|
|
LENGGOK badan diatur dengan begitu teliti. Kombinasi pelbagai gerakan halus dan ayunan kaki yang tangkas penuh dramatik memukau hampir setiap mata yang memandang.
Tanpa mempedulikan keadaan sekeliling dia bagaikan bersatu dengan gelanggang yang putih bersih meluncur mengikut formasi sambil diiringi alunan muzik latar yang mengasyikkan.
Tambah menawan dengan kostum yang berkerlipan umpama mahu membawa penonton ke dunia fantasi.
Gerak-geri tanpa cela itu diselitkan dengan putaran dan lompatan bagaikan menghiasi pentas yang merupakan blok-blok ais licin yang kelihatan seperti sebuah kolam beku.
Bagi yang sudah sebati dengan gelanggang seperti Michelle Shepherdson, 14, gerakan fizikal sebegitu nampak mudah tetapi hakikatnya ia cukup sukar terutama bagi yang baru pertama kali mencuba.
Buktinya di tepian gelanggang satu demi satu mereka yang ingin berkongsi gelanggang dengan peluncur ais muda itu jatuh sama ada tergelincir mahu pun terduduk kerana gagal mengimbangi pergerakan badan.
Malah, penulis sendiri ketika diberi peluang pertama kali mencuba untuk meluncur turut terjatuh di atas blok ais yang dingin di satu-satunya gelanggang luncur ais di pusat membeli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.
Bagi Michelle gelanggang luncur tersebut ibarat rumah keduanya kerana di situlah dia menghabiskan sebahagian besar masa lapangnya.
''Setiap hari saya akan memperuntukkan masa selama tiga hingga enam jam di gelanggang ini," ujarnya sambil tangan mengusik tali sepatu luncur yang mungkin longgar agaknya.
Menceritakan bagaimana boleh terlibat dengan sukan luncur ais secara serius, anak kepada pasangan Veronica Kulatissa dan Aubrey Shepherdson itu berkata, ia bermula dengan suka-suka.
''Pada mulanya saya cuma ingin mencari aktiviti bagi mengisi masa lapang sambil berseronok tetapi lama-kelamaan jatuh minat dan timbul keinginan untuk menyertai kejohanan-kejohanan luncur ais yang dianjurkan ,'' ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.
Dari situ satu demi satu kejuaraan diraih yang bukan saja membanggakan dirinya bahkan keluarga.
''Pada pertandingan luncur ais peringkat kebangsaan baru-baru ini saya mendapat tempat pertama dan membawa pulang pingat emas,'' ujar Michelle dalam nada cukup gembira.
Malah, dia yang mula mengenali gelanggang luncur ais sejak berusia tujuh tahun lagi, pernah mewakili Malaysia dalam kejohanan di Singapura, China dan Filipina.
Bagi 'ratu luncur ais' ini, asas utama untuk menghayati sukan ini adalah keberanian dan keyakinan.
Pada awal pembabitannya dua dia mengaku kerap berasa takut dan tidak percaya dengan kebolehan diri terutama ketika berdepan dengan pesaing-pesaing yang lebih handal dalam sesuatu kejohanan.
Namun kata-kata semangat oleh jurulatihnya, Surayu Dakshini sedikit sebanyak telah membantu meletakkan Michelle pada kedudukan sekarang.
''Dorongan dan kata-kata semangat yang diberikan banyak merubah pendirian saya sehingga berada seperti hari ini,'' ujarnya.
Menurut Michelle, sukan tersebut mempunyai kaitan rapat dengan tarian balet dan gimnastik kerana ia berkisar soal keseimbangan badan serta pergerakan dan struktur badan.
Selain itu, aktiviti itu juga membuatkan dia lebih sabar, peka dan tidak mudah mengenal erti putus asa.
''Apabila sudah berada di gelanggang seseorang peluncur perlu benar-benar fokus dan peka kerana terlupa tentang sesuatu pergerakan mungkin boleh menyebabkan kecederaan," ujar pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Sri Cahaya, Shah Alam, Selangor ini.
Ceritanya lagi, sepanjang terlibat dalam sukan luncur ais ini, dia pernah beberapa kali tercedera termasuk luka kaki kanannya.
Namun jelasnya, luka dan cedera adalah perkara biasa dalam diri seorang peluncur ais.
''Jatuh di atas ais sebenarnya lebih sakit berbanding di atas tanah dan lantai tetapi perkara itulah yang membuatkan kita lebih berhati-hati
"Semua itu tidak mematahkan semangat saya, malah ia memberi pengajaran kepada saya supaya lebih fokus dalam beraksi,'' katanya penuh semangat.
Michelle merupakan antara pelajar yang mencapai tahap ke-10 dalam pergerakan 'gaya bebas' - tahap yang dianggap tinggi bagi peluncur ais di Malaysia.
Katanya, untuk mencapai tahap itu dia terpaksa melalui beberapa ujian bagi memastikan betul-betul layak memperolehinya.
"Untuk menguasai aksi menari bukan sesuatu yang senang, malah banyak teknik yang perlu dipelajari.
''Semestinya ia memerlukan banyak latihan supaya kita lebih fokus tentang teknik dan gaya yang kita pelajari,'' katanya.
Ditanya mengenai sokongan dan dorongan, gadis yang berkulit hitam manis itu memberitahu, ibunya sering menemani sepanjang dia berlatih.
''Kesungguhan ibu untuk menemani membuatkan saya begitu teruja dan bersemangat untuk berlatih. Ibu sanggup membawa buku untuk di baca sepanjang menunggu saya habis berlatih,'' ujarnya ceria.
Malah sesekali bapanya turut hadir menemaninya terutama ketika berlatih pada hari minggu.
''Kehadiran kedua ibu bapa membuatkan saya semakin bersemangat. Kini adik saya, Latisha juga berminat menyertai sukan luncur ais ini," katanya.
Mengimbas kembali perjalanannya dalam sukan tersebut , Michelle memberitahu, dia terpaksa mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk mempelajari teknik-teknik rumit seperti lompatan.
''Meluncur ais juga memerlukan lenturan badan yang fleksibel. Oleh itu, kebiasaannya pelatih akan mengambil kelas tambahan di luar seperti balet, gimrama atau gimnastik,
''Tetapi kalau mereka mempunyai asas menari, ia akan memudahkan jurulatih mengajar,'' ceritanya.
Melihat kemahiran gadis tinggi lampai itu, bukan mengejutkan jika dirinya pernah disenaraikan dalam pasukan untuk bersaing dengan pasukan luncur ais luar negara.
Siapa tahu dengan minat dan komitmen yang ditunjukkan tidak mustahil dirinya boleh menjadi peluncur ais bertaraf dunia pada masa akan datang.
''Impian saya satu hari nanti dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara. Di sana, bolehlah saya memantapkan lagi teknik dan gaya untuk menjadi antara peluncur ais terbaik dunia," kata Michelle tanpa berselindung.
Malah tegasnya lagi, dia juga mempunyai perancangan untuk menjadi jurulatih bagi mencungkil bakat-bakat baru sekali gus mempopularkan lagi sukan tersebut di negara.
Ralit bercerita, Michelle memberitahu dia kini dalam persiapan untuk menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk.
''Biarpun saya tahu, tahun depan akan menduduki peperiksaan penting, Penilaian Menegah Rendah (PMR), namun saya perlu membahagikan masa antara pelajaran dan juga minat.
''Dari sekarang saya perlu mengatur masa agar tidak terdesak dalam membahagikan masa,'' ujarnya serius.
Malah dia merancang untuk menyertai kelas intensif di rumah bagi memastikan tidak ketinggalan dalam pelajaran selepas sebahagian besar masa terluang dihabiskan di gelanggang ais.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: