Wednesday, March 31, 2010

Badrul Belum Sedia Beri Komen Lanjut

AKTOR Badrul Muhayat, 41, yang dilaporkan diburu oleh pihak polis kerana mengasari isterinya, Julia Daud, 28, masih enggan memberi sebarang kenyataan mengenai perkembangan terkininya.

Ketika dihubungi mStar Online malam semalam, Badrul sekadar memberitahu dia sedang sibuk menguruskan beberapa urusan peribadi termasuklah membuat laporan polis.

"Saya sedang menguruskan beberapa urusan peribadi termasuklah hal keluarga dan laporan polis.

"Saya sangat sibuk malam ini dan tidak dapat beri komen lanjut berhubung berita yang tersebar," katanya.

Mendengarkan jawapan ringkasnya, mStar Online cuba memujuk aktor itu untuk mengulas lanjut. Bagaimanapun, dia menolak untuk memberi sebarang komen.

"Malam ini (semalam) tidak sesuai untuk saya beri apa-apa komen tentang berita itu. Saya sangat sibuk berurusan di balai polis.

"Saya belum sedia untuk beri apa-apa komen lanjut. Cuba hubungi saya semula esok (hari ini)," jelasnya sebelum menamatkan perbualan.

Menurut laporan sebuah akhbar tabloid semalam, isterinya Julia bersama kedua-dua anaknya Siti Norbatrisyia, 2, dan Rohidayat, dua bulan kini berada di kampungnya di Sungkai, Perak, untuk menenangkan fikiran selepas kejadian itu.

Justeru, bunyi tangisan anak kecil yang kedengaran di hujung talian ketika perbualan itu berlangsung sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya adakah Badrul sudah pun menemui keluarganya semula.

Dalam laporan mStar Online semalam, Badrul begitu berang dengan laporan diterbitkan beberapa akhbar tempatan yang mendakwa dia bertindak kejam terhadap isterinya.

Badrul menyifatkan laporan itu sebagai sesuatu yang melampau dan hanya diperbesarkan daripada fakta sebenar yang berlaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: