BERGERAK sendirian kurang 10 bulan lalu, penyanyi yang memiliki vokal tinggi, Norazlan Roslee atau Alan yang menjenamakan diri sebagai Azlan & The Typewriter belum terbiasa melayari situasi baru tanpa teman seperjuangan di sisi seperti ketika bersama Meet Uncle Hussain dulu.
Mengenali anak muda berusia 27 tahun itu, dia tidak malu berkongsi emosi biarpun disesakkan norma pemikiran sebilangan individu kurang senang dengan langkah seninya sebelum ini.
"Terus-terang, saya tidak selesa hendak bawa diri berseorangan sejak beberapa bulan lepas. Malah, saya rasa kebas dan tidak sempurna apabila berada di atas pentas buat persembahan.
"Sebelum ini saya sudah biasa dengan ahli kumpulan yang sentiasa bergerak sama mengadakan pertunjukan pentas. Ambil masa jugalah kepada saya menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
"Begitupun, ada hikmah sebenarnya dengan keadaan yang berlaku kerana saya dapat tampil lebih segar sebagai penyanyi dan pemuzik," kata Alan ketika ditemui pada sidang media Pertandingan Pembikinan Video Muzik Gerak Hati di Petaling Jaya, Selangor minggu lalu.
Sambung Alan, dia cukup bersyukur selepas menubuhkan Azlan & The Typewriter yang dianggap label mampu menjulang diri pada tahap lebih membanggakan sebagai penggiat seni.
"Alhamdulillah, banyak idea baru dapat dilepas dengan mudah selepas bergerak solo. Senang dijelaskan, saya bebas berkarya tanpa ada sebarang sekatan daripada mana-mana pihak.
|
|
"Azlan & The Typewriter secara jujurnya menggambarkan jati diri saya. Tidak kisah jika bermula dari bawah semula. Asalkan dapat meluah karya mengikut kehendak sendiri, ia cukup membahagiakan saya.
"Mengambil pengalaman lalu, saya enggan mencipta populariti secara mendadak. Ia cukup menakutkan diri. Selain itu, saya ada strategi lain demi meningkatkan hayunan Azlan & The Typewriter selepas ini.
"Bukan menunjuk lagak atau sombong. Sebaliknya saya mahu Azlan & The Typewriter jadi produk eksklusif dan nampak mahal pada pandangan umum. Saya tidak mahu orang lain dengan senangnya memperlekeh nama grup ini.
"Dulu masa dengan kumpulan lama, kami ambil saja tawaran nyanyian tanpa mengira jumlah bayaran. Lantaran itu, saya enggan Azlan & The Typewriter mengikut senario sama dilalui sebelum ini," akui Alan yang jelas gembira dengan aras termometer kumpulan barunya.
Enggan Azlan & The Typewriter menghidangkan setakat satu atau dua single kepada peminat, Alan berkongsi cerita tentang naskhah yang mengangkat metafora kebangkitan semangat diri selepas tersungkur tahun lalu.
Alternatif eksperimental
Setelah single Azlan & The Typewriter iaitu Kelibat Si Penyair mencuri tempat di hati pendengar baru-baru ini, Alan tanpa berselindung meluah keterujaan mengeluarkan album perdana, Peta Minda tidak lama lagi.
"Saya dan produser, Tass sedang mencantikkan proses pembikinan album baru yang sepatutnya dilancarkan April ini. Ia memuatkan 10 buah lagu. Setakat ini, semua sudah diselesaikan termasuk kulit album.
"Paling menarik, album ini menonjolkan pembaharuan segi bunyi, susunan muzik dan vokal. Kalau sebelum ini saya nyanyi sambil menjerit tidak tentu arah, sekarang semua berubah. Suara saya kali ini lebih bersahaja," jawabnya yang menterjemahkan Peta Minda berkulitkan genre alternatif eksperimental.
|
|
Bercerita keistimewaan single terbarunya, Gerak Hati, ia merupakan sebuah karya membicarakan naluri insan yang hakikatnya mempengaruhi tindakan, gerak laku atau permainan jiwa demi mencapai impian diingini.
"Lagu ini kedengaran perlahan dan tidak terlalu berentak rock. Ia menjadi lagu kedua disiapkan selepas Kelibat Si Penyair. Saya ambil masa dua minggu bikin lagu ini. Melodinya senang dibuat, tetapi lirik ambil sedikit waktu," terang Alan yang mengenengah peraduan menghasilkan muzik video disertai oleh peminatnya.
Standard global
Menumpahkan penghargaan kepada penyokongnya, Alan dan Satu Entertainment Sdn. Bhd. menganjurkan pertandingan Pembikinan Video Muzik lagu Gerak Hati bergandingan dengan Celcom U.O.X (Xpac) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (Mdec).
Idea mewujudkan video muzik itu muncul daripada perbincangan antara Alan dan Satu Entertainment yang ingin menampilkan kelainan terhadap video muzik lagu baru itu.
"Saya dan Satu Entertainment mengadakan pertemuan sambil memberitahu mahu menghasilkan revolusi video muzik Gerak Hati. Lagipun ia tidak pernah dibuat oleh artis lain di negara ini. Kemudian kami terus cari penaja demi meneruskan angan-angan ini.
"Semua berjalan lancar ditambah penglibatan Celcom selaku organisasi penaja peraduan ini. Sekarang, orang ramai boleh turut serta menggarap video muzik Azlan & The Typewriter.
"Matlamat Pembikinan Video Muzik adalah menggalakkan industri muzik tempatan membikin video muzik berdaya saing lalu mencapai standard global seiring perkembangan pesat komunikasi dan multimedia.
"Dalam waktu sama, peraduan Pembikinan Video Muzik dianggap medium mendekatkan diri Azlan & The Typewriter dengan peminat yang menuntut di pusat pengajian tinggi atau swasta," jelas Alan yang tidak sabar menyaksikan hasil kerja terbuka kepada pelajar-pelajar kolej dan universiti di seluruh negara kelak.
Pertandingan itu terbahagi kepada dua peringkat. Peserta perlu menghantar cadangan pembentangan idea, konsep dan jalan cerita untuk video muzik tersebut. Tiga penyertaan yang dipilih seterusnya boleh memulakan pembikinan video muzik.
Video muzik yang berjaya bakal diangkat menjadi video muzik rasmi sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM10,000, sijil pengesahan dan album Azlan & The Typewriter. Celcom juga menawarkan wang tambahan RM10,000 sekiranya pemenang merupakan pengguna U.O.X.
Tarikh tutup penghantaran cadangan pembentangan konsep dan jalan cerita Gerak Hati pada 22 Mac ini manakala tarikh akhir menyudahkan video muzik itu pada 30 April 2010.
Untuk melibatkan diri dalam Pembikinan Video Muzik, peminat boleh melawat laman web www.fuseasian.com/mov atau menghubungi Felicia Goh di talian 013-3624518 dan menghantar e-mel di felicia@satu.fm.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: