipaparkan sebelum ini. Seseorang aktor mungkin biasa dengan elemen ini tetapi bukan Amy.

"Bagaimanapun keinginan Amy untuk cuba bermonolog membuatkan saya teruja. Dalam hal ini saya harus tegas mengajar kerana dia yang akan menguasai pentas. Malah, setiap ayat yang keluar adalah bersebab," ulas seniwati masyhur itu lagi.

Pada konsert itu, Amy menyanyikan lagu-lagu yang pernah dipopularkannya bersama Search mahupun dipetik daripada album solonya seperti Kongkang, Aku Dah Bosan, Saat Ku Idamkan, Tiada Lagi dan Kepala Sotong.

Paling menarik apabila salah satu segmen dalam konsert itu menghimpunkan lagu-lagu slow rock yang menggunakan judul nama-nama wanita seperti Nigina, Isabella, Rozanna dan Laila Namamu Teratas.

Selain mengimbau nostalgia lagu-lagu popular Amy dan Search, konsert yang menjadikan Kumpulan Utusan sebagai akhbar rasmi dan Sinar FM sebagai radio rasmi itu meruntun hati para penonton memahami perjalanan seni penyanyi itu.

Justeru, para penonton juga mungkin boleh mentafsirkan serba sedikit perjalanan hidup Amy menerusi segmen terakhir Suatu Masa... Amy apabila penyanyi pujaan mereka itu mengungkap monolog yang berbunyi:

"Dalam lagu ada aku, dalam aku ada Dia. Aku dan Dia ada suatu masa". Mungkinkah itu adalah hakikat yang telah pun ditemui oleh Amy dalam diri dan kehidupannya kini?

Hanya rocker yang masih bersuara unggul ini sahaja mengetahuinya...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: