KOTA BHARU - Mahkamah Majistret di sini membenarkan perintah tahanan reman terhadap bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud dilanjutkan selama dua hari bermula semalam.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Norhaslinda Che Seman terhadap Wan Hashim yang sebelum ini mendakwa sebagai Setiausaha Sulit kepada Sultan Kelantan bagi membantu siasatan polis berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan.
|
|
Wan Hashim yang tiba di pekarangan mahkamah pukul 10.50 pagi dengan kawalan ketat polis dibawa masuk ke mahkamah sebelum dibawa keluar setengah jam kemudian.
Peguam Wan Hashim, Gobind Singh Deo dan Datuk Mohd. Haziq Pillay ketika ditemui memberitahu, semasa kes tersebut dipanggil, pihak polis membuat permohonan untuk menyambung reman selama tiga hari.
Menurut Gobind, mahkamah bagaimanapun hanya membenarkan reman tersebut dilanjutkan dua hari selain membenarkan Wan Hashim dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan atas faktor kesihatan.
"Semasa saya bertemu Wan Hashim tadi, dia mengadu demam, mengalami tekanan darah tinggi dan sakit tulang belakang," katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: